Harga sayur mulai turun menjelang bulan puasa, peniaga luah lega
Menjelang bulan puasa tidak lama lagi, harga sayur-sayuran di beberapa pasar utama di Kota Bharu, Kelantan dilapor menurun sehingga berlaku lebihan bekalan bagi menampung keperluan pengguna.
Difahamkan, penurunan harga sayur di negeri itu berlaku sejak seminggu lalu, terutama apabila ia dibeli secara terus melalui pemborong tanpa melalui orang tengah.
Tinjauan Harian Metro pada semalam mendapati timun dijual pada harga RM4 sekilogram berbanding RM8 sekilogram sebelum ini, manakala sawi kini dijual pada harga RM5 sekilogram berbanding RM12 sekilogram sebelum ini.
Pada masa sama, harga kacang panjang juga mengalami penurunan iaitu RM7 sekilogram berbanding RM12 sekilogram sebelum ini, sementara peria RM6 sekilogram berbanding RM12 sekilogram sebelum ini.
Peniaga sayur, Noriah Adam, 48, berkata dia berasa sedikit lega apabila harga sayur semakin menurun, menyebabkan terdapat lebihan bekalan susulan pembelian yang berkurangan.
“Harga sayur yang dibeli daripada pemborong juga lebih murah kerana tidak ada orang tengah, berbanding sebelum ini yang terpaksa menggunakan khidmat orang tengah kerana kesukaran mendapat bekalan.
“Saya juga berasa sedikit lega apabila harga sayur mulai turun dan kenaikan itu biasanya berlaku apabila musim perayaan disebabkan permintaan tinggi,” katanya seperti yang dilapor Harian Metro ketika buat tinjauan di Pasar Besar Siti Khadijah.
Peniaga lain, Azlan Abdullah, 33, berkata sebagai peniaga yang menjual secara borong, dia mengakui terdapat peningkatan dan juga penurunan harga sayuran dalam tempoh sebulan.
“Bagaimanapun, sejak dua minggu lalu beberapa jenis sayur mengalami penurunan harga termasuk lada solok yang dijual RM8 sekilogram berbanding RM13 sekilogram sebelum ini selain terung yang kini dijual RM2 sekilogram berbanding RM5 sekilogram.
“Saya menanam sendiri beberapa sayuran termasuk terung dan pada masa sama turut menerima bekalan daripada rakan-rakan dari Machang, Pasir Mas dan Pasir Puteh.
“Setakat ini, tidak ada peningkatan mendadak harga sayur memandangkan bekalan senang diperoleh pada ketika ini,” katanya.
Tiada ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.