https://critoxium.com/shop/

Terkini

Tahun baharu dengan azam buruk


 

Ketika kebanyakan orang masih sibuk dengan azam tahun baharu 2022, timbul pula kontroversi pada sebuah badan penting kerajaan yang kebetulan nama orang nombor satunya ialah Azam.

Badan yang dimaksudkan, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tentu dan sepatutnya turut berazam untuk berprestasi lebih baik, dan cemerlang (garang) membanteras amalan rasuah dalam negara.

Namun begitu, sebaliknya yang terjadi. Kita semakin bingung dan tidak tahu apa yang boleh dikatakan lagi.

Memang ia malapetaka sehingga Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng mengingatkan bahawa Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berisiko dilihat sebagai Perdana Menteri (PM) paling lemah/buruk dalam sejarah negara.

Lim memetik pendekatan kerajaan Keluarga Malaysia (KM) semasa menangani banjir pada penghujung 2021 yang meragut sekurang-kurangnya 54 nyawa, serta kerugian lebih kurang RM20 bilion, dan skandal Tan Sri Azam Baki yang tidak dikenakan tindakan sebagai faktornya.

Kedua-dua kegagalan ini, tegas Lim dalam satu kenyataan pada 8 Januari lalu, akan membuktikan bahawa Ismail lebih teruk daripada Tan Sri Mahiaddin Yassin, dan meninggalkan beliau dengan rekod sebagai PM paling teruk pernah dimiliki Malaysia.

Menurut Lim lagi, di bawah pengawasan Ismail, ekonomi dan wabak pandemik Covid-19 tidak bertambah baik (setakat 9 Januari lalu, jumlah kes kumulatif ialah 2,786,219, dengan kematian seramai 31,655 orang).

Malaysia, tambah beliau, mencatatkan pertumbuhan ekonomi terburuk di Asean dengan penguncupan negatif 4.5 peratus bagi suku tahun ketiga 2021, berikutan kegagalan ‘sekatan penuh’ (total lockdown) yang bersiri.

Azam dikecam selepas diketahui memegang berjuta-juta saham dan waran dalam dua syarikat senaraian awam pada 2015 semasa memegang jawatan Pengarah Siasatan SPRM.

Dakwaan ini telah menarik perhatian Suruhanjaya Sekuriti (SC) kerana ia berpotensi melanggar Akta Perindustrian Sekuriti Depositori Pusat 1991 (Sicda).

Azam, 58, mendakwa adik beliau, Datuk Nasir Baki, telah menggunakan akaunnya untuk membeli saham itu, dan menafikan sebarang salah laku.

Timbalan Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH), Datuk Seri Salahuddin Ayub turut menyuarakan rasa tidak puas hati terhadap Ismail, yang juga berkaitan dengan salah urus banjir, dan skandal Azam sebagai kegagalan PM itu.

Dalam kenyataan di Twitter beliau juga pada 8 Januari lalu, Ahli Parlimen Pulai itu menggesa Yang di-Pertuan Agong bertindak terhadap Ismail, yang digelarnya sebagai PM yang ‘sangat lemah’.

Walau bagaimanapun, kenyataan Lim itu dikeluarkan ketika Ismail telah mengulas kes Azam. Ismail meminta pihak berkuasa diberikan ruang untuk menyiasat kes berkenaan, dan menyeru pihak lain tidak membuat kesimpulan sendiri.

Diakui, sesiapa pun tidak boleh mengulas/menyimpulkan kes yang yang sedang disiasat. Namun begitu, tindakan Pengerusi Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah (LPPR), Tan Sri Abu Zahar Ujang ‘membersihkan’ Azam daripada sebarang salah laku jenayah, mahupun konflik kepentingan selepas mendengar penjelasan Ketua Pesuruhjaya SPRM itu, menunjukkan seperti kes itu telah ditutup.

