https://critoxium.com/shop/

Terkini

Kembali huni bangsal selepas tak mampu sewa rumah


PENDANG: Seorang lelaki bersama anak dan tiga cucunya yang berusia empat tahun hingga 14 tahun terpaksa menghuni sebuah bangsal yang usang di Kampung Kubur Panjang, di sini sejak dua minggu lalu kerana tidak mampu lagi menyewa rumah setelah hilang mata pencarian.

Kesempitan hidup itu memaksa Hazimi Ayob, 56, berteduh di bangsal yang tidak berlantai dan berdinding setelah perniagaan makanan haiwan diusahanya ditutup kerana mengalami kerugian, selain tidak mampu lagi menanggung kos barangan yang meningkat.

“Dahulu saya buka kedai jual burung dan makanan burung. Sewa rumah kedai di pekan Kubur Panjang RM350 sebulan tetapi sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), perniagaan mula merosot dan harga makanan haiwan pula naik hingga saya terpaksa tutup.

“Baru-baru ini saya tak mampu lagi bayar sewa rumah, jadi kami terpaksa kembali di rumah bangsal ini. Kawasan ini adalah tanah milik keluarga saya,” katanya ketika ditemui Mingguan Malaysia semasa menerima kunjungan Penyelaras Pejuang Pendang, Najmuddin Darus yang menyampaikan sumbangan, semalam.

Walaupun mempunyai enam anak, kata Hazimi, dia rela menghuni rumah bangsal itu kerana tidak mahu membebankan mereka yang mempunyai tanggungjawab kepada keluarga masing-masing.

Menurut lelaki berstatus duda itu, dia menjadi ibu dan bapa kepada tiga cucu sejak ibu mereka yang juga anak keduanya berkahwin lain dan berpindah ke Alor Setar sejak beberapa tahun lalu.

“Saya jaga mereka dari kecil. Cucu perempuan yang bongsu juga kata dia selesa duduk di sini kerana mereka bersekolah di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kubur Panjang dan Sekolah Kebangsaan (SK) Kubur Panjang yang tak jauh dari kawasan ini.

“Kalau mereka pindah ke Alor Setar, susah juga emak mereka mahu uruskan semua jadi saya uruskan sendiri di sini tetapi masa cuti sekolah mereka akan balik ke rumah ibu mereka juga,” katanya.

Ceritanya, walaupun rumah bangsal itu serba daif malah tidak mempunyai kemudahan seperti tandas mahupun dapur, mereka sekeluarga sudah terbiasa dengan keadaan itu.

“Tak jadi masalah kerana untuk mandi atau masak saya akan pergi ke rumah anak saudara saya yang terletak bersebelahan. Saya cuma tidur sahaja di sini. Sekarang tengah bina satu bilik untuk cucu perempuan saya supaya dia selesa duduk di sini,” katanya yang kini menyara hidup dengan membuat kerja-kerja kampung serta menjerat burung untuk dijual.

Katanya, pendapatannya kini hanya sekitar RM700 sebulan termasuk upah yang diraihnya ketika menjadi juri pertandingan suara burung.

Sementara itu, mereka yang ingin menghulurkan bantuan untuk meringankan beban keluarga berkenaan boleh berbuat demikian dengan menyumbang ke akaun Bank Rakyat 221331026977 milik Hazimi.

 

Tiada ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.