Kahwini kanak-kanak perlu penyelesaian holistik
Oleh SENATOR ASMAK HUSIN
MUTAKHIR ini, isu
perkahwinan di bawah umur hangat diperbincangkan oleh masyarakat. Saya
secara peribadi amat berhati-hati apabila membincangkan isu ini kerana
ia berkait rapat dengan isu budaya, agama dan yang paling penting
penyakit masyarakat yang tidak mungkin mampu diselesaikan melalui
penguatkuasaan undang-undang semata.
Semasa menghadiri forum "Child Marriage Study : Analysis , Drivers and Recommendations by Institute of Strategic and International Studies (ISIS)", saya cuba menyelami punca perkara ini timbul.
Jika pada masa dahulu, perkahwinan
sebegini adalah perkara biasa, malah kebiasaannya sebelum baligh,
anak-anak sudah dididik agar menjadi ahli keluarga dan masyarakat yang
baik. Justeru, apabila sudah baligh mereka sudah bersedia untuk
berkahwin dan menggalas tanggungjawab.
Akan tetapi, pada hari ini dapat
disimpulkan terdapat beberapa sebab perkahwinan di bawah umur
menunjukkan trend peningkatan, antaranya ialah:
● Kemiskinan yang melingkari kehidupan
● Keciciran sekolah
● Pengaruh gejala sosial
Apa yang menarik perhatian ialah data
telah membuktikan isu ini bukan sahaja berlegar di kalangan masyarakat
Melayu Muslim, akan tetapi terdapat peningkatan di kalangan masyarakat
bukan Islam juga.
Data pada tahun 2017 menunjukkan,
sejumlah 1845 orang kanak-kanak telah berkahwin dengan pasangan dewasa.
Daripada jumlah tersebut, seramai 877 orang (47.5 peratus) adalah orang
Islam manakala seramai 968 orang (52.5 peratus) adalah di kalangan
mereka yang bukan Islam.
Daripada jumlah tersebut, Bangsa Cina
mendominasi apabila seramai 384 orang (39.6 peratus) daripada jumlah
perkahwinan di bawah umur bagi kategori bukan Islam, diikuti oleh Kaum
India seramai 122 orang (12.6 peratus), dan seterusnya etnik di Sarawak
dan Sabah yang secara kumulatifnya seramai 299 orang (30.8 peratus).
Mengapa ada yang menentang perkahwinan ini?
Kerana ia dikaitkan dengan penderaan
kanak-kanak dan jenayah rogol dengan menafikan hak kanak-kanak tersebut
untuk menikmati hidup seperti kanak-kanak lain.
Lalu mengapa pula Mahkamah Syariah membenarkan perkahwinan ini?
Mahkamah Syariah tidak membenarkan
perkahwinan bagi wanita berumur 16 tahun ke bawah kecuali dengan
kebenaran Hakim Mahkamah Syariah.
Oleh itu sesiapa yang tidak mengikut kaedah ini, mereka boleh dikenakan tindakan undang-undang.
Akan tetapi mengapa hukumannya kecil dan ringan?
Hukuman yang kecil dan ringan bukan
disebabkan keengganan Mahkamah Syariah untuk menjaga kebajikan dan hak
kanak-kanak terlibat tetapi itulah keterbatasan bidang kuasa RUU 355
Apa kata untuk mengelakkan keburukan berleluasa, kita haramkan terus perkahwinan sebegini?
Boleh, tetapi selagi punca yang
disebutkan di atas tidak selesai, adakah undang-undang ini akan berjaya
menghalang masyarakat terlibat daripada tidak meneruskan perkahwinan
mereka. Bagaimana pula sekiranya mereka berkahwin secara haram? Pada
masa itu kita akan mengalami kesukaran untuk menjaga mereka kerana
berada di luar pengetahuan undang-undang.
Mengapakah Mahkamah meletakkan umur minima bagi wanita yang ingin berkahwin ialah 16 tahun dan bukan 18 tahun?
Hal ini berlaku kerana, perbezaan umur
matang menurut undang-undang adalah berbeza dengan umur baligh di dalam
Islam. Sebenarnya di peringkat antarabangsa juga terdapat isu berkaitan
tahap umur yang dikaitkan dengan kematangan walaupun tidak sampai 18
tahun.
Justeru apa yang terbaik? Cadangan saya:
● Mengukuhkan institusi keluarga. Ibu bapa haruslah dididik agar memahami hak dan tanggungjawab terhadap kanak-kanak.
● Pihak berwajib harus menyelesaikan isu kemiskinan dan keciciran sekolah.
● Menghalang punca-punca yang menggalakkan kanak-kanak cenderung untuk terlibat dengan aktiviti seksual.
● Memperketatkan proses kebenaran bawah umur di Mahkamah Syariah bagi orang Islam.
● Memperluaskan dan memperkasakan bidang kuasa Mahkamah Syariah.
Satu persoalan yang saya ingin lontarkan:
Apakah dengan mengharamkan perkahwinan di bawah umur, isu sosial yang melibatkan kanak-kanak ini akan selesai?
(SENATOR ASMAK HUSIN merupakan Senator
yang baru dilantik mewakili Kerajaan Negeri Kelantan bermula sesi 2018 -
2021 menggantikan Hajjah Khairiah Mohamed.




Tiada ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.