Pastikan Bajet 2018 capai sasaran
Oleh Lee Lam Thye
SUDAH tentu ramai di antara kita berasa amat gembira apabila kerajaan membentangkan belanjawan yang boleh disifatkan pemurah dengan pelbagai bantuan diberikan terutamanya kepada kumpulan berpendapatan rendah dan pertengahan B40 dan M40.
SUDAH tentu ramai di antara kita berasa amat gembira apabila kerajaan membentangkan belanjawan yang boleh disifatkan pemurah dengan pelbagai bantuan diberikan terutamanya kepada kumpulan berpendapatan rendah dan pertengahan B40 dan M40.
Seperti yang saya tegaskan sebelum ini
bahawa kerajaan mesti merasakan denyut nadi rakyat, Bajet 2018 juga
telah memasukkan cadangan untuk mengurangkan cukai pendapatan sebanyak 2
mata peratusan bagi mereka yang memperoleh RM20,000 hingga RM70,000
setiap tahun.
Pengurangan cukai pendapatan ini pastinya akan
membantu golongan menengah (M40) untuk menangani kos sara hidup yang
tinggi. Ramai pihak berpendapat segmen ini sering kali terpinggir dalam
bajet terdahulu.
Bagaimanapun, bajet tahun
depan sepatutnya turut menyediakan pelepasan cukai pendapatan yang lebih
tinggi terutamanya bagi yang mempunyai anak.
Saya
berharap pelepasan cukai individu perlu ditingkatkan dari jumlah semasa
sebanyak RM9,000 manakala pelepasan cukai untuk isteri mereka
sekurang-kurangnya RM6,000 dan RM4,000 untuk setiap anak.
Sejak
Bajet 2016, pelepasan cukai bagi suri rumah sepenuh masa adalah RM4,000
manakala RM2,000 diberikan untuk setiap anak di bawah usia 18 tahun.
Saya
juga mengalu-alukan peruntukan untuk penambahbaikan pendidikan,
terutamanya RM2.5 bilion untuk membantu menaik taraf sekolah yang berada
dalam keadaan daif. Ini akan membantu memastikan keselamatan guru dan
pelajar kerana sekolah juga dianggap sebagai tempat kerja di bawah Akta
Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994. Ia juga selaras dengan
inisiatif Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (NIOSH)
untuk mewujudkan persekitaran selamat dan kondusif di bawah Program
Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (OSH) di sekolah.
Cadangan
untuk meningkatkan elaun warga emas daripada RM50 kepada RM350 sangat
dialu-alukan dan saya harap lebih banyak lagi akan dilaksanakan untuk
warga emas terutamanya dalam bidang kesihatan.
Selain
bantuan tunai, kerajaan juga perlu memberi lebih banyak manfaat
kesihatan kepada warga emas kerana semakin ramai dijangka hidup sendiri
apabila negara kita bergerak ke arah menjadi negara maju dan
berpendapatan tinggi.
Dalam hal ini, saya
juga mengalu-alukan pemberian kemudahan perubatan kepada ibu bapa
pesara kerana ia menunjukkan penghargaan kerajaan terhadap sumbangan
penjawat awam.
Peruntukan RM720 juta yang
dicadangkan untuk membina 11 Ibu pejabat polis dan enam balai polis baru
serta membeli kelengkapan dan kenderaan operasi sudah tentu akan
meningkatkan kehadiran polis dan ini amat penting dalam usaha memerangi
jenayah dan meningkatkan keyakinan rakyat terhadap keselamatan mereka.
Bagaimanapun,
kerajaan juga perlu memperuntukkan dana untuk membaiki dan menaik taraf
kemudahan sedia ada, termasuk balai polis dan kuarters mereka yang
berada dalam keadaan daif.
Saya juga
mengalu-alukan rancangan mewujudkan semula Institut Penyelidikan
Sosio-Ekonomi (SERI) di bawah Pejabat Perdana Menteri dan menaiktaraf
Institut Pengajian Etnik di Universiti Kebangsaan Malaysia (KITA-UKM).
Penubuhan
semula SERI dan peningkatan KITA-UKM harus dialu-alukan dan diharapkan
mereka akan menyumbang ke arah pengukuhan hubungan etnik di negara kita
selain mencari penyelesaian yang baik untuk menangani pelbagai isu sosio
ekonomi.
Memandangkan berbilion-bilion
ringgit akan diperuntukkan untuk pembangunan pelbagai kemudahan dan
kerja-kerja menaik taraf kemudahan sedia ada, saya sangat berharap
kerajaan dapat meningkatkan budaya penyelenggaraan.
Ini
boleh dilakukan melalui peruntukan yang diberikan untuk kerja
penyelenggaraan oleh jabatan, agensi dan pihak berkuasa tempatan
terbabit dengan kakitangan berdedikasi untuk menjalankan kerja-kerja
berkaitan.
Apa yang tertinggal dalam
Belanjawan 2018? Saya percaya antara perkara yang tidak mendapat fokus
sewajarnya adalah agenda sosial baharu yang berkaitan sokongan kerajaan
untuk menangani isu-isu sosial.
Lebih banyak
peruntukan harus disediakan untuk menangani pelbagai masalah sosial di
negara seperti jenayah juvana, judi haram, perlakuan ganas dan
penyalahgunaan dadah.
Saya juga berharap
kerajaan akan menangani isu-isu lain yang memberi kesan kepada rakyat
terutama kenaikan harga makanan. Walaupun sesetengah pihak mendakwa
rakyat tidak mempunyai masalah untuk berbelanja kerana restoran dan
pusat beli-belah sentiasa penuh, hakikatnya ramai yang mengadu tentang
kenaikan harga yang tidak munasabah.
Usaha
untuk menangani kenaikan harga tidak akan berjaya jika pihak berkuasa
hanya memberi tumpuan terhadap peniaga. Masalah ini sebenarnya
melibatkan semua pihak dalam rantaian bekalan - dari pengeluar dan
pembekal kepada pemborong dan peruncit.
Langkah-langkah
yang ingin diambil harus komprehensif supaya kerajaan dapat mengawal
kenaikan harga di seluruh rantaian bekalan melalui intervensi dan
penguatkuasaan. Apabila membahaskan Bajet 2018, diharapkan wakil rakyat
kita akan berkongsi kebimbangan dan nasib rakyat bukannya sibuk bermain
politik.
Saya berharap kerajaan akan
mengambil kira cabaran yang dihadapi rakyat, terutamanya kos sara hidup
yang semakin meningkat, dan membuat beberapa penyesuaian dalam bajet
itu.
Pada masa sama, kerajaan perlu memantau
setiap projek yang akan dilaksanakan serta bantuan yang ingin
disampaikan agar tercapai objektif yang ditetapkan.
Pemantauan
juga harus melibatkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia bagi
memastikan tidak ada unsur rasuah dalam pelaksanaan inisiatif dan
perancangan tersebut.
Secara tidak langsung
ia juga dapat mengelakkan ketirisan akibat sikap tidak bertanggungjawab
dan tidak berintegriti sesetengah daripada mereka yang telah
diamanahkan untuk memastikan kejayaan setiap perancangan yang dibuat
sepanjang tahun hadapan.
TAN SRI LEE LAM THYE ialah aktivis masyarakat.




Tiada ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.