https://critoxium.com/shop/

Terkini

Waspada, anda boleh disaman majukan mesej ‘fitnah’



PETALING JAYA: Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur awal bulan ini mendapati dua pemilik kondominium di Puchong, Selangor, bertanggungjawab atas tuduhan memfitnah pemaju perumahan.

Hakim Nazlan Ghazali mendapati pernyataan fitnah berhubung pemaju dibuat kedua-dua tertuduh dalam kumpulan sembang ditubuhkan pemilik unit kediaman dalam pembangunan perumahan adalah mencukupi untuk didapati berlaku tindakan fitnah.

Justeru, kami memanjangkan perkara itu kepada dua peguam sama ada individu boleh disaman kerana memajukan atau membuat hantaran mesej fitnah yang dikarang pihak lain.

Di mana hadnya dalam undang-undang? FMT meninjau perkara itu lebih lanjut.

Bolehkah seseorang disaman kerana memajukan mesej “fitnah”?

Peguam Bastian Vendargon dan Salim Bashir bersetuju seseorang yang memajukan pernyataan “fitnah”, sebagai contoh menerusi WhatsApp atau dalam hantaran media sosial boleh disaman kerana memfitnah.

Salim memberitahu FMT bahawa mengikut undang-undang fitnah, mana-mana individu yang menyiarkan pernyataan fitnah kepada individu lain sama ada membuat hantaran semula atau memajukan kata-kata fitnah, boleh dipertanggungjawabkan.

“Setiap pengulangan atau penerbitan semula perkara fitnah itu dianggap penerbitan baharu – seperti membuat ciapan semula, hantaran semula, dan memajukan (mesej) WhatsApp atau pesanan teks.

“Jika hantaran dibuat secara dalam talian, walaupun anda bukan penerbit atau pengarang sebenar, ada anggapan perundangan mengikut Seksyen 114A Akta Keterangan bahawa anda menerbit atau menerbitkan semula hantaran itu,” kata bekas presiden Badan Peguam itu.

Seksyen 114A menganggap sehingga dibuktikan sebaliknya seseorang itu adalah “penerbit” kenyataan fitnah jika nama, gambar atau nama samaran tertera pada kandungan yang diterbit atau diterbitkan semula.

Siapa boleh disaman kerana pernyataan fitnah?

Vendargon berkata, seseorang yang menjadi subjek mesej menyinggung atau membuat hantaran menerbit atau menerbitkan semula pernyataan itu boleh dibawa ke mahkamah kerana “tort of defamation” walaupun jika pernyataan itu dikarang pihak lain.

“Setiap penerbitan dan penerbitan semula secara berasingan boleh dikenakan tindakan,” katanya.

Dala kes 2012, bekas Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad berjaya dalam samannya terhadap Aziz Isham, pengarang penerbitan kerana memfitnah. Aziz didapati mengeluarkan semula artikel penuh yang terbit dalam blog Ahli Parlimen Kulim-Bandar Baharu ketika itu, Zulkifli Noordin.

Artikel asli memaparkan Khalid sebagai individu “sanggup memutar belit ayat kitab suci al-Quran demi tujuan politik sendiri”.

Artikel berkenaan menulis berkaitan cubaan Khalid menyelesaikan pertikaian penempatan semula kuil Hindu di Seksyen 23 Shah Alam, yang mana mencetuskan emosi dalam kalangan penduduknya.

Tiada ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.