Subsidi bersasar jika harga ayam naik semula, kata Mat Sabu
KUALA LUMPUR: Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) cenderung kepada formula pemberian subsidi bersasar, sekiranya harga ayam naik secara mendadak selepas penamatan subsidi dan kawalan harga ayam berkuat kuasa 1 Nov ini.
Menterinya, Mohamad Sabu berkata pemberian subsidi bersasar dilihat lebih sesuai untuk memastikan hanya golongan memerlukan dan terkesan dapat menikmatinya.
“Kalau kenaikan (harga ayam) melampau, kita cenderung kepada pemberian subsidi bersasar kepada golongan B40 yang terkesan kerana jika kita beri subsidi secara pukal, ia hanya menguntungkan tauke dan pengilang besar.
“…harga (makanan ayam) jagung bijirin dan kacang soya menurun, justeru harga ayam pun sudah turun, malah ada tempat menjual ayam pada harga kurang RM7 (sekilogram),” katanya ketika menggulung perbahasan peringkat dasar Rang Undang-undang Perbekalan 2024 bagi kementerian itu di Dewan Rakyat hari ini.
Mohamad berkata, seperti diumumkan pada sidang media berhubung penamatan subsidi ayam pagi tadi, keputusan kerajaan melepaskan subsidi sumber protein itu merupakan keputusan tepat.
Katanya, pembekal juga memberi jaminan bekalan ayam mencukupi buat masa ini dan masa depan, selain akan meningkatkan pengeluaran sumber makanan itu.
Mengulas isu monopoli Padiberas Nasional Berhad (Bernas) sebagai “gatekeeper” tunggal, katanya model penswastaan Bernas bersifat subsidi silang, iaitu keuntungan import akan diguna pakai untuk melaksanakan tugas dan tanggungjawab yang diberikan kerajaan.
“Berbanding perjanjian konsesi antara kerajaan dan Bernas sebelum ini, penambahbaikan dibuat dengan menetapkan Bernas melaksanakan 10 obligasi sosial bagi pihak kerajaan bernilai RM3.2 bilion meliputi pelbagai program dan insentif di sepanjang rantaian nilai industri bagi tempoh perjanjian konsesi baharu.
“Justeru, dasar yang dilaksanakan ketika ini masih relevan dalam mendepani situasi semasa. Prestasi Bernas selaku pengimport utama beras negara sentiasa dipantau dan diberikan penilaian oleh kerajaan melalui pencapaian prestasi utama.”
Tiada ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.