https://critoxium.com/shop/

Terkini

Apabila politik tak lagi berwajah manusia


Selama ini, apabila kita bercakap tentang politik, kita membayangkan manusia. Ada pemimpin berdiri atau menari di pentas. Ada calon berjabat tangan di pasar. Ada ceramah di padang, bendera di jalan raya, poster di tiang elektrik, dan penyokong melaungkan nama calon dan parti.

Kita tahu politik boleh penuh dengan janji, propaganda, putar belit, dan permainan emosi. Kritikan terhadap realiti ini juga sering saya sajikan menerusi cerpen dan fiksyen sejak 1990-an.

Namun, sekurang-kurangnya kita masih dapat melihat manusia di sebalik semua situasi yang dinyatakan di atas. Kini, pendedahan terbaharu tentang penyalahgunaan kecerdasan buatan (AI) mengubah gambaran tersebut.

Laporan Detecting and Countering Misuse of AI: September 2026 oleh Anthropic mendedahkan satu operasi manipulasi pilihan raya komersial yang secara khusus menyasarkan pengguna di Malaysia.

Saya terkejut membaca laporan bahawa operasi itu menggunakan kira-kira 1,000 akaun X palsu, sebuah portal berita palsu, dan dokumen-dokumen politik yang direka-reka. AI digunakan untuk membina sistem penyasaran pengundi, menghasilkan kandungan, mengurus akaun palsu, dan menyamarkan sumber maklumat.

Semua ini bukan lagi sekadar seseorang menggunakan AI untuk menulis hantaran di Facebook. Sebaliknya, ia sudah menjadi satu industri.

Pada penelitian saya, apa yang lebih membimbangkan ialah operasi tersebut menggunakan data banci dan data pilihan raya sebenar untuk menyusun profil pengundi mengikut kawasan.

Sasaran bukan dibuat secara rambang. Sebaliknya, ia dirancang secara teliti berdasarkan titik-titik paling sensitif dalam masyarakat Malaysia, iaitu topik berkaitan kaum, agama, dan institusi diraja.

Bayangkanlah situasi yang didedahkan menerusi laporan Anthropic. Seseorang tidak perlu lagi mengenali anda secara peribadi untuk mengetahui perkara apa yang mungkin membuatkan anda marah.

Sistem AI boleh mempelajari bahawa pengundi di sesuatu kawasan lebih sensitif terhadap isu agama. Di kawasan lain, isu kaum mungkin lebih mudah mencetuskan reaksi. Di tempat lain pula, sentimen berkaitan raja dan sultan mungkin menjadi pintu masuk.

Kemudian mesej disediakan mengikut kategori. Ternyata bukan satu mesej untuk semua, sebaliknya mesej berbeza untuk kelompok berbeza.

Inilah bahaya sebenar di depan mata. AI menjadikan pembohongan lebih murah, lebih pantas, dan lebih mudah disesuaikan.

‘Likes’ tak wakili jumlah

Laporan Anthropic menyatakan bahawa lebih 1,000 akaun palsu dibina dengan mekanisme tertentu supaya kelihatan seperti akaun sebenar sebelum digunakan untuk operasi pengaruh. Sistem tersebut juga direka untuk meningkatkan jumlah tontonan dan interaksi secara tiruan.

Maka jumlah "likes" yang terpapar pada hantaran di media sosial tidak semestinya jumlah manusia. Begitulah juga, jumlah "shares" tidak semestinya jumlah sokongan sebenar, dan jumlah komen tidak semestinya suara rakyat yang sebenar.

Mungkin di belakang seribu suara itu cuma ada beberapa manusia manakala selebihnya hanya mesin dan AI.

Lebih mengganggu fikiran saya semasa meneliti laporan sepanjang 154 halaman itu ialah pendedahan bahawa operasi tersebut turut membina portal berita palsu yang dinamakan “Malaysia Pulse”.

Bayangkan bagaimana berita daripada sumber sebenar boleh diambil, ditulis semula oleh AI, dan diterbitkan kembali menggunakan nama wartawan yang direka. Kandungan daripada media yang ada kaitan dengan Rusia dan China pula dikatakan dilucutkan identiti asalnya supaya kelihatan seperti laporan media bebas di Malaysia.

Di sinilah kepercayaan orang ramai—sekurang-kurangnya saya—mula retak dan berkecai. Pada hari ini kita terpaksa bertanya, “Benarkah berita ini?” Kemudian, esok kita mungkin terpaksa pula bertanya, “Benarkah wartawan ini wujud?” Seterusnya pula, “Benarkah orang yang menulis komen ini manusia?”

Akhirnya, soalan yang paling menyedihkan ialah, “Benarkah apa-apa yang saya lihat dan baca?”

Bagi saya, kepercayaan atau trust ialah mata wang paling penting dalam demokrasi. Kita mungkin tidak bersetuju dengan parti politik. Kita mungkin tidak menyukai seseorang ahli politik. Malah, kita mungkin berbeza pandangan tentang kerajaan.

Akan tetapi, sistem demokrasi masih memerlukan satu perkara asas iaitu kepercayaan bahawa maklumat yang kita gunakan untuk membuat keputusan tidak sengaja dipalsukan pada skala industri.

