https://critoxium.com/shop/

Terkini

Mohamad Sabu: Malaysia komited perangi IS, seru negara Islam bersatu

KUALA LUMPUR, 24 April -- Menteri Pertahanan Mohamad Sabu menegaskan Malaysia akan melakukan apa sahaja dalam memerangi kumpulan pengganas Negara Islam (IS) demi keharmonian sejagat.

Mohamad bagaimanapun berkata, usaha memerangi kumpulan pengganas itu tidak akan berjaya selagi tiada kesepakatan terutama dalam kalangan negara Islam sendiri.

“Saya menegaskan ISIS dan kumpulan-kumpulan pengganas ini mempunyai ‘ibu dan bapa’ mereka yang wajib diambil tindakan oleh masyarakat antarabangsa.

“Saya menyeru kepada semua pihak agar bersatu bagi memerangi ancaman IS yang boleh mendatangkan kemusnahan dan pembunuhan orang awam seperti yang berlaku di Sri Lanka baru-baru ini,” katanya dalam satu kenyataan.

Mohamad berkata demikian ketika menyampaikan ucapan di Persidangan Keselamatan Antarabangsa ke-8 di Moscow, Rusia pada Rabu.

Sementara itu, Mohamad berkata pendekatan negara Islam di Asia Tenggara dalam memerangi pengganas wajar dicontohi walaupun mempunyai penduduk berbilang kaum.

“Saya memberikan contoh bagaimana tiga negara Islam Asia Tenggara Malaysia, Indonesia dan Brunei dapat duduk semeja sedangkan negara-negara Arab yang semuanya beragama Islam masih tidak dapat bersatu.

“Jangan biarkan fahaman ekstremisme sebegini, merosakkan keharmonian negara berbilang kaum dan agama seperti Malaysia,” katanya lagi.

Tiada ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.