https://critoxium.com/shop/

Terkini

Kuasa Agong dan salah faham pakar


 Adakah Yang di-Pertuan Agong berkuasa mutlak laksana seorang raja atau sultan yang memerintah?

Jika dilihat dalam Perenggan 58 Laporan Suruhanjaya Reid 1957, perenggan 18 Kertas Putih Cadangan Perlembagaan Persekutuan Malaya, yang seterusnya terkandung dalam Perkara 40 Perlembagaan Persekutuan, Yang Di Pertuan Agong mempunyai kuasa dan tanggungjawab sebagai seorang raja bawah kerangka “raja berperlembagaan” yang tidak mempunyai kuasa mutlak.

Akan tetapi terdapat beberapa percubaan untuk memberi tafsiran yang berbeza terhadap perkara ini.

Pertama, beberapa ahli akademik cuba mengenengahkan fahaman bahawa meskipun British menguasai negara ini sebelum 31 Ogos 1957, kuasa raja-raja Melayu tidak terkesan.

Fahaman ini dikenali sebagai fahaman “Malaya tidak pernah dijajah”. Mereka berhujah, Malaya hanyalah berada bawah naungan British dan ini berbeza dengan status sebuah tanah jajahan.

Prof Zainal Kling mengetengahkan fahaman ini dalam sidang media bertarikh 9 September 2011.

Akan tetapi timbul kemusykilan apabila ia dibandingkan dengan tulisan beliau “Kedatangan Barat adalah kehadiran penjajahan dan penaklukan di alam Melayu walau apa pun nama yang digunakan untuk memerikan fenomena ini – berdagang, naungan, koloni, jajahan dan pembukaan.”

Hujah ini dirakam dalam buku Minda Melayu yang diterbitkan oleh Dewan Bahasa Pustaka dalam tahun 2005.

Seterusnya, apabila mendiang Professor Khoo Kay Kim memberikan pendapat yang sama ketika dipanggil sebagai saksi di Mahkamah dalam kes Mat Sabu, April 2015.

Pendapat beliau dipertikaikan oleh Dr Rachel Leow, pensyarah Jabatan Sejarah, Universiti Cambridge, yang merupakan bekas pelajar Khoo di Universiti Malaya.

Dr Rachel Leow berkata perbezaan “naungan” dan “dijajah” hanyalah perbezaan semantik yang tidak menolak bahawa kuasa sebenar pemerintahan berada tangan British dan beliau juga mengingatkan Khoo berkenaan tulisannya yang mengakui fakta tersebut dalam buku Malay Society: Transformation and Democratisation.

Kedua, terdapat percubaan untuk mempertikaikan isi kandungan perjanjian-perjanjian yang dimeterai oleh raja-raja Melayu dengan British.

Perjanjian Pangkor 1874

Umum mengetahui dan memahami bahawa sejak Perjanjian Pangkor 1874, raja-raja Melayu bersetuju untuk bertindak atas nasihat British dan mereka hanya mempunyai kuasa atas perkara-perkara yang melibatkan Islam dan adat Melayu.

Perjanjian-perjanjian tersebut telah melucutkan kuasa mutlak Raja-Raja Melayu dalam pemerintahan.

Maka timbul hujah bahawa Perjanjian Pangkor dalam versi Bahasa Melayu tidak mengatakan bahawa Sultan Perak bersetuju untuk bertindak atas nasihat Residen British.

Dr Iza Hussin dalam tesis Phd beliau yang bertajuk The Politics of Islamic Law mendapati pelbagai versi berkenaan dengan Fasal 6, Perjanjian Pangkor.

Ada yang menggunakan “berunding”, ada yang menggunakan “muafakat”. Akan tetapi percubaan ini tidak dapat mempertikaikan kuasa British yang menguasai pemerintahan peribumi pada masa tersebut.

Kuasa pemerintahan juga merujuk kepada siapa yang sebenarnya berkuasa dan menguasai dan ia bukan hanya tertakluk kepada isi perjanjian semata-mata.

Prinsip ini juga terpakai dalam undang-undang antarabangsa seperti di dalam kes Pulau Sipadan dan Pulau Batu Puteh.

Malah jika dilihat dalam buku Palace and Politics karangan Dr Kobkua Suwanathat-Pian, prinsip kekuasaaan ini boleh dilihat apabila terdapat beberapa raja-raja Melayu yang diturunkan takhta oleh pihak British sendiri.

Ketiga, terdapat juga ahli-ahli akademik yang cuba menggunakan pensejarahan kuasa raja-raja Melayu yang dikatakan diiktiraf oleh penjajah British semasa penguasaan mereka di Tanah Melayu sebelum merdeka.

Percubaan ini cuba mengenengahkan apa yang dikatakan kerangka atau struktur “watan” atau “peribumi”.

