https://critoxium.com/shop/

Terkini

Tawar harga munasabah


Oleh George Josept 

Isu cetak rompak yang menimpa industri penerbitan kandungan sememangnya tidak pernah berkesudahan sejak dulu.

Apatah lagi sekarang dengan kemajuan teknologi, cetak rompak digital menjadi cabaran besar terbaru.

Tanggungjawab pihak berwajib termasuk Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas) bakal bertemu Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) pun semakin bertambah sebenarnya dalam menangani isu ini.RTISEMENT

Hakikatnya, amat sukar untuk membendung cetak rompak terutama kerana syarikat penyiar mengenakan bayaran terhadap kandungan mereka. Pada masa sama, pengamal cetak rompak mencari jalan untuk mengeksploitasi serta mengaut keuntungan daripadanya.

Malangnya, dalam beberapa tahun kebelakangan ini usaha demi usaha dibuat untuk mencegahnya tetap bertemu jalan buntu. Sebaliknya, aktiviti yang mulanya sekadar hobi itu bertukar menjadi operasi jenayah.

Walaupun cetak rompak digital sukar untuk ditepis, terdapat enam cara yang boleh dipergiat demi memastikan kandungan 'bocor' tertentu dapat diselamatkan. Ini adalah demi memastikan kerugian lebih besar dapat dihalang menimpa mana-mana penyiar.

Pertama, syarikat penyiar perlu melaksanakan insentif pembayaran kandungan pada harga mampu milik. Harga itu perlu disetarakan misalnya setiap penyiar menyediakan kualiti video memuaskan.

Bukan sekadar harga, penonton juga semestinya inginkan pengalaman yang menyenangkan apabila melayari platform penstriman tertentu. Ciri yang mesra penonton serta kelancaran video tanpa tersekat aspek penting walaupun nampak ringkas.

Semakin munasabah kos yang ditetapkan dalam industri, semakin kurang orang terdorong untuk memilih saluran cetak rompak. Masih ada juga pastinya berbuat demikian, tapi pendekatan sebegini mampu menghentikan penonton kasual kandungan cetak rompak.

Kedua, dengan mendidik serta sebaran berterusan bahawa cetak rompak adalah jenayah besar. Matlamat utamanya adalah tidak lain memberi amaran terutama kepada orang industri sendiri yang menjadi dalang aktiviti jenayah itu.

Kempen sebegini perlu dijalankan berterusan dan bukannya bermusim saja agar sentiasa menjadi peringatan penting. Tidak mustahil, pendekatan ini mampu mengurangkan angka mereka yang terbabit dalam aktiviti cetak rompak.

Antara topik yang perlu ditekankan dalam kempen terbabit adalah kegiatan jenayah terancang berkenaan cetak rompak. Selain itu, penekanan terhadap perisian berbahaya serta kandungan terlarang.

Ketiga, sekatan terhadap kemasukan dalam mengakses terhadap sesebuah kandungan. Bagi pengguna yang akses dengan cara betul pastinya mudah dan tiada masalah. Akan tetapi, jadikan akses itu mustahil buat individu yang bertujuan mencetak rompak.

Tidak dinafikan, era kandungan ketat dilindungi sudah berlalu. Pemilik kandungan pun semakin bijak dengan menugaskan syarikat pelesenan yang benar-benar dipercayai mampu buktikan boleh memastikan perlindungan itu.

Memang tiada teknologi yang mampu menjamin kawalan ketat sepenuhnya dapat dicapai. Bagaimanapun, sekurang-kurangnya pendekatan itu dijadikan senjata berjaga-jaga serta boleh mengumpul bukti untuk dibawa ke pihak berkuasa.

Keempat, teknologi dan operasi. Penyiar perlu peka kandungan mana yang dicetak rompak dan di mana. Pemantauan kunci terpenting dengan bantuan teknologi pengesan selain pemantauan manusia sendiri saja.

Sebaik pencerobohan data dikesan, serta-merta ambil tindakan sepatutnya untuk menangani cetak rompak dengan laju. Tindakan cekap sebegini menjadi sangat penting kebelakangan ini terutama program secara langsung yang dicetak rompak serentak di platform lain.

Penyiar mengalami kerugian apabila penonton yang diharapkan memasuki saluran betul terpedaya untuk menonton di saluran terlarang.

Persetujuan tahap tertinggi perlu dibuat dengan pengguna carian serta rangkaian sosial penting bagi memudahkan pengesanan itu.

Kelima, tidak lain tidak bukan ialah penguatkuasaan dan tindakan undang-undang.

Terdapat pelbagai cara syarikat penyiar boleh campur tangan sama ada dengan memberi notis menurunkan kandungan secara tradisional mahupun amaran tindakan undang-undang.

Kunci pentingnya bertindak cekap dengan mengetatkan penguatkuasaan memadam kandungan dicetak rompak di internet misalnya, ia langkah terbaik untuk menarik pengguna kembali menggunakan saluran betul.

Keenam, adalah menerusi usaha sama semua penyiar serta mereka yang termasuk dalam ekosistem industri. Mereka perlu bergantung sesama lain untuk memastikan tiada 'kebocoran' berlaku terutama membabitkan dalang orang dalaman.

Penulis, Wartawan Hiburan Harian Metro

 

Tiada ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.