https://critoxium.com/shop/

Terkini

MP Gua Musang nafi ditawar habuan, mahu fail saman


Ahli Parlimen Gua Musang Mohd Azizi Abu Naim berkata dia akan memfailkan saman terhadap Ketua Penerangan Bersatu Razali Idris yang menuduhnya menerima sogokan untuk mengisytiharkan sokongan terhadap Perdana Menteri Anwar Ibrahim.

Azizi mendakwa tuduhan itu satu fitnah dan dia menafikan ada ditawarkan apa-apa bentuk habuan.

"Perkara ini tak betul dan fitnah yang paling teruk.

"Saya akan failkan saman kepadanya (Razali) yang telah membuat kenyataan menuduh saya ada terima sogokan," katanya ketika dihubungi Malaysiakini.

Pada 11 Nov lalu, Razali mendakwa wujudnya unsur sogokan kepada empat ahli parlimen yang menyatakan sokongan terhadap perdana menteri.

"Dalam kes ini kita percaya wujud unsur-unsur sogokan yang menjanjikan habuan selepas mereka menyatakan sokongan terhadap perdana menteri.

"Kita akan pertimbangkan tindakan undang-undang termasuk membuat laporan kepada pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM),” kata Razali.

‘Kenyataan diputar-belit’

Terdahulu, Pengerusi Bersatu Kelantan Kamarudin Md Nor meluahkan rasa terkejut dengan tindakan Azizi yang menjadi ahli parlimen PN ketiga mengisytiharkan sokongan kepada Anwar.

Manakala, Ketua Penerangan Bersatu Kelantan Bahari Mohamad Nor pula mendakwa bahawa Azizi ada memberitahu terdapat broker politik yang menawarkan sejumlah wang yang lumayan berserta lain-lain manfaat kepada ahli parlimen pembangkang yang mahu buat kenyataan sokong perdana menteri.

Bagaimanapun, Azizi tampil menafikan perkara tersebut dan memaklumkan akan mengeluarkan kenyataan berhubung isu itu dalam masa terdekat.

"Pengerusi negeri telah memutar belit kenyataan saya, yang saya cakap lain tapi mereka buat tafsiran lain," katanya.

Pada 10 Nov lalu, Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin berkata pihaknya akan membuat laporan polis dan SPRM atas dakwaan ada unsur rasuah dan ugutan berhubung peralihan sokongan beberapa ahli Parlimen dari parti itu kepada Anwar.

Muhyiddin juga mendakwa pihaknya telah mengumpulkan bukti bagi menyokong dakwaan itu.

Sementara itu, dalam perkembangan terbaru, Ketua Pemuda Armada (Bersatu) Wan Fayhsal Wan Ahmad Kamal hari ini mendakwa terdapat dua individu yang bertanggungjawab menarik sokongan wakil rakyat pembangkang.

Menurutnya, individu terbabit adalah “Datuk Botak” dan bekas setiausaha politik Anwar, Farhash Wafa Salvador.

Bagaimanapun, Farhash dalam satu kenyataan menafikan tuduhan berkenaan yang disifatkan sebagai fitnah dan berniat jahat serta akan mengambil tindakan undang-undang terhadap Wan Fayhsal.

Sejak bulan lepas, empat ahli parlimen Bersatu mengisytiharkan sokongan terhadap pentadbiran perdana menteri.

Mereka ialah Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar), Suhaili Abdul Rahman (Labuan), Mohd Azizi Abu Naim (Gua Musang) dan Zahari Kechik (Jeli).

Tiada ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.