Percubaan ini tidak melihat kepada falsafah penjajahan British yang menggunakan elit tempatan bagi tujuan penajajahan sperti yang diterangkan dalam buku The Wretched of the Earth karangan Frantz Fannon.

Maka jika dilihat kepada pengiktirafan British terhadap penguasa elit peribumi, pengiktirafan tersebut hanyalah sebagai satu alat untuk menutup realiti kekuasaan yang sebenarnya di tangan British.

Buku Mitos Peribumi Malas tulisan arwah Professor Syed Hussein Alattas menyuruh kita merungkaikan tujuan sebenar penulis-penulis zaman penjajahan British.

Buku Frank Swettenham

Sebagai contoh, buku The Real Malay tulisan Frank Swettenham ada menyatakan bahawa pihak British hanya menaungi Malaya.

Akan tetapi jika kita mempercayai tulisan beliau, bagaimana pula kutukan beliau terhadap orang Melayu yang dikatakan pemalas dan tiada kemampuan untuk berniaga?

Satu lagi pendapat Frank Swettenham dalam buku ini yang perlu diperhalusi ialah apabila beliau mengatakan bahawa orang Melayu adalah “pewaris” atau “heir to the inherintance”.

Sekiranya pendapat beliau adalah amat suci murni, mengapa pula sistem pendidikan sekolah Melayu pada zaman tersebut hanyalah sekadar menjadikan anak-anak Melayu petani/nelayan/orang kampung yang lebih baik daripada orang tua mereka?

Disiplin ilmu yang melihat kepada sejarah orang Melayu/kuasa raja Melayu seperti ini sudah tentu akan meragui pendapat yang mengatakan bahawa raja-raja Melayu mempunyai kuasa mutlak.

Disiplin ilmu sebegini juga diwajibkan untuk mahasiswa-mahasiswi ijazah pertama di universiti. Maka adalah menghairankan bila melihat beberapa ahli akademik yang berterusan berceramah dan menulis di media massa tanpa berlandaskan disiplin ilmu sebegini.

Adakah mereka merasakan khalayak ramai tidak akan musykil dengan pengisian mereka?

Sesuatu yang sepatutnya menghairankan kerana dalam zaman moden beserta dengan kecanggihan teknologi maklumat masa kini, apakah mungkin khalayak umum dapat dihalang daripada membuat kajian sendiri?

Sejarah penjajahan British di negara ini mewajibkan kita untuk melihat semua perkara ini di bawah citra “never again” atau “jangan lagi begini” sebagaimana citra “never again” di Afrika Selatan terhadap sistem perkauman setelah keruntuhan sistem Apartheid dalam tahun 1995.

Dan sejarah penjajahan ini tidak akan sempurna tanpa analisis terhadap sistem feudalisme dalam masyarakat Melayu.

Apa yang merisaukan adalah jika terdapat mereka yang beremosi hanya ingin menyalahkan raja-raja Melayu pada zaman lampau.

Perlu diingatkan bahawa raja-raja Melayu sudah tentu tidak akan bertindak tanpa nasihat atau muafakat dengan para pembesar pada zaman tersebut.

Maka peranan para pembesar Melayu pada masa lampau juga perlu dikaji dan kajian ini perlu adil.

Pentingnya analis telus, menyeluruh

Sebagaimana ada yang berminat mengkaji peranan pembesar- pembesar Melayu semasa termeterainya Perjanjian “Persetiaan Antara Great Britain dengan Johor, 1824” yang menyerahkan Singapura kepada Syarikat Hindia Timur Inggeris, sebagaimana itu jugalah perlu dinyatakan nasihat Menteri Besar Johor, Datuk Ja’afar kepada Sultan Johor ketika pelantikan penasihat British itu dengan sekatan bawah Undang-Undang Tubuh Johor 1895 yang tidak membenarkan Johor diberikan kepada mana-mana kuasa lain, seperti ditulis oleh Zainah Anwar dalam Legacy of Honour.

Maka di sinilah pentingnya kajian, kupasan dan analisis sejarah yang telus dan menyeluruh.

Selain daripada memberikan pencerahan kepada khalayak umum, ia juga penting agar raja-raja Melayu diberikan nasihat yang sewajarnya.

Dan kita telah menyaksikan titah Sultan Nazrin pada tahun 2014 agar sultan dipersembahkan nasihat yang benar “walaupun ia pahit untuk dinyatakan ”,

Baginda juga bertitah dalam tahun 2019 agar raja “dipersembahkan sebaik nasihat mengenai realiti yang sedang berlaku”.


MOHD NAZIM GANTI SHAARI mengajar undang-undang perlembagaan di Universiti Teknologi Mara (UiTM).

Tiada ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.