Rakyat Kelantan bersemangat untuk tumbangkan Pas
Oleh Mohd Sayuti Omar
DALAM dua bulan ini sudah dua kali saya balik ke Kelantan. Dikesempatan
itu saya berpeluang untuk berintraksi dengan sebilangan rakyat dari
berbagai lapisan dan latar belakang untuk meninjau keadaan politik di
Kelantan hari ini, khasnya kedudukan kerajaan Kelantan peninggalan arwah
Nik Abdul Aziz yang sudah berusia 32 tahun.
Apa lagi bila dekat pilihan raya umum, cakap-cakap politik makin rancak. Rakyat Kelantan dikenali sebagai masyarakat yang suka berpolitik. Bagi rakyat Kelantan, mereka berpolitik sepanjang masa, mereka tidak pernah berhenti berpolitik. Tiada masa senggang untuk tidak bermain politik. Politik adalah budaya seperti permainan tradisi. Politik adalah makan minum buat mereka.
Tempat membicarakan isu-isu politik pula bukan sahaja di balai-balai tempat berhimpun dan berkumpulnya anggota parti atau ketika diadakan majlis politik, tetapi dimana-mana jua. Kedai kopi, kedai gunting, dalam pasar, atas wakaf, setesen teksi, di sekolah menjadi medan untuk mereka bersembang untuk mendapat informasi politik.
Adakalanya di atas surau juga turut sama dibawa politik. Kalaupun sedikit suci ialah di dalam masjid, sebab masjid dikuasai oleh Majlis Agama Islam Kelantan (Maik) yang dibawah naungan Al-Sultan. Namun begitu pun masih ada masjid yang berani atau (degil) membenarkan politik diselitkan menerusi kuliyyah ustaz ataupun guru-guru tertentu.
Kobaran semangat.
Selama berada di Kelantan beberapa hari itu, dapat saya simpulkan semangat rata-rata rakyat Kelantan untuk menumbangkan kerajaan Pas sangat tinggi dan sudah membuak-buak. Mereka sedang berghairah bagi menghadapi pilihan raya buat mengajar Pas. Semangat mereka berkobar-kobar. Sepuloh orang yang ditemui dan diajak bersembang politik, lapan atau sembilan orang mengatakan mereka tidak mahu lagi kepada Pas. Masing-masing memberi pendapat Pas sudah tidak relevan dan perlu tumbangkan.
Segala macam pendedahan, penyelewengan, salah urus tadbir negeri, kelemahan pentadbiran yang didedah akhir-akhir ini telah memancing hati mereka untuk membuat semakan terhadap kerajaan Pas. Situasi itu menambahkan keinginan mereka untuk tidak membenarkan Pas terus mentadbir negeri. Mereka mula insaf kalau dibiarkan Pas terus memerintah maka negeri akan mengalami berbagai kerugian lagi dan tidak maju.
Segala pendedahan yang dibuat secara berfakta, tidak dapat dibalas atau gagal dijawab oleh pemimpin Pas. Pemimpin Pas banyak jadi tikus jatuh ke genak daripada menjawab isu. Kalau pun yang "lacak" bercakap menjawab isu-isu yang dibangkitkan hanya Mohd Amar Nik Abdullah, itu pun secara simplistik dan berhujah menggunakan "ken", jauh sekali mengambil pendekatan rasional.
Mohd Amar sudah damage Pas. |
Misalnya kalau sebelum ini mereka percaya kepada Pas yang mengambil dasar Islam sebagai roh pemerintahan, kini ia sudah tidak boleh diyakini lagi, sebaliknya ia hanya jadi bahan persendaan. Keyakinan mereka sudah lupus apabila terdapat beberapa wakil rakyat Pas sendiri terlibat dengan penyalahgunaan kuasa untuk memiliki kekayaan.
Permainan politik wang dan kegemaran mempamerkan kekayaan di kalangan pemimpin Pas sangat menjolok mata. Begitu juga dengan syariat berpoligami, sudah jadi budaya di kalangan wakil rakyat sehingga ada tergamak berkahwin dan menceraikan isteri menerusi internet.
Kegagalan Pas melaksanakan sistem Islam yang dijanjikan juga menyebabkan rakyat Kelantan mulai mengenali Pas sebagai parti kelentong atau sama dengan parti-parti lain. Mereka menggunakan imej Islam untuk memperdayakan rakyat sahaja. Kalau dahulu mereka percaya kepada Pas yang menggunakan alasan tidak ada kuasa bagi melaksanakan semua itu, kerana Pas berada di luar kerajaan. Mereka boleh maaf dan bersabar dengan Pas kalau apa dijanjikan itu lambat atau tidak dilaksanakan.
Tetapi hari ini hujah dan alasan itu sudah tidak laku lagi. Hari ini Pas adalah sebahagian kerajaan. Sekurang-kurang lima hingga tujuh orang ahli parlimen Pas bertaraf menteri dan timbalan menteri manakala yang lain memegang jawatan pengerusi GLC atau lembaga. Antara ahli parlimen Pas yang jadi menteri ialah, Tuan Ibrahim Tuan Man, Idris Ahmad, Takiyuddin Hassan, sementara timbalan menteri Nik Zawawi, Awang Hashim, Siti Zailah Yusfo dan lain-lain.
