https://critoxium.com/shop/

Terkini

Kemana lagi Pas hendak lari?

Oleh Mohd Sayuti Omar

"Yang benar telah datang dan yang batil telah lenyap. Sesungguhnya yang batil itu adalah sesuatu yang pasti lenyap." al-Isra'" 81.
OH.. berlinang mata saya mengenang nasib parti gemula chek (Pas) dengan apa yang berlaku kini. Sungguh tegal mereka yang melakukannya, itulah detapan nastapa di sanubari. Bohonglah kalau hati tidak sedih dengan apa yang berlaku dan menimpa Pas sekarang ini, sebab parti itu dicintai saya sejak dari kecil lagi.

Apakah balanya. Nasib malang satu demi satu menimpa Pas, bukan kerana lawan tetapi kerana ulah pemimpinnya sendiri. Harapkan pagar pagar memakan padi. Teringat sebuah kata-kata jika sesuatu itu diserahkan kepada bukan ahli, maka tunggulah kemusnahannya. Apakah kejadian ini menjadi tanda-tanda pertengahan dan akhir akan kemusnahan parti agama itu lebih besar lagi? Begitukah. Nauzubillahiminazalik.

Hari ini, pecah satu lagi kebusukan Pas. Kekohongan yang dahsyat yang berladum dalam Pas. Gara-gara itu Pas kini menjadi sebagai sebuah lembah yang digenangi air hanyir disebabkan ulah pemimpinnya dan bakal melemaskan ahli dan penyokongnya.

Degil dan babil.
Semuanya bermula daripada sikap degil dan babil pemimpin Pas untuk tidak akur kepada kebenaran dan mahu bermain dengan pembohongan dan penipuan. Semuanya gara-gara kerana Pas mulai tunduk dan berajakan nafsu amarah.

Hairan bin ajaib saya, kenapa jadi sedemikian huduh perangai pemimpin Pas. Kenapa mereka tergamak melakukan demikian. Syaitan jenis apakah yang merasuk ke dalam diri mereka? Di manakah ayat-ayat Quran dan Hadith yang mereka baca selama ini sebagai benteng kekuatan iman mereka. Di mana? Atau sudah robohkan pagar-pagar imam?

Sebenarnya yang berlaku hari ini hanya isu kecil sahaja tetapi membawa impak yang besar disebabkan ketidakbijaksanaan pemimpin menguruskan politik Pas. Ia bermula daripada Pas tidak mahu mengaku dengan apa yang berlaku dan terus mahu kekal berdolak dalik tentang sesuatu perkara yang orang sudah dapat membacanya. Saya turunkan kronologi yang membusuk dan memalukan Parti Islam seMalaysia itu yang kini ia berada dalam damage yang sangat buruk.

1. Pas tidak mahu mengaku bahawa tindakan menyaman Sarawak Report sebagai tindakan yang tidak bijak yang menyerlahkan kebodohan. Nasihat dan pandangan orang ramai tidak dihiraukan. Saya terjemahkan tindakan ini kerana pemimpin Pas khasnya presidennya diperangkap.

2. Apabila ia menarik balik saman itu, Pas tidak mahu mengaku yang penarikan balik saman ke atas Sarawak Report itu sebagai satu langkah terdesak untuk melindungi rahsia lebih besar daripada terbongkar.

3. Apabila penarikan balik itu dibuat ada pertimbangan kewangan, Pas tidak mahu mengakui yang sejumlah wang dibayarkan kepada Clare Rewcastle-Brown atas persetujuan penarikan balik tanpa tuntutan balas itu walaupun rahsia itu sudah terdedah dan berbau ke seantero dunia.

4. Dan apabila Anwar Ibrahim mendedahkan bahawa berlaku bayaran kepada Clare Rewcastle Brown sebanyak RM1.422 juta, Pas masih terus berdengil untuk tidak mengaku kenyataan itu. Beberapa pemimpin Pas termasuk yang pandai buat air jampi, menuduh Anwar menipu dan memfitnah serta berniat jahat kepada Pas.

5. Ketua Penerangan Pas, Nasharuddin Hassan pula konon membuat kajian mengesahkan akaun atau cek bayaran kepada Clare itu sebagai palsu, dan ia ditularkan sebagai untuk memburukkan Pas. Bagaimana pun dakwaan Nasaruddin Hassan itu disanggah oleh Rafizi Ramli yang membuat penyelidikan didapati akaun dan cek itu benar. Dan nama disebut oleh Rafizi sebagai empunya cek itu semua orang kenal.

Tiada reaksi.
Sehingga catatan ini dibuat belum ada reaksi daripada mana-mana pemimpin parti agama itu terhadap pendedahan dibuat oleh Rafizi itu. Sekiranya Pas masih lagi berkeras menafikan dengan mengatakan cek bayaran itu palsu, entahlah saya tidak tahu apa yang hendak dibilang kepada Pas lagi. Cuma saya teringat "bari" - cerita gemula chek 60 tahun lalu mengenai kisah bagaimana kedegilan seseorang.

