https://critoxium.com/shop/

Terkini

Ismail Sabri pimpin kerajaan dua karektor, kata Khalid Samad


Kerajaan Ismail Sabri disifatkan sebagai kerajaan dua karektor yang sedang bertembung antara satu sama lain, kata ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Abd Samad.

Karektor mana yang akan menang dalam pertembungan ini masih belum kelihatan jelas lagi sehingga kini kerana masih terlalu awal, kata Pengarah Komunikasi AMANAH itu.

“Dalam satu segi, karektor buruk yang ditunjukkan, bilangan kabinetnya yang besar sampai 69 anggota untuk memenuhi keperluan sokongan kepada beliau, melantik abang sendiri sebagai pengerusi Nafas dan sebagainya.

“Dari segi yang lain pula, kelihatan sangat positif, dia boleh panggil sidang parlimen yang lama, bukan satu dua hari, dia boleh bincang dengan pembangkang iaitu PH dan sebagainya.

“Karektor mana yang menang, ia masih belum kita dapat lihat lagi. Bagus ke tak bagus ke masih terlalu awal, baru 41 hari beliau menjadi PM,” kata Khalid menerusi bual bicara bersama beliau TV internet Jom Chanel.

Menurut Khalid, tidak sebagaimana Mahiaddin, kerajaan Ismail Sabri sangat bagus dalam isu keterbukaan ini.

“Mungkin ini pengaruh kerjasama beliau dengan Pakatan Harapan,” kata Khalid.

Menurut Khalid, cara pengurusan Covid-19 oleh kerajaan Ismail Sabri juga berbeza dengan Mahiaddin.

“Beliau melonggarkan secara umum dan tempat yang ada kes beliau perketatkan kawalan dan sebagainya. Ia pendekatan yang lebih selari dengan cadangan Pakatan Harapan sebelum ini berbanding Mahiaddin,” kata Khalid.

Kerajaan Ismail, kata Khalid, masih kekal dengan rasuah dan pemborosan yang dibuat oleh kerajaan BN dan PN tetapi mengikuti cadangan PH dalam menangani masalah Covid-19 dan ekonomi.

Selain sidang Parlimen, Menteri Kewangan di bawah Ismail Sabri sekarang, Datuk Seri Tengku Zafrul sedang sibuk merancang Belanjawan 2022 dengan pakar-pakar kajian strategi dan ekonomi dari Pakatan Harapan.

Kelmarin Tengku Zafrul berbincang dengan wakil-wakil dari PH bagi menyediakan Belanjawan 2022 itu.

Antara yang kelihatan dalam mesyuarat itu adalah Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad (AMANAH – Kuala Selangor), Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail (PKR-Kulim Bandar Bharu), Wong Chen (PKR-Subang) dan juga Tony Pua (DAP-Damansara).

Tiada ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.