Sebelum ini Pas menggunakankan tidak mempunyai kuasa (kerajaan) sebagai alasan untuk tidak melaksanakan janji mereka bagi melaksanakan suruhan agama. Rakyat percaya dengan alasan itu dan sabar dengan apa yang terjadi. Lantas mereka bermati-matian penuh ikhlas berusaha mendapatkan kuasa sehingga sanggup menghadapi apa jua pencaroba.
Salah satu perkara yang sangat diperhatikan mereka ialah hudud. Sebelum dapat kuasa bukan main lagi Pas berjanji akan melaksanakan hudud. Hudud dijadikan destinasi dan mauduk terbesar dalam perjuangannya. Seolah-olah hududlah segala-gala bagi Pas hatta ekonomi dan kewangan langsung penting langsung.
Ketika hendak bentangkan RUU 355 bagi memberi kuasa kepada mahkamah syariah ke arah membolehkan hudud dilaksanakan, bukan main lagi Pas mengerahkan rakyat untuk menyokongnya. Sampai mengadakan tunjuk perasaan menyokong RUU 355 di parlimen. Rakyat jauh dan dekat, dari kota dan desa dikerah untuk berhimpun di Padang Merbok. Semua rakyat yang tersihir dengan Pas hadir kerana merebut syahid di sana. Seorang penyokong setia Pas sanggup mengayuh "gerek" ke Padang Merbok demi hudud.
Malangnya selepas Pas berada dalam kerajaan dan wakil rakyatnya mula merasai keempukan kerusi menteri, timbalan menteri dan pengerusi GLC, sudah merasai keenakan seat bisnes class di pesawat, sudah reti membuat tuntutan elaun dan sebagainya, suara memperjuangkan hudud pun tenggelam. RUU 355 yang pernah dibaca di parlimen juga tidak disebut dan menjadi keutamaan lagi.
Padahal hujah rakyat, saat inilah kalau Pas serius hendak melekansakan hudud dengan membentang RUU355 yang udah pun pernah dibaca di parlimen itu. Jika RUU 355 dibentang ia tidak ada masalah untuk mendapat sokongan. Suara pembangkang yang ada dalam parlimen ketika ini tidak mampu menolaknya.
Tetapi soal mereka, kenapa RUU 355 itu senyap. Kesenyapan itu menunjukkan Pas tidak serius dan hudud adalah modal tetap Pas setiap kali berpilih raya semata-mata. Perubahan inilah menjadi rakyat Kelantan terutamanya mereka yang obses dengan hudud kecewa dan marah kepada Pas serta hilang kepercayaan kepada parti bernuansa agama itu.
Dua kali lima.
Sikap itulah menambahkan rasa geli gelaman orang Pas kepada parti itu. Sementara mereka yang sebelum ini menyokong Pas atas dasar bencikan Umno, atau melihat Umno unIslamic, parti sekular berbanding dengan Pas perlahan-lahan sudah bermuhasabah dan mula menarik sokongan. Mereka sudah menyedari yang selama ini mereka diperbodoh-bodoh dan diperkotak-katikkan oleh Pas dengan menggunakan makep agama (Islam). Mereka sudah mula berfikir bahawa tidak banyak dan jauh bezanya di antara Pas dengan Umno. Dua kali lima sahaja.
Perkembangan itu menyebabkan rakyat Kelantan sudah tidak yakin Pas. Manakala kelemahan urus tadbir negeri, kegagalan berpanjuangan menyelesaikan berbagai masalah yang sudah berlarutan berdekad-dekad seperti menyediakan kemudahan asas, air bersih, jalan raya, menyediakan peluang pekerajaan, kekeringan idea menggunakan aset semula jadi, menjadikan rambu menambahkan marah mereka.
Alasan kenapa air terus bermasalah di Kelantan kononnya kerajaan tidak mempunyai wang atau peruntukannya disekat oleh Pusat sudah tidak dapat diguna lagi. Alasan itu sudah tidak boleh diterima apabila kerajaan kini mempunyai lebihan perbelanjaan dalam perbendahraan negeri (suples) sebanyak RM300 hingga RM400 juta. Rakyat yang cerdik bertanya kenapa wang itu tidak digunakan untuk memberesi masalah rakyat.
Dengan menilai kerajaan Kelantan mempunyai wang apabila royalti petronas dibayar, tetapi ia tidak dimanfaat sepatutnya, menyebabkan rakyat mula berfikir bahawa kerajaan Kelantan tidak ada idea. Kerajaan Kelantan hari ini tidak kreatif dan tahu menggunakan wang untuk rakyat tetapi bijak untuk diri sendiri.
