Tanpa PN, Pas Berisiko Kekal Pembangkang – Pakar Politik
KUALA LUMPUR: Pas sukar menjadi kerajaan Persekutuan sekiranya parti itu menarik diri daripada Perikatan Nasional (PN) dan memilih bergerak secara solo tanpa kerjasama politik dengan parti lain.
Saintis politik Universiti Sunway Prof. Dr. Wong Chin Huat berkata, Pas bukan sahaja boleh kehilangan sokongan sekutu di kawasan penting tetapi di kerusi majoriti tipis.
Hal ini kerana pengundi mengambil kira ketidakstabilan politik jika Pas memenangi banyak kerusi tanpa rakan sepakat.
“Jika Pas bercadang bertanding solo, ini bermakna mereka telah melepaskan impian membentuk dan menerajui kerajaan Persekutuan dan rela menjadi pembangkang atau memenangi beberapa negeri saja,” katanya ketika dihubungi Mingguan Malaysia.
PN kini sedang menghadapi pergolakan kerana kerusi Pengerusinya masih kosong selepas Tan Sri Muhyiddin Yassin menarik diri dari mengemudi gabungan tersebut.
Krisis itu semakin jelas apabila Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang tidak menghadiri mesyuarat di kediaman Muhyiddin yang dihadiri oleh dua parti komponen lain iaitu Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan) dan Parti Rakyat India Malaysia (MIPP).
Chin Huat berkata, terdapat kemungkinan negara akan menyaksikan banyak parti politik bergerak solo dalam Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16).
“Ini akan menghasilkan ramai pemenang yang gagal mendapat undi majoriti, maknanya lebih ramai yang menolak dari yang menyokong, cuma yang menolak tidak dapat mencapai sepakat untuk tumpukan sokongan kepada seorang calon alternatif.
“Semoga ini akan mengejutkan parti-parti bahawa sistem pilihan raya First Past the Post tidak sesuai lagi untuk Malaysia,” katanya.
Beliau berkata, Malaysia sekurang-kurangnya perlu menambah kerusi Perwakilan Berkadar Senarai yang membenarkan pengundi memilih parti secara langsung dan setiap parti yang cukup besar sokongannya boleh mendapat satu atau dua kerusi.
Bagi penganalisis politik dari Akademi Penyelidikan Strategik Nusantara (NASR), Dr. Azmi Hassan berkata, Pas tidak akan menghadapi kesukaran bergerak solo sekiranya hanya mahu mengekalkan pemerintahan di Kelantan, Terengganu, Kedah dan Perlis sahaja.
Kata beliau, kekuatan Pas adalah apabila sesebuah kerusi itu mempunyai majoriti pengundi melebihi 60 peratus maka mereka mampu menang di dalam pilihan raya.
“Tetapi di pantai barat sukar, kalau di Selangor semasa Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) yang mana mereka hampir menakluk negeri itu, mereka itu adalah PN.
“Dalam hal ini, bukan sahaja di Selangor tetapi di Perak juga, Pas akan menghadapi kesukaran kerana parti itu memerlukan sokongan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).
“Sokongan itu sedikit sebanyak boleh menarik pengundi yang bukan penyokong Pas sama ada Melayu atau bukan Melayu,” jelasnya.-UTUSAN.





Tiada ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.