https://critoxium.com/shop/

Terkini

Dilarang guna senjata, politik ketika Minggu Solidariti Palestin


PETALING JAYA: Kementerian Pendidikan melarang penggunaan senjata dan politik bagi penganjuran Minggu Solidariti Palestin di sekolah.

Menterinya, Fadhlina Sidek dalam garis panduan dimuat naik ke media sosial turut mengingatkan pihak sekolah mengelakkan retorik ekstremis, menyalahkan individu atau agama dan memanipulasi fakta.

“Hindari aktiviti seperti protes jalanan yang boleh menimbulkan konflik atau ketegangan; jangan memihak atau memberikan platform kepada mana-mana pihak politik; jangan menonjolkan perspektif satu pihak dan elak menggunakan simbol atau ikon boleh menimbulkan kontroversi,” menurut infografik di X.

Beliau berkata, pihak sekolah perlu menekankan perjuangan kemanusiaan dan pentingnya kedamaian, bukannya elemen keganasan atau kontroversi; mengadakan aktiviti pendidikan yang memberi gambaran sebenar situasi di Palestin dan menggalakkan dialog terbuka.

Katanya, sekolah juga boleh mempelawa organisasi kemanusiaan dan badan bukan kerajaan berpengalaman, selain memilih penceramah berpengalaman serta mampu menyampaikan fakta dengan cara berimbang.

Beliau berkata, pihak sekolah boleh mengadakan kempen amal bagi mengumpul sumbangan untuk bantuan kemanusiaan seperti makanan dan pakaian.

Sebelum ini, tular video mengenai program di sebuah sekolah yang memaparkan unsur ekstremisme bagi menyuarakan sokongan kepada rakyat Palestin.

Satu video 55 saat menunjukkan seorang lelaki mengacukan senapang mainan ke arah pelajar sambil mengetuai sekumpulan guru mengibarkan bendera Palestin ke perhimpunan.

Terdapat juga gambar kanak-kanak di sekolah lain memakai bandana tertera perkataan “Selamatkan Palestin” dan membawa senapang mainan.

Susulan itu, Perdana Menteri, Anwar Ibrahim dilaporkan menggesa kawalan ke atas Minggu Solidariti Palestin di sekolah bagi mengelakkan sebarang isu tercetus.

Kementerian Pendidikan pula dilaporkan berkata, penganjuran program di sekolah terbabit di luar tempoh pelaksanaan Minggu Solidariti Palestin dari 29 Okt lalu hingga 3 Nov ini dan tidak mengikuti panduan ditetapkannya.

Katanya, ia tidak akan berkompromi dengan sebarang aktiviti berbentuk ekstremisme sepanjang penganjuran Minggu Solidariti Palestin dan melarang penggunaan replika senjata, ikon serta simbol mengandungi elemen provokasi serta konfrontasi ketika acara itu.

Tiada ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.