https://critoxium.com/shop/

Terkini

Anugerah tertinggi Perancis untuk penjaja akhbar!


Terjemahan Oleh Fathi Aris Omar

Selama lebih lima dekad, dia telah menyusuri kaki lima Paris, menjadi sebahagian daripada jalinan budaya kota itu apabila dia memulakan perbualan, menyapa rakan-rakan lama dan menawarkan parodi tajuk berita harian.

Pada hari Rabu, usaha lelaki yang dipercayai sebagai penjaja akhbar terakhir di Perancis itu akhirnya mendapat pengiktirafan, apabila Ali Akbar, seorang lelaki berusia 73 tahun yang berasal dari Pakistan, menerima salah satu anugerah paling berprestij di Perancis.

Dalam satu majlis di Istana Élysée, Presiden Perancis Emmanuel Macron menyifatkan Akbar sebagai “yang paling Perancis dalam kalangan orang Perancis”, sambil menganugerahkannya gelaran Kesatria Darjah Kebangsaan Merit sebagai pengiktirafan terhadap khidmat cemerlangnya kepada Perancis.

“Anda ialah loghat arrondissement keenam, suara akhbar Perancis pada pagi Ahad. Dan sebenarnya, pada setiap hari lain dalam seminggu,” kata Macron. “Satu suara hangat yang, setiap hari selama lebih 50 tahun, bergema di teres-teres Saint-Germain, menyelinap di antara meja-meja restoran.”

Dalam temu bual dengan Reuters pada Ogos, Akbar menekankan kegembiraan yang diperolehnya daripada berjalan kaki di sekitar Paris setiap hari. “Ini soal cinta,” kata Akbar sambil menyusuri jalan berbatu di Saint Germain-des-Prés. “Jika kerana wang, saya boleh buat kerja lain. Tetapi saya sangat seronok bersama orang-orang ini.”

Dilahirkan di Rawalpindi, Pakistan, Akbar berkata dia menemui panggilan hidupnya selepas tiba di Paris pada tahun 1973. Apabila masalah visa menggagalkan percubaan awalnya untuk membina kehidupan di Eropah, dia bertekad mencari pekerjaan yang membolehkannya menyara ibu bapanya serta tujuh orang adik-beradik di tanah air.

Dengan bantuan seorang pelajar Argentina yang menjual majalah satira, Akbar menyertai barisan beberapa puluh penjaja akhbar di bandar itu. Senyumannya yang mudah terukir, rasa humor dan kesanggupannya berjalan berbatu-batu setiap hari menjadikannya popular, sekali gus membolehkannya mencari rezeki secara sederhana.

Pada siang hari, dia menjual akhbar kepada golongan berpengaruh Perancis, seperti bekas presiden François Mitterrand, serta kepada pelajar Sciences Po yang kelak menyertai kelompok elit itu, termasuk Macron sendiri dan bekas perdana menteri Édouard Philippe. Pada waktu malam, pada tahun-tahun awalnya, dia tidur di bawah jambatan dan di bilik-bilik yang daif, sambil berusaha menghantar sebanyak mungkin wang ke Pakistan.

Seiring berlalunya dekad, Akbar menjadi wajah yang dikenali di restoran dan bar di Tebing Kiri Paris. “Ali ialah sebuah institusi,” kata Marie-Laure Carrière, seorang peguam. “Jika Ali tidak wujud, Saint-Germain-des-Prés bukanlah Saint-Germain-des-Prés.”

Perlahan tetapi pasti, dia membina kehidupan di Paris, berkahwin dan membesarkan lima orang anak, walaupun industri akhbar mula merosot. Jika dahulu menjual sehingga 200 naskhah akhbar sehari bukan sesuatu yang sukar, hari-hari itu kini tinggal kenangan, kata Akbar. “Saya menjual kira-kira 20 naskhah Le Monde dalam tempoh lapan jam,” katanya. “Segalanya digital. Orang ramai sudah tidak membeli akhbar.”

Namun begitu, dia tetap meneruskan usahanya. “Saya ada cara tersendiri menjual akhbar. Saya cuba bergurau supaya orang ketawa. Saya cuba bersikap positif dan mewujudkan suasana … saya cuba menyentuh hati orang, bukan poket mereka,” katanya.

Apabila berita mengenai penganugerahan darjah kebesaran itu tersebar, ia dirasakan sebagai satu penghormatan kepada gaya hidup yang semakin pupus, khususnya di daerah yang suatu ketika dahulu sering dikunjungi ahli falsafah seperti Jean-Paul Sartre dan Simone de Beauvoir. “Dulu orang membeli-belah di kedai-kedai kecil. Ia seperti sebuah kampung, ada pasar kecil di mana-mana, kedai daging dan kedai ikan. Semua orang tempatan, semua saling mengenali,” kata Akbar. “Kini keadaan berbeza. Setiap hari ada wajah baharu.”

Pada hari Rabu, Macron memuji perjalanan hidup yang membawa Akbar ke Istana Élysée. “Sebelum menjadi ikon kehidupan Paris, anda membesar di Pakistan, di jalan-jalan Rawalpindi. Sebagai seorang kanak-kanak, anda terpaksa berdepan dengan yang paling buruk: kemiskinan, buruh paksa, keganasan. Anda hanya mengimpikan satu perkara: untuk pergi.

“Melarikan diri daripada kemiskinan, mendapatkan pendidikan. Mencari cukup wang untuk membelikan ibu anda sebuah rumah yang indah,” kata Macron. “Anda merentasi Afghanistan, Iran, Turki, Greece. Anda mengalami kehidupan secara tersembunyi, kemelaratan dan ketakutan berterusan. Namun anda terus bertahan.”

Menjelang majlis penganugerahan itu, Akbar berkata adalah satu penghormatan untuk menerima pengiktirafan tersebut. Beliau memberitahu penyiar Franceinfo bahawa ia ibarat penawar kepada banyak luka yang ditanggungnya sepanjang hidup. Namun begitu, katanya, dia tidak bercadang untuk berhenti menjual akhbar, dan menegaskan akan terus menyusuri jalan-jalan serta kafe-kafe kota itu selagi masih bertenaga. “Persaraan perlu menunggu hingga ke tanah perkuburan,” katanya sambil bergurau.

SUMBER Le scoop! France’s last newspaper hawker celebrated with prestigious award (The Guardian, 28 Jan 2026)

Tiada ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.