Ceritanya begini, ada dua orang sahabat, salah seorangnya mahu menang sendiri, dan suka berasakan dirinya pandai. Satu hari mereka berjumpa dengan seekor haiwan berkaki empat. Si kawan yang degil itu mengatakan dia kenal dengan haiwan itu sebagai burung walhal ia kambing. Kawannya bantah kerana setahunya burung berkaki dua dan ada kepak.

"Tidak, ini bukan burung, ini kambing" katanya menyanggah dakwaan kawannya itu.
"Burung," kata kawannya itu tidak mahu mengalah.
"Setahu aku burung berkaki dua, ini kaki empat, dan burung boleh terbang," kata kawan itu lagi.
"Burung, bukan kambing...," tekan si kawan yang degil itu.

Lalu untuk menentukan apakah burung atau kambing, mereka cuba menggerakkan binatang itu. Ternyata binatang itu hanya mampu berjalan dan berlari. Ia tidak boleh terbang.

"Tengok, ia berlari, itu kambing," kata kawan itu menyakinkan telahannya benar. Namun kawan yang degil itu tetap tidak mahu menerima hakikat itu dengan berkata; "burung, percayalah sebab dia akan terbang sekejap lagi."

Nah, apa yang dialami oleh orang Pas hari ini samalah dengan kawan yang degil itu. Walaupun sudah dikemukakan bukti dan dalil-dalil atas apa yang berlaku namun ia tetap tidak percaya dan cuba menegakkan benang basah. Jenis apa yang boleh digolongkan orang sebegini kalau bukan jenis masuk air. Maaf kasar sedikit.

Dari kronologi yang diberikan itu menunjukkan bagaimana Pas tidak mahu mengakui kebenaran dan cuba mempertahankan diri dengan kepalsuan. Ia menghairankan bagaimana sebuah parti agama, beraqidah Islam, bertuhan Allah dan berasulkan Muhammad s.a.w. boleh bersikap demikian, sedegil orang Yahudi yang tidak mahu menerima setengah para Nabi-nabinya.

Kenapa Pas tidak mahu mengaku dan terus berdolak dalik. Di sinilah saya kata bahawa Pas kini tidak mempunyai pemimpin yang cerdik dalam politik, yang mempunyai daya akal yang jauh dan mendalam. Bukan itu sahaja Pas memanipulasikan nama Islam untuk melakukan kerja-kerja bukan Islamik. Moral dan akhlak pemimpin Pas serta tanggungjawab mereka kepada dasar yang menjadi prinsip Pas sudah tidak ada lagi. Sudah ke laut Cina Selatan.

Apa salah kalau Pas mengakui dengan seikhlas hati apa yang berlaku dan sudah terdedah itu. Pas tidak akan mengalami apa-apa kerugian pun. Kesalahan dan kesilapan dalam hidup adalah perkara biasa sahaja. Lagipun dalam Islam sendiri ada ruang untuk memohon ampun dan taubat. Kalau cara itu dipraktikkan orang masih hormati Pas.

Misalnya mengakui secara jujur penarikan balik saman terhadap Sarawak Report itu dibuat kerana Pas berasakan mereka akan kalah kalau saman itu diteruskan. Dan setelah ia diselesaikan di luar mahkamah, mengakui sahaja terma-terma yang dipersetujui bersama termasuk bayaran RM1.422 juta itu. Pas tidak akan menjadi malu sejauh hari ini.

Pas tidak mengalami apa-apa kerugian kalau mengambil sikap jujur dan terbuka itu. Bahkan orang akan melihat Pas sebagai parti yang jujur dan ikhlas yang mempraktikan amalan Islam sebenar. Dengan apa yang berlaku kini menyebabkan orang akan boleh membuat beberapa kesimpulan kepada Pas yang menjejaskan bahkan melenyapkan kemuliaan parti itu.

1. Orang yang sebelum ini sangsi dengan tuduhan Pas menerima wang daripada Umno, akan mulai percaya apa yang disebut Sarawak Report yang ada pemimpin Pas menerima wang daripada Umno.

2. Ahli-ahli dan penyokong Pas akan menjadi konfius dengan ulah dan perangai pemimpin parti itu kini.

3. Umno yang kini mahu berbaik dengan Pas juga akan mencurigai sikap dan telatah orang Pas, dan apa yang berlaku itu mengejutkan mereka, menjadikan Umno beranggap Pas juga sama jahat dengan mereka bahkan lebih jahat. Integriti dan kemuliaan Pas selama ini lenyap dan musnah dari minda orang Umno.

Saya tidak bercadang untuk meruskan catatan ini lebih panjang lagi kerana ia bertambah emosi kerana sebak dan sedih mengenangkan Pas. Saya hentikan di sini dahulu dengan mengulangi maksud ayat Quran yang saya masukkan di atas itu: Sesungguhnya kebatilan itu akan musnah apabila kebenaran menjelma.  Inilah berlaku kepada Pas. Takziah dan salam buat seluruh ahli dan penyokong Pas.

Tiada ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.