https://critoxium.com/shop/

Terkini

“Kenapa Loke? Dia Tidak Ada Salah” – Anwar Minta Pertimbang Semula Peletakan Jawatan


Perdana Menteri Anwar Ibrahim meminta Menteri Pengangkutan merangkap Setiausaha Agung DAP, Loke Siew Fook mempertimbangkan semula hasrat untuk meletakkan jawatan susulan isu pengampunan bersyarat terhadap Najib Razak.

Anwar berkata Loke tidak wajar dipersalahkan kerana keputusan Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan bukan dibuat olehnya, malah mendakwa Loke sebelum ini cuba sedaya upaya menolak keputusan berkenaan.

“Kenapa Loke? Dia tidak ada salah,” katanya menurut media ketika ditemui media dalam perjalanan menaiki kereta api laju dari Shanghai ke Hangzhou, China.

Anwar berkata beliau akan mengadakan rundingan lanjut dengan Loke dalam masa terdekat bagi mendengar penjelasan rasmi serta meminta pemimpin DAP itu menarik balik keputusan untuk berundur.

Pada masa sama, beliau menghormati prinsip Loke dan DAP yang konsisten menentang kleptokrasi serta rasuah, namun mengakui pendirian tersebut meletakkan mereka dalam keadaan sukar berdepan keputusan Lembaga Pengampunan.

Anwar turut menegaskan DAP tidak seharusnya tunduk kepada tekanan politik yang boleh menjejaskan kestabilan kerajaan perpaduan. Mengulas keputusan pengampunan itu, Anwar berkata perkara tersebut serta pandangan berkaitan telah disampaikan kepada Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim, termasuk pendirian tegas Peguam Negara Mohd Dusuki Mokhtar dalam mesyuarat Lembaga Pengampunan.

Bagaimanapun, beliau mengingatkan bahawa kuasa eksekutif mempunyai batas di bawah Perlembagaan Persekutuan dan keputusan muktamad berkaitan pengampunan terletak dalam bidang kuasa Yang di-Pertuan Agong.

Minggu lalu, Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan membenarkan Najib menjalani baki hukuman secara tahanan dalam rumah dengan syarat membayar denda RM50 juta.

Dalam perkembangan sama, Anwar menolak dakwaan wujud kompromi atau pakatan rahsia antara beliau dengan kepimpinan UMNO berhubung isu berkenaan.

Menurutnya, keutamaan kerajaan ketika ini adalah mengemudi negara dengan bijaksana, mengekalkan kestabilan politik, menjaga hubungan dengan institusi Raja-Raja Melayu serta memacu pertumbuhan ekonomi.

Beliau turut menyeru rakyat tanpa mengira kaum supaya terus berpegang kepada prinsip taat setia kepada negara.

Tiada ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.