Misalnya Printing Presses and Seditious Publications Enactment, 1931 (No. 5 of 1931) bagi Kelantan dan Seditious Publications (Amendment) Ordinance, 1928 (No. 16 of 1928) bagi Negeri-negeri Selat. Akta Hasutan 1948 kemudiannya diperluaskan penguatkuasaannya ke Sabah dan Sarawak setelah pembentukan Malaysia. 

Dalam tempoh 70 tahun ini, undang-undang tersebut digunakan untuk mendakwa mana-mana individu yang disyaki menghasut masyarakat. Daripada ahli politik, mahasiswa hinggalah kepada kartunis. Undang-undang ini mendapat kritikan dari dalam dan luar negara kerana dilihat disalah guna untuk tujuan politik. 

Dalam erti kata lain, penentang lebih berkisar tentang perlaksanaan secara sewenang-wenang undang-undang itu. Namun ingin penulis tekankan bahawa masalah yang timbul bukan sahaja berpunca daripada aspek pelaksanaan sahaja, bahkan sifat lapuk yang ada pada Akta Hasutan 1948 menyebabkan undang-undang itu bermasalah dan wajar ditamatkan penggunaannya. 

Akta Hasutan 1948 diperkenalkan lebih kurang sebulan setelah Darurat (1948-1960) diisytihar di Tanah Melayu oleh pentadbiran British Malaya, iaitu pada 16 Jun 1948. Darurat yang berlarutan sehingga 12 tahun itu dilancarkan bagi membanteras ancaman pengganas Komunis. Secara dasarnya, deklarasi darurat adalah satu tindakan absah sesebuah negara dalam mendepani ancaman keselamatan yang menuntut tindakan serta merta. Langkah-langkah khas lazimnya diperkenalkan dan sebilangan hak-hak asasi warganegara diketepikan buat sementara waktu. 

Akta Hasutan 1948 diperkenalkan dalam situasi ini. Dalam tempoh Darurat itu, penggunaan undang-undang biasa digantung seketika. Biarpun Akta Hasutan 1948 bukan termasuk dalam Ordinan-Ordinan dan Peraturan-Peraturan Darurat, namun keadaan semasa ketika itu pastinya mempengaruhi penggubal undang-undang ketika itu. 

Akta Hasutan 1948 terus kekal biarpun Darurat telah tamat. Situasi ini terjumlah kepada ‘normalisation of emergency’. Proses ini berlaku apabila undang-undang khas yang sepatutnya bersifat sementara terus kekal beroperasi dan menjadi seakan undang-undang biasa, sedangkan ancaman yang menjadi sebab penggubalannya sudah tidak wujud. Hal ini menyebabkan beberapa hak-hak madani rakyat tergantung buat selama-lamanya.

Usaha pihak British membanteras komunis hakikatnya berkait rapat dengan agenda kolonialisme dan bukanlah semata-semata secara jujur membantu dan mempertahankan Tanah Melayu. British melihat keperluan untuk menghalang pengaruh komunis dan juga mengembalikan keyakinan penduduk Tanah Melayu setelah mereka tewas kepada Jepun dalam Perang Dunia Kedua sebelum itu. Lantas, Akta Hasutan 1948 adalah satu alat yang digunakan untuk membungkam kebangkitan rakyat Tanah Melayu yang menuntut kemerdekaan dalam pelbagai wadah perjuangan. 

Maka kita dapat lihat beberapa tokoh perjuangan kemerdekaan diambil tindakan oleh British dengan menggunakan undang-undang anti hasutan. Antaranya Datuk Ahmad Boestamam dan Tan Sri Abdul Samad Ismail. Penggunaan undang-undang anti hasutan juga dapat dilihat di negara-negara jajahan Empayar British yang lain. Sebagai contoh Criminal Law (Seditious Offences) (Amendment) Ordinance, 1932 (No. 43 of 1932) di Palestin dan Sedition Ordinance, 1931 (No. 29 of 1931) di Fiji. 

Sementara di India, tokoh kemerdekaan, Mahatma Ghandi pernah didakwa dan dihukum enam tahun penjara kerana menulis rencana yang dikatakan menghasut rakyat menentang British. Maka jelaslah bahawa Akta Hasutan 1948 adalah alat yang digunakan oleh penjajah dulu dalam memadam api penentangan. 

Maka adalah mustahak agar undang-undang itu sentiasa disemak supaya bertepatan dengan peruntukan dan nilai-nilai yang diangkat oleh undang-undang tertinggi negara itu. Perubahan masyarakat juga harus diambil kira. Akta Hasutan 1948 dirumuskan dalam keadaan negara masih belum membangun dan tahap pendidikan masyarakat yang masih rendah. 

Dalam keadaan sekarang, masyarakat Malaysia majoritinya terdidik dan boleh membuat pertimbangan sendiri akan sesuatu perkara. Dalam erti kata lain, masyarakat kita kini boleh menilai dan tidak mudah terpengaruh hasutan yang dangkal. Maka undang-undang seperti Akta Hasutan 1948, yang bersifat ‘patronising’ terhadap keupayaan rakyat berfikir dan menerka maklumat wajar dimansuhkan.

Namun sekiranya Akta Hasutan 1948 dimansuhkan, bagaimana pula untuk berdepan dengan individu atau golongan yang sememangnya berniat jahat mengeluarkan ucapan kebencian yang boleh menggugat keharmonian negara? Untuk tujuan ini, kerajaan disarankan untuk mengemaskini Bab XXII Kanun Keseksaan berhubung tindakan menimbulkan ketakutan jenayah, kegusaran dan keaiban yang boleh menjejaskan kesejahteraan awam. 

Cadangan penggubalan Akta Keharmonian Nasional juga haruslah dikaji semula. Namun harus diingat, sebarang bentuk kesalahan jenayah yang ingin diwujudkan perlulah mengekalkan prinsip-prinsip lazim dalam undang-undang jenayah dan sistem keadilan jenayah. 

Selain itu, kerajaan pusat juga wajar menggubal undang-undang berkaitan kebebasan maklumat. Misalnya, Freedom of Information Act 2000 di United Kingdom dan Enakmen Kebebasan Maklumat 2011 di Selangor. Masyarakat yang bermaklumat atau mempunyai capaian terhadap sumber maklumat tidak akan mudah terpengaruh dengan hasutan dan dakyah yang tidak berasas. 

Sesudah 70 tahun Akta Hasutan 1948 diperkenalkan, kita dapat saksikan bagaimana undang-undang yang dipelopori oleh penjajah itu dikekalkan dan digunakan untuk menggantung hak-hak yang dijamin oleh Perlembagaan buat jangka waktu yang lama. Biarpun terdapat beberapa pindaan yang dibuat sepanjang tempoh itu, perubahan yang dirumus hanya mengakibatkan Akta Hasutan 1948 menjadi lebih menekan. Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pernah berjanji untuk memansuhkan akta ini pada 2012. Bagaimanapun niat tersebut tidak diteruskan. Maka wajarlah Kerajaan Pakatan Harapan memansuhkan Akta Hasutan 1948 ini sebagaimana yang dijanjikan dalam manifesto. 

PENULIS ialah bekas Timbalan Pendakwa Raya dan kini berkhidmat di Pusat Pengajian Undang-Undang, Universiti Utara Malaysia (UUM).