https://critoxium.com/shop/

Terkini

Bersatu Setuju Gencatan Senjata, Tapi Cabar Syahir Jawab Isu Perlis


PETALING JAYA: Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) menyambut baik gesaan sekutunya iaitu Pas untuk melaksanakan gencatan senjata, namun menyenaraikan soalan yang perlu dijawab oleh Ahli Parlimen Bachok, Syahir Sulaiman.

Ketua Penerangan Bersatu, Datuk Tun Faisal Ismail Aziz berkata, gesaan supaya pemimpin kedua-dua parti untuk tidak lagi bertelagah serta berbalas kenyataan di media adalah penting demi perjuangan Islam dan ummah.

Bagaimanapun, Tun Faisal menyenaraikan soalan dan permintaan untuk dijawab Syahir, yang membuat kenyataan berhubung ‘gencatan senjata’ tersebut.

Ia termasuk meminta agar Pas mengeluarkan kenyataan maaf terhadap tuduhan yang dibuat terhadap Bersatu berhubung krisis Menteri Besar Perlis, akhir tahun lalu.

“Berlaku jujur dalam isu Perlis. Jangan sembunyikan kebenaran dan menegakkan kebatilan. Jangan korbankan agenda penyatuan dan perjuangan ummah, hubungan antara parti gabungan dan keharmonian hubungan dengan Istana semata-mata hendak mempertahankan seorang individu.

“Muhasabahlah untuk melihat di mana kelemahan dalam menguruskan isu ini dan perbetulkan. Tidak usahlah menyalahkan pihak lain,” katanya dalam hantaran di Facebook hari ini.

Antara persoalan yang dilontarkan Tun Faisal adalah berhubung perkara yang dibincangkan semasa pertemuan Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang dengan Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Ia termasuk perbincangan dan persetujuan supaya Timbalan Setiausaha Agung Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Takiyuddin Hassan memanggil Mesyuarat Luar Biasa Majlis Tertinggi PN tanpa menjemput Muhyiddin.

Beliau turut menyenaraikan beberapa persoalan yang lebih terperinci mengenai mesyuarat luar biasa tersebut, selain mempersoalkan tindakan Syahir membangkitkan isu mesyuarat ‘full-council’.

Dalam pada itu, Tun Faisal turut menjelaskan pandangan mengenai kedudukan Muhyiddin sebagai Pengerusi PN.

Menurutnya, ia bersandarkan kepada Perkara 8.3 (I) (b) Perlembagaan PN yang memperuntukkan bahawa peletakan jawatan Pengerusi hanya berkuat kuasa selepas mendapat kelulusan Majlis Tertinggi, yang seterusnya akan memilih Pengerusi baharu.

Soalnya, mengapa PN masih tidak memanggil Mesyuarat MT kerana berdasarkan catatan semasa pertemuan Abdul Hadi dan Muhyiddin pada 16 Januari lalu, beberapa perkara telah dipersetujui dan dimuafakati serta perlu diambil tindakan susulan.

Ia termasuk memanggil mesyuarat jawatankuasa teknikal untuk menyelaraskan input-input mengenai pindaan Perlembagaan PN, pre-council presiden-presiden untuk mendapatkan permuafakatan mengenai draf pindaan Perlembagaan PN dan draf pindaan dibawa kepada setiap parti individu untuk diluluskan oleh MT masing-masing.

Menurutnya, selepas kesemuanya selesai, barulah Mesyuarat MT PN akan diadakan untuk meluluskan peletakan jawatan Muhyiddin.

“Jika YB (yang berhormat) hadir dalam pertemuan kedua-dua Presiden pada 16 Januari, YB adalah saksi hidup yang akan dipertanggungjawabkan, bukan sahaja di dunia, malah di Padang Mahsyar nanti. Sebaiknya YB semak semula nota catatan YB mengenai perkara ini,” katanya.

Bagaimanapun, Tun Faisal bersetuju bahawa perjalanan bersama PN perlu diteruskan manakala persiapan menuju PRU16 mesti diperhebatkan bagi memastikan gabungan itu berjaya memenangi hati pengundi dan seterusnya menerajui pemerintahan selepas ini.

Sementara itu, bekas Setiausaha Sulit Muhyiddin, Datuk Dr. Marzuki Mohamad pula secara ringkas mengatakan bahawa beliau tidak suka-suka menulis hal-hal sulit, selain jika fitnah dilontarkan.

“Saya tak suka tulis hal-hal sulit. Tapi bila dah jadi fitnah, saya mesti berkata benar,” katanya. – UTUSAN

Tiada ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.