Pada mulanya, ‘pembersihan’ itu disangka sebagai tindakan/keputusan LPPR. Begitu pun, sama ada kenyataan Abu Zahar atau LPPR, ‘pembersihan’ itu tidak patut.

Kenyataan peribadi tidak wajar kerana skandal SPRM ialah masalah negara. Jika kenyataan LPPR pula, ia boleh dipertikai, dan terlalu lemah kerana dibuat hanya selepas mendengar penjelasan Azam pada 24 November lalu.

Rupa-rupanya, ia bukan keputusan LPPR kerana enam ahli badan tersebut telah menyangkal pendirian Abu Zahar yang menunjukkan Yang Dipertua Dewan Negara itu tidak berwibawa.

Ismail juga di sebalik gesaan pelbagai pihak agar menubuhkan sebuah badan bebas bagi menyiasat Azam, berpendapat tiada keperluan untuk itu sekarang.

Menurut beliau, sistem yang ada ketika ini mencukupi untuk menjalankan siasatan, dan meminta orang ramai memberikan ruang proses berkenaan berjalan.

Bercakap di Kota Kinabalu, Sabah, Ismail berkata ketika ini SPRM sendiri ada tatacara sendiri untuk mengendalikan kes tersebut, iaitu melalui siasatan dalaman LPPR.

Tambah Ahli Parlimen Bera itu, SC Malaysia dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) jangan diganggu ketika menjalankan siasatan masing-masing.

Keengganan Ismail itu seperti menunjukkan kes berkenaan hanya biasa (kecil), dan tidak serius, sedangkan ahli LPPR sendiri menyanggah ketua mereka.

Begitu pun, Ahli Parlimen Lembah Pantai, Fahmi Fadzil tetap menggesa Abu Zahar memberikan penjelasan penuh, atau meletakkan jawatan.

Fahmi yang sebelum ini mengatakan akaun orang nombor satu SPRM bukan akaun beli-belah atas talian yang boleh digunakan sewenang-wenangnya, menganggap kenyataan media enam ahli LPPR itu amat mengejutkan.

Berdasarkan pengakuan itu, ‘pembersihan’ Abu Zahar dibuat secara peribadi. Menurut mereka, kenyataan Abu Zahar ketika sidang media pada 4 Januari lalu merupakan pendirian peribadi mantan Presiden Majlis Bekas Wakil Rakyat Malaysia (Mubarak), dan Ketua Umno Bahagian Kuala Pilah itu.

Abu Zahar juga disebut oleh mereka sebagai berkata tiada jenayah yang dilakukan atau konflik kepentingan dalam hal tersebut.

Justeru, mereka dengan jelas menyatakan bahawa ahli-ahli LPPR pada mesyuarat itu, atau pada bila-bila masa selepasnya tidak menzahirkan pendirian sedemikian seperti yang dinyatakan oleh Abu Zahar.

Enam ahli LPPR tersebut ialah Tan Sri Ismail Omar, Datuk Seri Azman Ujang, Datuk Seri Akhbar Satar, Datuk Dr Hamzah Kassim, Datuk David Chua Kok Tee, dan Profesor Dato’ Dr Mohammad Agus Yusoff.

Sesungguhnya, sebagaimana kata Fahmi juga, kenyataan media enam Ahli LPPR tersebut satu tamparan hebat buat kewibawaan Abu Zahar, dan satu bentuk ‘undi tidak percaya’ terhadap beliau.

Persoalannya, mengapa Abu Zahar begitu mudah membuat kenyataan sendiri? Apakah yang cuba disembunyi, atau dipertahan oleh beliau?

Azam dilanda kontroversi hebat berhubung dakwaan pemilikan saham di dua syarikat awam pada 2015. Berdasarkan laporan tahunan Excel Force Bhd 2015, beliau yang ketika itu Pengarah Siasatan SPRM, memiliki 2,156,000 waran dalam syarikat itu setakat 21 Mac 2016.

Memang ramai yang menggesa agar siasatan dilakukan berhubung hal itu, dan Azam direhatkan.

