https://critoxium.com/shop/

Terkini

Ahmad Yakob dan Husam boleh buka dimensi baru politik Kelantan

Oleh Mohd Sayuti Omar

PERJUMPAAN secara tidak sengaja antara Husam Musa dengan Ahmad Yakob di satu majlis di Kota Bharu pagi semalam mungkin bukan satu peristiwa besar.

Pertemuan mereka berdua bukan pertama kali dan baharu. Bahkan sebelum ini mereka pernah duduk sebumbung, bermesyuarat bersama merancang untuk kemajuan Kelantan.

Ketika itu Husam sebagai Exco kanan kerajaan Kelantan manakala Ahmad sebagai Timbalan Menteri Besar. Mereka adalah pembantu Tokguruku Nik Abdul Aziz Nik Mat, menjadi pemikir kepada kerajaan "Membangun Bersama Islam" di Kelantan.

Justeru pertemuan mereka berdua pagi semalam tidak pelik. Malahan pertemuan itu seharusnya berlaku sejak beberapa bulan lalu lagi, sebaik usai pilihan raya umum. Selepas selesai pilihan raya, sesudah rakyat Kelantan telah membuat pilihan mereka, mereka seharusnya mula menghulurkan salam, bermaaf-maafan, untuk bergerak ke depan tanpa prejudis antara satu sama lain?

Dalam pilihan raya lalu mereka bertembung dan berlawan antara satu sama lain. Perkara itu wajar dan itulah budaya dalam berpolitik apabila sudah tidak berada di bawah satu bendera lagi. Tetapi nawaitu dan maksud tetap sama untuk mendapat kuasa bagi membela negeri dan rakyat. Tiada maksud lain.


Husam dan Salahuddin serius bincang untuk
pembangnan rakyat, khas mengenai Kada.
Sebaiknya sesudah selesai pilihan raya sebagai menempati kehendak sistem demokrasi, proses menentukan parti memerintah Kelantan, mereka wajar duduk bersama.

Dan hari ini kedua mereka bertemu. Pertemuan itu memberi ruang baik untuk mencari ruang menjalinkan kerjasama secara tidak langsung demi Kelantan. Suka atau tidak kedua mereka adalah pemimpin utama Kelantan hari ini. Mereka adalah orang tua di Kelantan.

Ahmad Yakob kekal sebagai MB, meneruskan kerja-kerja yang dipuasaki daripada Nik Aziz,  manakala Husam pula baru diberi tanggungjawab sebagai Pengerusi Lembaga Pertanian Kemubu (Kada), sebuah lembaga atau institusi pembangunan ekonomi cukup besar dan gah di Kelantan. Menerusi Kada itu Husam boleh membantu dan bekerjasama dengan kerajaan Kelantan bagi kemajuan Kelantan.

Di bawah Kada terdapat 458,000 nyawa dimana ia merupakan 1/4 daripada keseluruhan penduduk Kelantan. Dan dengan kedudukan kawasan Kada menjadi jelapang padi kedua terbesar negara meliputi kawasan seluas 26,833 hektar dan penyumbang kepada pendapatan padi dan beras untuk Kelantan dan negara, maka ia perlu diolah dan dibangunkan secara bersama dengan baik. Kada juga

Secara peribadi saya sangat senang hati dengan pertemuan mereka berdua semalam. Apa lagi membaca kenyataan atau respons Husam berhubung pertemuan itu dan cadangan kerajaan Persekutuan untuk melantik wakil negeri sebagai ahli lembaga Kada.

Kata Husam beliau tidak kekok untuk selalu hadir dalam majlis dan duduk sepentas bersama Menteri Besar, bahkan bersedia untuk bekerjasama demi Kelantan. Sementara dalam satu majlis lain Husam mengumumkan yang kerajaan Persekutuan mencadangkan seorang wakil negeri untuk dilantik menjadi ahli lembaga Kada.

Untuk tujuan itu katanya, Menteri Pertanian dan Asas Tani, Salahuddin Ayub sudah memberi isyarat itu kepadanya dan beliau bersetuju.

"Saya telah berbincang dengan Salahuddin dan pihaknya telah mencadangkan agar dilantik wakil kerajaan negeri dalam Kada," kata Husam. Minggu lalu Husam selepas beberapa hari dilantik menjadi Pengerusi Kada, telah mengadakan kunjungan hormat ke atas Salahuddin di Putrajaya dan berbincang beberapa perkara berkaitan pertanian di Kelantan khasnya yang dipertanggungjawab di bawah Kada.

Dan paling menggembirakan seperti mana dilaporkan, Husam memberi tahu kerajaan Persekutuan bersedia untuk melantik sama wakil kerajaan negeri institusi yang dipengerusinya itu. Katanya beliau sudah berbincang dengan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Salahuddin Ayub bagi melantik wakil kerajaan negeri dalam lembaga Kada. Cadangan ini adalah julung kali sejak Kada di tubuh lebih 47 tahun lampau.

Semua pihak seharusnya menyambut baik dan gembira langkah kerajaan Persekutuan untuk menjalini kerjasama demi rakyat.  Sesungguhnya sikap dan pendekatan politik diambil Husam dan Salahuddin itu sudah lama ditunggu-tunggu oleh rakyat Kelantan. Mereka yang faham politik dan memanfaatkan politik untuk kepentingan umum pasti akan mengalu-alukan langkah diambil oleh Husam itu dan tidak sesekali cuba memprejudisnya.

Kelantan akan menuju kemajuan sekiranya kombinasi dua kuasa berlaku, kerajaan negeri dibawah Pas dan kerajaan Persekutuan di bawah Pakatan Harapan yang bersikap terbuka, profesional berbanding dengan kerajaan BN sebelum ini. Perubahan dan perkembangan ini seharusnya dimanfaat sebaik mungkin oleh kerajaan Kelantan.

Satu contoh jelas ialah dalam pengagihan royalti petroleum di Kelantan yang dinafikan sebelum ini. Kerana sikap kerajaan PH akhirnya royalti yang diperjuangkan oleh Kelantan sudah dapat dinikmati. Dan jangan lupa insan yang menggerakkan perjuangan untuk mendapat royalti ialah Husam. Dalam bulan ini juga (April) Kelantan akan menerima bayaran royalti.

Berhubung kemurahan kerajaan Persekutuan tadi, dalam masa sama hendaknya pihak kerajaan negeri tidak beralasan untuk menerima cadangan itu bagi menghantarkan wakilnya berada dalam lembaga Kada. Banyak faedah yang dapat dikutip nanti sekiranya kerajaan sedia menerima pelantikan itu. Sebaik-baiknya Ahmad Yakob selaku MB sendiri dilantik menjadi ahli lembaga pengarah.

Khabarnya untuk tujuan itu Husam bersama Salahuddin akan mengunjungi Ahmad Yakob dalam masa terdekat bagi membincang lebih lanjut berhubungan cadangan itu dan juga mencari segenap ruang dan peluang yang ada bagi menyatukan aset yang dimiliki kedua pihak negeri - persekutuan demi Kelantan.

Sekiranya ini menjadi kenyataan, kerjasama dan bantu membantu itu boleh diperluaskan ke dalam berbagai skop dan aspek lagi. Saya yakin dengan adanya semangat berpolitik secara bijaksana dan "mahabbah" ini akan menyerlahkan politik dimensi baru di Kelantan. Mungkin bertolak dari permulaan ini, wakil kerajaan negeri bukan sahaja hanya ada dalam agensi persekutuan seperti Kada itu sahaja, tetapi agensi-agensi lain juga termasuk Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (Kesedar), dan lain-lain

Tiada ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.