https://critoxium.com/shop/

Terkini

Jaga percakapan kalau nak dapat undi bukan Melayu, PAS diberitahu


 

PETALING JAYA: Seorang pemimpin Bersatu menggesa PAS menjaga percakapan sekiranya mahu Perikatan Nasional (PN) meraih sokongan bukan Melayu.

Ketua Bersekutu Bersatu Chong Fat Full mendakwa beberapa tindakan parti itu di Kelantan, Terengganu, Kedah, dan Perlis menyukarkan tugasnya menarik sokongan pengundi bukan Islam.

Bekas Adun Pemanis itu berkata kekeliruan pengundi bukan Melayu terhadap undang-undang Islam yang didakwa diburukkan dengan doktrin DAP, perlu dijelaskan sebaik mungkin.

“Kita dalam PN, kita kena maklumkan kepada rakan perjuangan, kadang-kala bila bercakap kena jaga sikit supaya tak jadi isu yang membebankan kita (Bersekutu). Biasanya (tindakan) dari PAS lah.

“Saya bukan kata mereka tak betul tapi tengok disebut mana,” katanya kepada FMT sambil menegaskan gesaan itu bukan untuk mengawal pemimpin PAS sebaliknya melawan naratif dimainkan pihak lawan.

“Bila kita nak pergi merayu…(ada pengundi tanya) nanti kita undi untuk awak (PN) boleh ke kita minum, masih boleh pakai seluar pendek kah? Semua ni tak jelas… ‘half truth’ (separuh benar),” katanya merujuk di Kelantan yang mana seorang wanita Cina disaman kerana memakai seluar pendek di tempat awam.

Justeru, beliau yang mengetuai sayap itu pada Ogos tahun lalu berkata Bersekutu mengambil pendekatan berjumpa sendiri dengan pimpinan PAS, tanpa melalui kepimpinan tertinggi Bersatu bagi mendapatkan pencerahan mengenai salah faham yang berbangkit.

“Pasal kalau kita buat melalui Bersatu, dia dah ‘tak secara langsung’…. mungkin maknanya itu tak sama. Jadi kami nak ambil inisiatif nak ‘cross platform’ di mana Bersekutu sendiri pergi berinteraksi dengan PAS. Itu mustahak.”

“Kita kena lebih bergaul, jika selalu bergaul, kuranglah salah faham,” tambahnya.

Pada 20 Okt lalu, Presiden PAS Hadi Awang dalam ucapan dasar muktamar tahunan PAS berkata PAS dan PN gagal mendapat bilangan kerusi mencukupi untuk membentuk kerajaan kerana masih lemah menarik sokongan bukan Melayu.

Hadi menyifatkan usaha menarik sokongan pengundi bukan Islam sebagai “usaha penting dan berat” yang mesti dilakukan.

Beliau menarik perhatian betapa hakikat di sebalik peningkatan mendadak kerusi yang dimenangi PAS pada pilihan raya lepas, PN masih gagal membentuk kerajaan.

Pada PRU15, PAS menang 43 kerusi yang kesemuanya di kawasan majoriti pengundi Melayu, jumlah itu pencapaian terbaiknya sejak menyertai pilihan raya umum. PN menang 74 kerusi yang bakinya dikuasai Bersatu.

Bagaimanapun, Bersekutu Bersatu dan Gerakan gagal menang di kerusi campuran yang dikuasai Pakatan Harapan (PH) menerusi DAP.

Tiada ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.