Mengenai soal merehatkan Azam, Ismail mengatakan tiada keperluan pada masa ini. Alasan beliau ialah semasa Lim (Guan Eng) dituduh rasuah ketika menjadi Ketua Menteri Pulau Pinang, kerajaan Pakatan Harapan (PH) tidak meminta Ahli Parlimen Bagan itu bercuti.

Mengapa mahu mengikut tindakan kerajaan PH dengan alasan mengelakkan double standard? Kalau menganggap tindakan itu jelik, mengapa beliau mengikutnya, dan enggan melakukan yang lebih baik?

Azam dalam sidang media pada 4 Januari lalu, berkata, beliau memaklumkan kepada LPPR bahawa akaun dagangan miliknya digunakan oleh Nasir untuk memperoleh saham itu. Saham tersebut kemudian dipindahkan kepada adiknya itu.

Abu Zahar yang turut hadir, berkata LPPR berpuas hati dengan penjelasan Azam bahawa beliau tiada kepentingan kewangan, mahupun konflik kepentingan dalam pemerolehan saham tersebut.

Ini dikesali sebagaimana juga penegasan Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan bahawa tuduhan terhadap Azam merupakan percubaan ‘untuk menggugat kestabilan negara di bawah kepemimpinan Ismail’.

Entah mengapa pemimpin atasan Pas, sebagaimana semasa kes IMDB dan skandal Tabung Haji (TH) tidak lama dahulu, begitu mudah berpuas hati dengan hanya satu penjelasan/penafian?

Menurut Takiyuddin, kenyataan terbuka Azam yang berupa penafian terhadap tuduhan berkenaan diharap dapat menghentikan tindakan beberapa pihak yang kelihatan sengaja membangkitkan isu seumpamanya bagi menimbulkan keraguan dalam kalangan rakyat.

Lebih aneh apabila Takiyuddin menyatakan penafian itu juga membebankan pihak yang masih membuat dakwaan yang serupa bagi membuktikan segala tuduhan ke atas Azam berasas, bukan sekadar tuduhan melulu.

Pas, kata Ahli Parlimen Kota Bharu itu, yakin pihak berkuasa akan meneliti kenyataan tersebut dan menilai, seterusnya mengambil tindakan yang adil kepada semua pihak berdasarkan fakta dan undang-undang.

Ada netizen yang berpendapat tiada apa yang salah kerana sekadar adik meminjam akaun abang. Namun demikian, katanya, itu tidak mengapa kerana dia tiada latar belakang undang-undang.

Masalahnya, tambah netizen, ialah Takiyuddin lulusan undang-undang yang sepatutnya tahu tentang kesalahan pinjam-meminjam akaun sedemikian.

Lebih malang, selain menafikan tuduhan, Azam sebaliknya memulakan tindakan undang-undang terhadap pemberi maklumat yang paling awal mendedahkan dakwaan pemilikan saham tersebut.

Azam juga yang seperti tidak tahu peribahasa ‘kalau tiada angin, masakan pohon bergoyang’, meminta orang ramai tidak membuat andaian sendiri, dan menganggap beliau telah bersalah.

Katanya, itu tidak wajar kerana semua orang berhak membela diri masing-masing semasa siasatan dijalankan.

Di sebalik pelbagai pihak termasuk pemimpin parti kerajaan KM menggesa Azam disiasat oleh badan bebas bagi merungkai isu yang membayanginya, kenyataan Takiyuddin itu juga memperlihat percanggahan dalam Pas.

Ketika Setiausaha Agung Pas berpuas hati, Pemuda Pas menyarankan agar Azam direhatkan sehingga siasatan selesai.

Kata Ketua Pemudanya, Ahmad Fadhli Shaari, meskipun beliau menghormati Azam, tetapi pegawai tertinggi SPRM itu wajar memberi laluan kepada siasatan untuk membersihkan namanya.

