Sokong sepadukan UEC, SPM, STPM
Oleh MOHD ZAI MUSTAFA
MAJLIS Pembangunan
Pendidikan Islam Malaysia (MAPPIM) dan gabungan 300 NGO Gerakan Pembela
Ummah (UMMAH) menyokong sepenuhnya cadangan Tan Sri Rais Yatim yang
mencadangkan supaya sijil UEC wajib 'disebatikan' dengan sijil SPM dan
sijil STPM bagi menjadikan Sistem Pendidikan Negara lebih kukuh untuk
mencapai perpaduan nasional dan integrasi kaum melalui Sistem Pendidikan
Negara.
MAPPIM dan UMMAH mendesak serta
mencadangkan supaya sistem pendidikan di sekolah persendirian Cina
disemak dan dinilai semula oleh Kementerian Pendidikan bagi
'disepadukan' dengan kurikulum pendidikan kebangsaan bagi memenuhi
aspirasi Falsafah Pendidikan Negara dan Dasar Pendidikan Kebangsaan.
Dikhuatiri sistem dan kurikulum yang
digunapakai tidak memenuhi aspek kurikulum kebangsaan Sistem Pendidikan
Negara dan keperluan negara dari sudut memahami tata kenegaraan, Rukun
Negara serta Perlembagaan Persekutuan.
Ini kerana sebahagian besar pelajar,
kebanyakannya yang lahir daripada sistem pendidikan sekolah Cina kurang
fasih Berbahasa Melayu sama ada tulisan dan bacaan, kurang pergaulan
dengan orang Melayu dan lain-lain bangsa serta kurang solidarti
kenegaraan sebagai rakyat Malaysia yang juga sebagai sebuah negara
bermasyarakat majmuk dan berbilang bangsa serta budaya di mana orang
Melayu sebagai kaum majoriti yang perlu dihormati.
Maka hasrat murni Dasar Pendidikan Kebangsaan untuk mengukuhkan perpaduan kaum melalui sistem pendidikan sukar untuk dicapai.
Memperkasakan sistem pendidikan sekolah
di bawah satu bumbung, satu aliran serta satu kurikulum perlu diusahakan
segera di antara Kementerian Pendidikan dan Pentadbir Sekolah-sekolah
Jenis Kebangsaan Cina bagi menerima pakai Dasar dan Sistem Pendidikan
Negara dan kurikulum kebangsaan sepenuhnya.
Sudah pasti, ini suatu bentuk dan proses
pendidikan yang lebih harmoni bagi memperkukuhkan agenda integrasi
nasional di negara kita. Sistem pendidikan sekolah-sekolah Cina mesti
menerima dan menggunakan Dasar dan Sistem Pendidikan Kebangsaan
sebagaimana termaktub dalam Akta Pendidikan 1996.
Ketua Eksekutif MAPPIM
Ahli Jawatankuasa Gerakan Pembela Ummah (UMMAH) -




Tiada ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.