https://critoxium.com/shop/

Terkini

Boestamam dan liku2 parti disertainya

Oleh Zin Mahmud

Kalau Selangor tumbang pada PAS, aku hijrah ke Negeri Sembilan. Sebelah je. Lepas Bandar Mahkota terus masuk Nilai Tiga. Kalau Negeri Sembilan jatuh pada PAS, aku hijrah ke Melaka. Kalau Melaka jatuh ke PAS, aku balik Johor. Kalau Johor jatuh pada PAS, aku hijrah ke Sarawak.

Aku teringat pada tahun 1970-an. Dalam Kongres Parti Rakyat Malaya. Perwakilan memilih pemimpin muda. Mereka memilih Kassim Ahmad dan menolak Ahmad Boestamam, pejuang kemerdekaan stail lama. Ia juga pertarungan antara ideologi. Ahmad Boestamam masih dengan marhaenisme sementara Kassim Ahmad mengutarakan sosialisme saintifik. Sebagai anak muda, aku teruja dengan Kassim. Kassim Ahmad menukar nama parti kepada Parti Sosialis Rakyat Malaya (PSRM). Beliau menolak ajakan Tun Razak supaya PSRM menyertai Barisan Nasional. Tetapi ramai orang kiri menerima ajakan Tun Razak seperti A Samad Ismail dan Abdullah Majid.

Ahmad Boestamam dan pendokongnya keluar PSRM dan menubuhkan Parti Marhaen. Antara penyokongnya ialah Hussein Yaacob dan Ishak Surin. Tetapi Parti Marhaen gagal mendapat sokongan. Ahmad Boestamam tiada pekerjaan. Kemudian Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) mengundang Ahmad Boestamam menjadi editor lidah rasminya. SUPP asalnya adalah parti sosialis yang menolak penubuhan Malaysia. Mereka turut serta persidangan parti-parti sosialis di Kuala Lumpur yang terdiri daripada Parti Rakyat Malaya, Parti Buruh Malaya, Parti Rakyat Singapura, Parti Rakyat Brunei, Parti Tindakan Rakyat Singapura dan Barisan Sosialis Singapura.

SUPP kemudian diambil alih oleh sosialis sederhana. Mereka kemudian menyertai Perikatan Sarawak yang diketuai oleh Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) pimpinan Rahman Yaacob. PBB dan SUPP menyertai Barisan Nasional. Rahman Yaacob menukar bendera Sarawak supaya ada merah putih dengan nama Sang Triwarna. Sabah di bawah Parti Berjaya juga tukar bendera ada motif merah putih.

Sebelum itu, atas cadangan SUPP, Ahmad Boestamam memperoleh gelaran Datuk atas sumbangannya memperjuangkan kemerdekaan Malaya sejak zaman Kesatuan Melayu Muda (KMM), Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM) dan Angkatan Pemuda Insaf (API).

Setelah mempunyai wang sedikit, Ahmad Boestamam pulang ke Gombak. Menetap di Taman Greenwood. Beliau menubuhkan Pustaka Kejora yang menerbitkan dua memoir beliau, Merintis Jalan Ke Puncak dan Putera Melayu Raya. Kejora adalah juga dikenali sebagai bintang pagi. Ia sebenarnya planet Utarid atau Venus. Akhbar rasmi Parti Komunis British bernama The Morning Star.

Apabila Parti Gerakan menyertai Barisan Nasional, sebahagian ahlinya keluar parti. Di bawah pimpinan Ahli Parlimen Kepong, Dr Tan Chee Khoon menubuhkan Parti Keadilan Masyarakat (Pekemas). Ahmad Boestamam menjadi pengerusinya dan pengikutnya di kalangan bekas Parti Marhaen turut serta. Ahmad Boestamm juga menjadi Ketua Pengarang ahkbar rasmi Pekemas bernama Matahari. Lambang Pekemas adalah matahari terbit seperti lambang Soviet Union.

Ketika aku menyertai Harakah pada tahun 1987, aku jumpa Ishak Surin di situ. Begitu juga dengan Hussein Yaacob yang menerbitkan akhbar Mingguan Bumi, akhbar yang menyiarkan berita PAS sebelum adanya Harakah. Kebanyakan di Harakah ketika itu menganggap diri mereka progresif dan pro revolusi Islam Iran.

Ishak Surin adalah bekas guru. Ahmad Boestamam dan Hussein Yaacob pernah bekerja dengan Utusan Melayu. Tunku menyuruh Utusan ambil Ahmad Boestamam bekerja kerana beliau tiada pekerjaan. Ahmad Boestamam ditugaskan menulis rencana pengarang. Setelah beliau menulis mengkritik kerajaan kerana tidak menjaga kebajikan askar Melayu, Tunku menyuruh Utusan memecat Ahmad Boestamam.

Tiada ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.