Fadhli turut menyarankan semua pihak yang terlibat, termasuk pegawai tertinggi SPRM direhatkan sehingga siasatan selesai bagi ‘memastikan ketelusan dalam siasatan, serta membuktikan keseriusan kerajaan dalam menegakkan kedaulatan undang-undang’.

Pusat Membanteras Rasuah dan Kronisme (C4) turut mengecam Azam kerana memulakan prosiding undang-undang untuk fitnah terhadap Lalitha Kunaratnam, walaupun sebelum ini menyokong perlindungan untuk pemberi maklumat.

Pada 17 November 2021, Azam mengatakan SPRM menyokong penuh pindaan terhadap Akta Pemberi Maklumat (WPA) 2010 sebagai cara ‘pihak penguatkuasa dapat lebih meyakinkan orang ramai untuk melaporkan sebarang salah laku’.

Bagi C4, percubaan Azam menutup mulut mantan Penyelidik C4 (pemberi maklumat) itu menunjukkan taktik gangguan, dan ketakutan yang amat tidak sesuai untuk membasmi rasuah.

Pendedahan dan tindak balas bermusuhan oleh Azam itu, tambah C4, memberikan satu lagi tamparan yang memusnahkan kewibawaan SPRM, sebuah institusi yang sudah runtuh oleh rasuah, dan skandal jenayah yang melibatkan pegawainya sendiri.

Ancaman undang-undang Azam terhadap Salitha mengulangi risiko peribadi yang besar yang dihadapi pemberi maklumat apabila mendedahkan salah laku.

Dalam kenyataannya pada 8 Januari lalu, C4 menganggap hal ini ironi paling kejam bahawa Azam, daripada sekian ramai orang, yang sepatutnya membantu Lalitha untuk mendapatkan perlindungan pemberi maklumat.

Justeru, C4 mendesak Azam menarik balik surat tuntutan terhadap Lalitha itu yang diutuskan sehari sebelumnya oleh peguam Azam.

Peguam itu menuntut Lalitha membuat permohonan maaf secara terbuka atas laporan yang ditulisnya mengenai perkara berkenaan, dan meminta beliau membayar ganti rugi berjumlah RM10 juta.

C4 mendakwa kes ini membuktikan bahawa peruntukan sedia ada dalam WPA 2010 tidak mencukupi untuk melindungi pemberi maklumat, dan gagal meyakinkan mereka untuk tampil.

Katanya, Seksyen 6 (1) mengehadkan pemberi maklumat untuk melaporkan kes kepada agensi penguatkuasaan sahaja, jika gagal perlindungan pemberi maklumat akan dibatalkan.

Tambahan pula, kata C4, seksyen itu membawa syarat pendedahan berkenaan tidak boleh melanggar mana-mana undang-undang sedia ada, pada asasnya menyekat usaha pemberi maklumat yang berkesan.

Badan bukan kerajaan itu bertanya di mana sokongan Azam kepada pemberi maklumat, dan adakah semuanya hanya ‘cakap tak serupa bikin’?

Justeru, tindakan paling tepat untuk Azam sekarang, tambah C4, ialah menarik balik surat tuntutannya, dan membuktikan kepada umum bahawa SPRM benar-benar menyokong perlindungan pemberi maklumat. Azam juga diminta mengisytiharkan asetnya serta-merta.

Dalam satu kenyataannya, pakar ekonomi, Prof Edmund Terence Gomez menyifatkan surat tuntutan itu sebagai tindakan ‘menakut-nakutkan yang serius’.

Gomez berundur dari LPPR SPRM pada Disember lalu sebagai membantah kegagalan untuk bertindak terhadap skandal Azam.

Menurut Gomez, beliau terkejut, malah terkedu, apabila Lalitha disaman oleh Azam. Katanya, menghantar surat tuntutan kepada pemberi maklumat merupakan intimidasi serius oleh Azam.

