Rampasan Kapal Equannimity : Penafian Adalah Jalan Selamat Menangkis serangan
1. Seperti yang diduga, cepat benar panglima UMNO berpencak silat menafikan penglibatan Jho Low dalam rampasan kapal layar mewah The Equanimity di Bali, Indonesia semalam. Menteri Multimedia dan Komunikasi Datuk Seri Salleh Said Keruak tampil menafikan berita itu dengan menyatakan tiada bukti yang menunjukkan ahli perniagaan Low Taek Jho adalah pemilik kapal tersebut dengan menganggap ia adalah berita palsu.
2. Tidak ada masalah bagi Datuk Seri Salleh Said Keruak ke depan bagi menjawab tohmahan terhadap Perdana Menteri. Sebagai hulubalang besar, dalam saat getir menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) ke 14 amat penting bagi seorang pemimpin setia berdiri sebelah dengan ketua bagi menangkis segala serangan yang ditujukan kepada pemimpinnya. Tanggungjawab beliau berusaha mengkambus segala lubang dalam yang digali dengan apa cara sekalipun, asalkan bau bangkai yang terhidu dapat ditutup, walau hanya seketika.
3. Ironinya, beliau membela Jho Low kali ini. Mekanisme beliau itu adalah supaya apa sahaja kaitan dengan PM termasuk Jho Low mesti dibersihkan atau dijauhkan dari tohmahan liar. Nampak beriya-iya benar beliau mahu mensucikan insan istimewa ini. Apa istimewanya Jho Low di hati PM, UMNO dan Datuk Seri Salleh Keruak? Mengapa Jho Low begitu sangat dibela umpama seorang negarawan ulung negara ini? Apakah serangan terhadap Jho Low bererti serangan terhadap negara?
4. Isunya adalah kapal mewah Equanimity telah dirampas di Bali, Indonesia oleh pasukan berkuasa Indonesia dengan bantuan Biro Siasatan Persekutuan Amerika Syarikat (FBI). Equanimity adalah suspek utama aset milik 1MDB yang diselewengkan dan dibeli dan diselenggarakan dengan harga AS$250 juta (kira-kira RM1 bilion). Soal siapa pemilik kapal tersebut sedang dalam siasatan pihak berkuasa AS dan Indonesia. Tetapi AS dan Indonesia pastinya telah melakukan perancangan rapi sebelum merampas kapal terbabit. Jho Low atau pemilik kapal sebenar boleh menyaman Indonesia atau AS jika terbukti mereka memburukkan imejnya manakala kapal tersebut bebas dan bersih dari skandal terbabit.
5. Tetapi mengapa bersungguh Datuk Seri Salleh mahu membela dan melindungi Jho Low? Bukankah lebih baik beliau membela negara daripada membela seorang individu seperti Jho Low.
Beliau patut bersikap profesional dengan tidak melulu menyerang balik semua yang mengkritik PM. Lebih baik beliau serahkan kepada pihak berkuasa Indonesia dan AS membuat siasatan. Jika betul itu milik Jho Low, maka biarkan dia ditangkap dan didakwa oleh AS dan jika terbukti tidak betul, sila bersihkan nama Malaysia dari diburukkan oleh skandal melalui 1MDB itu¹. Melulu dalam membela Jho Low dalam istilah politik menandakan ada sesuatu yang tidak kena sedang berlaku atau ibaratnya perangkap sedang mengena mangsa.
6. Datuk Seri Salleh mungkin sudah faham bahawa skandal 1MDB telah hampir sampai ke kemuncaknya. Dunia sedang memerhati, manakala media antarabangsa sibuk mencanai isu ini menjadi isu sensasi di muka hadapan. PM masih boleh ‘berlari bebas’ dan mengilangkan apa juga jejak daripada dikesan, tetapi hanya bebas di dalam negara. Beliau boleh sebut kepada penduduk kampung bahawa ia adalah fitnah, tohmahan liar untuk menjatuhkannya, tetapi negara-negara lain di seluruh dunia telah mengumpulkan pelbagai bukti yang kukuh dan konkrit untuk mengheret pemimpin beliau ke muka pengadilan. Tunggulah, sedikit masa lagi kebenaran akan terserlah!.
DATO'HJ MAHFUZ OMAR
Ahli Parlimen Pokok Sena
9am Taman Al -Walid Alor Setar
3 Mac 2018/15 Jamadilakhir 1439H
Tiada ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.