https://critoxium.com/shop/

Terkini

Bersatu semakin disisih


PETALING JAYA: Keretakan da­lam Perikatan Nasional (PN) tidak mampu lagi disorokkan oleh Pas atau Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), susulan kebuntuan hampir sebulan dalam urusan pelantikan Pengerusi yang baharu.

Pemimpin kedua-dua parti tidak lagi dilihat berselindung untuk menyindir sesama sendiri, semuanya dilakukan secara terbuka seolah-olah melambangkan hayat gabungan itu tidak akan bertahan lama, selain peranan Bersatu kian disisihkan.

Bekas Timbalan Pengerusi Tetap Bersatu, Datuk Hashim Suboh berkata, tidak mustahil Pas yang merupakan tunjang kekuatan PN akan mengambil jalan meninggalkan gabungan itu untuk bergerak solo.

Katanya, krisis antara Bersatu dengan Pas bukan perkara baharu dengan kemuncaknya adalah kemelut politik Perlis yang me­nyaksikan Pas kehilangan kerusi Menteri Besar.

Ujarnya, jika Tan Sri Muhyid­din Yassin benar-benar mahu memberi ruang kepada individu lain menerajui PN, beliau dan Bersatu sepatutnya memudahkan urusan peralihan.

“Situasi sama pernah berlaku sebelum ini apabila Muhyiddin mahu melepaskan jawatan Pre­siden Bersatu, namun akhirnya ditarik balik dan tidak mustahil ia berulang dalam PN. Jika Pas berkeras dan Muhyiddin masih berdolak-dalik, tidak mustahil Pas akan tinggalkan PN dan bergerak sendiri.

“Pas mempunyai kekuatan tersendiri dan PN bertahan adalah disebabkan kekuatan Pas dan tanpa Pas, saya lihat gabungan itu menanti masa untuk berkubur,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Konflik Pas-Bersatu kian panas apabila jawatan Pengerusi PN dicadang dimansuhkan sebagai sebahagian usaha penstrukturan semula.

Perkara itu dikatakan diputuskan dalam pertemuan antara Muhyiddin dengan pemim­pin-pemimpin Pas pada 16 Januari lalu.

Menurut surat Presiden Ber­satu kepada Presiden parti komponen PN, hasil penstrukturan itu menyaksikan Bersatu menerajui Majlis Presiden PN iaitu badan tertinggi dalam membuat keputusan berkaitan dasar, sementara Pas menge­tuai Eksekutif yang bertanggungjawab menguruskan aspek pentadbiran.

Dalam pada itu, Setiausa­ha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) boleh mengambil tindakan terhadap PN jika gabungan itu memansuhkan jawatan Pe­ngerusi.

Takiyuddin menegaskan, isu berkaitan kedudukan Pe­ngerusi PN tidak dibincangkan langsung dalam pertemuan pada 16 Januari lalu.

Katanya, kemelut yang sedang berlaku pada asalnya merupakan perkara kecil atau ‘ribut dalam secawan kopi’ tetapi membesar sehingga terkeluar dari cawan kerana orang yang bertanggungjawab gagal mengawalnya.

“Pendirian Pas dengan jelas berdasarkan surat Presiden Pas (Tan Sri Abdul Hadi Awang), kami mahu struktur PN kekal sebagaimana dalam Perlembagaan, tidak boleh diubah, jika diubah ia adalah satu tindakan yang tidak berperlembagaan dan mungkin satu tindakan boleh diambil oleh pihak berkuasa terutama RoS,” katanya.

Sementara itu, Naib Pre­siden Bersatu, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu ketika dihubungi berkata, tidak ada mana-mana parti mampu ber­gerak solo dan membentuk ke­rajaan.

Katanya, semua parti dalam PN memerlukan satu sama lain dalam mencapai misi sebagai pembangkang atau mengambil alih kerajaan pada masa depan.

“Bersatu, Pas, Parti Gerakan Rakyat (Gerakan) dan Parti Rakyat India Malaysia (MIPP) saling memerlukan antara satu sama lain. Tidak ada mana-mana parti boleh bergerak solo dalam membentuk kerajaan. Jadi kekuatan ini perlu dikekalkan,” katanya.

Pemimpin di negeri-negeri pula dilihat mengambil kira jumlah kerusi Dewan Unda­ngan Negeri (DUN) yang dimiliki dan pengaruh setempat sebelum menyatakan pendirian.

Pengerusi Bersatu Johor, Datuk Dr. Sahruddin Jamal ber­kata, meskipun pergelutan kini berlaku di peringkat Pusat, ia tidak menjejaskan hubungan di peringkat negeri.

“Kami di Johor, antara Bersatu, Pas dan Gerakan, semua­nya baik dan masih bekerja­sama sehingga hari ini. Isu di peringkat pusat tidak langsung menjejaskan persahabatan dan kerjasama kami di sini. Apa pun yang diputuskan di pusat, kami akan akur,” katanya.

Nada sama turut dilontarkan Pesuruhjaya Pas Johor, Datuk Dr. Mahfodz Mohamed yang menyatakan komitmen terus bekerjasama dengan Bersatu untuk menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) dan Pi­lihan Raya Umum (PRU) akan datang.

Bagaimanapun, di Melaka, Ahli Jawatankuasa Lajnah Politik Pas negeri, Datuk Kamaruddin Sidek berkata, parti perlu membuat keputusan segera sama ada akan bertanding solo dalam PRN Melaka tidak lama lagi atau sebaliknya.

Katanya, Pas perlu mempertahankan diri dalam apa juga situasi politik semasa terutama kemelut dengan Bersatu.

“Kesiapsiagaan Pas Melaka sudah ada untuk menghadapi sebarang kemungkinan situasi kemelut politik dalaman yang masih belum selesai.

“Apapun kita masih me­nunggu apa juga keputusan yang akan diambil Pas Pusat tidak lama lagi, sebagai ahli kita akan akur segala arahan dan keputusan,” katanya. – UTUSAN

Tiada ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.