Tegas Gomez, jika pemberi maklumat diancam sebegini oleh mereka yang ada kedudukan, dan kuasa – trend yang sudah lama berlaku di Malaysia, sukar untuk kita membuat sebarang kemajuan agar rakyat mendedahkan soal rasuah, dan melindungi mereka atas tindakan itu.

Justeru, beliau juga meminta Azam menarik balik surat tuntutan itu serta-merta, dan menghentikan percubaannya untuk memangsakan pemberi maklumat.

Kata Gomez, Azam wajar mendedahkan semua kepentingan perniagaannya secara terbuka untuk melindungi imej dan integriti SPRM, bukannya menyaman pemberi maklumat.

Beliau turut menyeru Ismail dan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim bertindak, dan memulakan semakan segera terhadap SPRM. Ismail juga, katanya, perlu bertindak segera mewujudkan panel bebas untuk mengkaji dakwaan kepentingan perniagaan Azam.

Namun demikian, hal ini disukarkan apabila Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar kelihatan memandang remeh skandal Azam dengan membangkitkan nilai saham-saham pada masa pembeliannya.

Wan Junaidi telah memberikan justifikasi isu saham dipegang oleh Azam, dengan mengatakan ia bernilai RM330,000, dan adalah mampu milik.

Lantas, Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen (PSC) untuk Agensi Jabatan Perdana Menteri (JPM) kesal dengan kenyataan ‘membela Azam’ daripada Wan Junaidi itu.

Dalam kenyataan bersama yang ditandatangani Chan Foong Hing (Kota Kinabalu), Khoo Poay Tiong (Kota Melaka), Datuk Mohd Azis Jamman (Sepanggar) dan William Leong (Selayang) – ahli Parlimen PH yang menganggotai PSC itu, mereka mencabar Wan Junaidi memperjelas hal berkenaan.

Bagi PSC, isu pembelian saham-saham ini bukan sahaja isu mampu milik, tetapi juga persoalan konflik kepentingan, integriti, dan defisit kepercayaan rakyat jelata terhadap SPRM selaku pembasmi rasuah. PSC melihat Wan Junaidi telah mengabaikan kesemua persoalan ini.

Menurut Wan Junaidi, jumlah saham yang dikaitkan dengan Azam itu mampu dimiliki kebanyakan orang, dan tidak salah penjawat awam memperoleh saham dalam syarikat senaraian awam.

Jelas beliau, pada 2016, satu juta saham yang dibeli oleh Azam bernilai RM330,000, berharga antara 30 sen dan 33 sen sesaham, dan dikumpul secara beransur-ansur. Berdasarkan harga awal, ia satu saham yang murah. Justeru, Wan Junaidi percaya ia mampu dimiliki kebanyakan orang.

Sehubungan itu, ahli PSC berkenaan berpendapat kenyataan Wan Junaidi bahawa Ketua Pesuruhjaya SPRM mampu membeli saham tersebut menggunakan gaji sendiri juga bertentangan dengan kenyataan Azam sebelum ini yang mendakwa akaunnya telah digunakan oleh adiknya.

Mereka bertanya mengapakah seruan mengadakan pendengaran untuk Azam diketepi, dan bagaimana demokrasi berparlimen di Malaysia dapat berfungsi jika PSC tidak dapat menjalankan tugas secara berdikari, tanpa perlu mendapatkan kelulusan eksekutif?

Arahan bahawa Setiausaha Dewan Rakyat (SUDR) perlu menulis surat kepada Wan Junaidi untuk mendapatkan kelulusan juga dipersoal. Mereka menegaskan tiada keperluan bagi mendapatkan kelulusan Wan Junaidi dan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Azhar Azizan Harun.

SUDR seharusnya, kata mereka lagi, menetapkan tarikh bagi mesyuarat atau pendengaran PSC Agensi JPM tanpa dilengah-lengahkan.

*RAYUSA seorang penulis bebas yang turut menulis isu sastera dan budaya tanah air.

Tiada ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.