Pakar-pakar pentadbiran dan ekonomi tidak ada dalam barisan kerajaan kini. Sebab inilah mereka berfikir kerajaan perlu ditukar kepada mereka yang berpengalaman serta bijak mengurus negeri. Di sini akal lebih penting daripada kekayaan.
Tidak gampang.
Bagaimana pun apa menjadi persoalan sekarang ini kehendak rakyat itu tidak mudah dicapai. Kerajaan Pas yang ada hari ini tidak gampang untuk ditumbangkan. Walaupun semangat rakyat sudah membanjir, tetapi untuk menyingkirkan Pas bukan perkara senang sekiranya beberapa keadaan tidak diperbetulkan dan ditindak dengan segera.
Umno adalah parti kedua terbesar di Kelantan selepas Pas. Apa lagi parti ini pernah membentuk kerajaan dan membawa perubahan ke Kelantan dalam waktu yang relatif singkat sewaktu memerintah. Dengan pengalaman itu Umnolah parti paling wajar menjadi dan diletakkan harapan untuk menggulingkan Pas. Sekiranya Umno sedia bersama Pas, maka hasrat rakyat Kelantan untuk melihat perubahan tidak akan tercapai. Pasti Pas akan terus menang.
Masalahnya kini parti itu seperti tidak bersedia untuk bergerak sendiri. Ada masalah yang membelenggu parti itu. Pertama tidak ada perpaduan kental dalam parti itu. Secara sedar atau tidak, ada dua pihak dalam Umno. Satu pihak tidak yakin dengan kekuatan sendiri dan mereka lebih cenderong untuk bersama Pas. Puak yang cenderong untuk bersama Pas lebih untuk menjaga kepentingan diri. Mereka percaya kerusi mereka akan selamat kalau bergabung dengan Pas.
Manakala pihak kedua ialah pihak yang mahu bertanding sendiri dan menolak Pas kerana Pas menerima Bersatu. Tindakan mereka ini apabila Pas yang sebelum ini berhajat untuk bersama mereka tetapi telah memilih Bersatu untuk dijadikan gabungan. Pelancaran gabungan itu, Perikatan Nasional (PN) telah pun dilakukan di Tanah Merah baru-baru ini. Peluncuran PN itu sedikit sebanyak mengecewakan mereka dalam Umno itu.
Sehingga kini Umno Kelantan masih belum berbuat apa-apa sekadar turun ke kawasan selepas mengadakan retreat di Bangkok. Sebarang himpunan raksasa bagi menunjukkan kekuatan belum dibuat. Apakah parti itu masih menanti perkembangan selanjutnya dan tetap berharap akan bekerjasama dengan Pas? Walahu'alam.
Jika dilihat kepada sikap dan perangai Pas kini, Umno Kelantan sepatutnya tidak perlu menanti Pas lagi. Parti itu perlu move on, membina kekuatan sendiri. Umno perlu yakin diri untuk menumbangkan kerajaan Pas. Umno tidak perlu berlengah sehingga kapal sudah mengangkat sauhnya. Usah lewat membilang waktu.
Sebenarnya Umno mempunyai peluang dan kesempatan yang baik untuk mencapai cita-cita lama mereka itu untuk berkuasa di Kelantan. Umno harus sedar lebih 30 tahun ia menunggu untuk menguasai Kelantan. Kini peluang itu sudah terbuka luas. Umno cuma perlu berani dan yakin sahaja lagi. Kesempatan yang ada perlu bijaksana mengambilnya.
Impian Umno untuk menumbangkan Pas kali ini akan berjaya walaupun parti itu berkolaborasi dengan Bersatu. Syarat satu sahaja, Umno perlu bersedia untuk bergabung dan bekerjasama dengan PH dan parti pembangkang lain. Dan PH yang didalamnya ada PKR dan PTC (Amanah) tidak perlu menjual mahal, sebaliknya kena insaf dan sedar diri. Kata orang beli baju kena ukur badan sendiri, kalau tidak kelonggran nanti.
Dalam gabungan itu jangan lupa bawah bersama SaveKelantan, yang kini bertanggungjawab dan dilihat sebuah Ngo yang bangkit penuh kesedaran dan bertanggungjawab untuk membela rakyat dan negeri Kelantan. SaveKelantan walaupun bukan partisan, tetapi peranan dan penglibartannya sangat signifikan dalam usaha untuk menumbangkang Pas.
Dan jika Umno mengabai akan kepentingan ini, serta masih menunggu gamitan daripada Pas untuk bersamanya, Umno akan ketinggalan. Pilihan raya umum boleh tiba bila-bila masa tanpa menanti mana-mana pihak bersiapa sedia atau tidak. Dan pilhan raya umum ke-15 ini tidak memberi apa-apa erti kepadanya, melainkan sikap lembat dan lembab Umno itu hanya memberi keuntungan kepada Pas. Beberapa kerat Umno yang cenderong dengan Pas demi survive politik mereka tentu "bergumbira" dengan sikap yang ditunjukkan Umno Kelantan kini
Tiada ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.