Khairuddin ingatkan ahli, pemimpin PAS tentang silibus usrah parti
Memetik ayat ke-11 surah al-Hujurat, Khairuddin berkata, mempersenda orang lain hanya kerana berbeza pegangan politik sama sekali tidak menggambarkan mereka memiliki akhlak Islam.
Kata bekas setiausaha Majlis Syura Ulama PAS Pusat itu, menggelar orang lain sebagai bekas banduan, perasuah dan kluster mahkamah bertentangan dengan kaedah yang dididik Allah melalui ayat tersebut.
Terjemahan maksud ayat tersebut ialah: "Wahai orang-orang yang beriman, janganlah satu kelompok mempersendakan satu kelompok yang lain (kerana) mungkin mereka lebih baik berbanding mereka (yang mempersenda). [...] Dan janganlah kamu mencela diri kamu sendiri dan jangan memanggil (orang lain) dengan gelaran buruk".
Kata Khairuddin Allah menggunakan ungkapan "diri kamu sendiri" untuk merujuk kepada sesama Muslim yang digambarkan seperti satu jasad yang sama.
"Maka tidak wajar mempersendakan saudara seagama kerana ia ibarat mempersendakan diri sendiri," katanya dalam kenyataan semalam.
Persaingan politik menyaksikan berlakunya celaan yang kadang-kadang dianggap melampau serta menggunakan kata-kata kesat.
Selain berlaku dalam kalangan ahli bawahan atau penyokong parti, perbuatan tersebut turut membabitkan sesetengah pemimpin PAS.
Kata Khairuddin selain menjadi antara sukatan silibus usrah dalam PAS, salah seorang pemimpin utama parti itu juga pernah menulis buku bagi mentafsir surah tersebut untuk dijadikan paduan penyokong mereka.
"Justeru sewajarnya ia menjadi amalan semua pendukung parti di pelbagai peringkat," katanya yang kini menjadi setiausaha eksekutif Majlis Ulama Umno.
Tambah Khairuddin, Nabi Muhammad juga tidak menggelar salah seorang sahabat yang pernah dihukum sebat berkali-kali atas kesalahan meminum arak sebagai bekas banduan.
Katanya, apa pun pertikaian peribadi yang melibatkan pemimpin PAS dengan parti lain semasa mereka bekerjasama dulu tetap tidak mewajarkan penghinaan peribadi dibuat.
"Gunalah bahasa lain yang lebih indah sekiranya tidak mahu bersepakat dalam politik sekalipun sebagai panduan dan teladan kepada rakyat dan pengikut bawahan," katanya.
Tiada ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.