https://critoxium.com/shop/

Terkini

OIC perlu pemimpin tegas, tetap pendirian


Oleh 
Shahidah Abdul Razak 

Kedudukan Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) sebagai organisasi antarabangsa penting negara Islam dan kedua terbesar selepas Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) sekali lagi mendapat kritikan di tengah-tengah Perang Palestin-Israel.

Malah, ruangan Soal Jawab di BH Ahad semalam, turut menyentuh kedudukan organisasi menaungi 57 negara Islam dan 1.5 bilion umat Islam, apatah lagi ia ditubuhkan selepas serangan Israel terhadap Masjid al-Aqsa di Palestin.

Malangnya sehingga kini, OIC masih tidak mampu menyelesaikan konflik berlarutan antara Israel dan Palestin yang masih di bawah jajahan rejim Zionis, manakala penduduk Gaza terus menderita seperti tiada pembelaan.

Lebih teruk OIC turut menjadi bahan jenaka kerana dianggap tidak serius menyelesaikan masalah umat Islam termasuk mempertahankan kedaulatan Palestin sebagai negara sah.

OIC dianggotai hampir semua negara Islam mempunyai latar belakang berbeza dari segi ekonomi, pentadbiran, ideologi dan kepentingan. Namun, penyatuan sebenar negara anggota sangat dituntut kerana isu Palestin kian meruncing.

Ada beberapa masalah dalam OIC seperti ketiadaan kepemimpinan teguh dan kesanggupan politik membela nasib Palestin. Arab Saudi sebagai contoh ialah negara mempunyai suara dalam pertubuhan itu kerana menjadi negara penyumbang terbesar. Namun, Arab Saudi tidak melaksanakan peranan jelas sebagai negara Islam berpengaruh dan jiran kepada Palestin.

Arab Saudi juga dilihat ada kepentingan dalam hubungan dengan Amerika Syarikat (AS) yang menjadi sekutu kuat Israel. Perancangan demi perancangan dilakukan Arab Saudi antaranya kerjasama melalui normalization accord menjadikan negara itu perlu bergantung kepada AS.

Negara Teluk juga tidak mempunyai kata senada disebabkan perbezaan mazhab seperti Iran dengan Syiah dan Arab Saudi (Sunni) hingga memberikan ketidakstabilan dalam kalangan negara serantau, sekali gus pembebasan Palestin.

Arab Saudi dan Iran berpengaruh dalam OIC, tetapi kepentingan berbeza meletakkan kedua-duanya dalam keadaan tidak stabil.

Oleh itu, OIC perlu memperbaharui struktur organisasi yang dilihat tidak seperti organisasi antarabangsa lain. Ia tidak mempunyai kapasiti sebagai 'badan kawal selia' yang menyebabkan organisasi ini lemah dalam menyelesaikan masalah.

Pembaharuan perlu dilakukan bagi menghidupkan semula badan mewakili umat Islam ini, manakala kerjasama perlu dieratkan dengan melihat semula apakah objektif organisasi ini ditubuhkan.

Pemimpin tegas dan mempunyai matlamat mampu memberikan nafas baharu kepada OIC. Pemimpin tetap pendirian tanpa dipengaruhi kuasa besar amat diperlukan bagi menjamin masa depan organisasi mewakili suara ummah ini.

Malaysia sebagai contoh mengambil bahagian dalam OIC untuk membela nasib rakyat Palestin seawal penubuhannya lagi, iaitu pada zaman Perdana Menteri pertama, Tunku Abdul Rahman.

Sejak itu, Malaysia terus berperanan penting terutama sebagai negara membela nasib rakyat Palestin. Peranan sebagai pengerusi kepada OIC sebanyak dua kali menunjukkan pengiktirafan diberikan badan berkenaan terhadap peranan dilaksanakan Malaysia

Tiada ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.