Jika setiap gambar boleh dijana, setiap suara boleh ditiru, setiap akaun media sosial boleh dipalsukan, dan setiap "trend" boleh dibeli atau direka, rakyat akhirnya boleh sampai ke satu tahap yang lebih berbahaya daripada mempercayai berita palsu.

Maksud saya, rakyat akhirnya mungkin tidak mempercayai apa-apa. Tentulah ini menimbulkan masalah besar. Apabila terlalu banyak pembohongan beredar, bukan hanya pembohongan yang kehilangan nilai, malah kebenaran (truth) juga boleh tenggelam.

Curiga pada komunikasi politik

Dan apabila rakyat sudah tidak tahu siapa yang boleh dipercayai, politikus akan turut menerima akibatnya. Bukanlah saya menuduh semua politikus melakukan penipuan yang sama.

Sebaliknya, oleh kerana orang awam mungkin mula melihat semua komunikasi politik dengan penuh curiga, maka kenyataan rasmi kerajaan dan kenyataan media pihak pembangkang boleh dianggap propaganda. Penjelasan calon pilihan raya boleh dianggap propaganda.

Malah, penafian terhadap sesuatu tuduhan oleh seorang individu pun boleh dianggap sebahagian daripada permainan politik berunsur propaganda. Dalam keadaan seperti itu, politik yang jujur turut boleh menjadi mangsa.

Kerajaan pasti berdepan masalah sama. Jika maklumat palsu menggunakan nama kerajaan, logo kementerian atau gaya bahasa rasmi, orang ramai mungkin mempercayainya. Jika maklumat palsu menyerang kerajaan, sebahagian rakyat pula mungkin terus menganggapnya benar kerana ia sesuai dengan kemarahan mereka.

Inilah sebabnya rakyat perlu berjaga-jaga menjelang Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang. Ada beberapa saranan dan panduan mudah muncul dalam fikiran selepas membaca laporan Anthropic.

Pertama, jangan menganggap populariti sebagai kebenaran. Sesuatu hantaran yang mendapat ratusan ribu tontonan tidak semestinya benar. Laporan Anthropic sendiri menyatakan, angka tontonan tertentu yang direkodkan oleh sistem operasi tersebut ialah angka yang dilaporkan oleh alat milik pihak terbabit dan tidak dapat disahkan secara bebas.

Kedua, periksa sumber asal. Jangan berhenti pada tangkap layar. Jangan puas hati dengan video yang dipotong. Jangan menerima petikan tanpa konteks. Sebaliknya, cari kenyataan asal, dokumen asal, serta laporan daripada lebih daripada satu sumber yang mempunyai reputasi editorial.

Ketiga, berhati-hati apabila sesuatu kandungan terlalu pandai memainkan emosi. Jika satu video membuat anda terus marah, satu foto membuat anda terus benci, atau satu berita membuat anda terlalu gembira sehingga tidak mahu menyemak kesahihannya, maka berhenti seketika. Tarik nafas dan tanya soalan mudah: “Siapa yang mahu saya mempercayai perkara ini?” Kita akan segera sedar jika emosi kita cuba dimanipulasi.

Keempat, jangan bantu menjadi mesin propaganda secara percuma. Maknanya, sebelum menekan butang "share", fikir dua kali. Setiap perkongsian anda sebenarnya membantu meningkatkan capaian sesuatu kandungan. Anda mungkin sedang menyebarkan fitnah sedangkan kita menyangka sedang membongkar fitnah.

Kelima, bezakan kritikan politik dengan fitnah politik. Sesungguhnya, kita sebagai rakyat memang berhak mengkritik kerajaan. Kita juga berhak mengkritik pembangkang. Kita malah berhak mempersoalkan mana-mana calon yang bertanding dalam pilihan raya. Tetapi setiap tuduhan serius memerlukan bukti serius. Sentiasa ingat perkara ini.

‘Manusia’ yang tak semestinya manusia

Keenam, jangan anggap akaun yang kelihatan seperti “manusia” semestinya manusia. Sentiasalah berwaspada kerana foto profil boleh palsu, biografi atau maklumat diri boleh direka. Malah, tulisan dan kandungan hantaran boleh dihasilkan oleh mesin.

Seribu akaun media sosial yang mengatakan perkara sama tidak semestinya bermaksud seribu orang berfikir perkara sama. Mungkin hanya satu suara sedang bercakap melalui seribu topeng atau akaun palsu yang beroperasi dengan kuasa AI.

Untuk berlaku adil, pendedahan oleh Anthropic tidak bermakna setiap akaun politik adalah palsu, setiap portal baharu atau setiap hantaran kontroversi ialah sebahagian daripada operasi asing. Laporan Anthropic sendiri menyatakan operasi di Malaysia yang ditemui itu dinilai sebagai Category Two dan tiada bukti bahawa kandungannya berjaya merebak kepada komuniti tulen.

Jangan pula kita menjadikan ketakutan terhadap AI sebagai alasan untuk menuduh tanpa bukti. Sebaliknya, apa yang mahu saya tegaskan dan sarankan selepas membaca laporan Anthropic adalah supaya kita lebih berhati-hati, lebih berwaspada, lebih teliti, dan lebih bersikap waswas menjelang pilihan raya umum.

UTHAYA SANKAR SB seorang penulis, pengkaji, dan pengasas Pertubuhan Sasterawan Kaum India (Kavyan).

Tiada ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.