https://critoxium.com/shop/

Terkini

RM30 juta bagi laksana KIDA

ALOR SETAR: Kerajaan negeri melalui Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA) memperuntukkan RM30 juta bagi melaksanakan program bantuan Kasih Ibu Darul Aman (KIDA) bagi keluarga miskin membeli barangan keperluan harian.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Pembasmian Kemiskinan dan Kebajikan negeri, Halimaton Shaadiah Saad, berkata seramai 5,059 penerima yang berada di dalam sistem e-kasih layak mendapat manfaat program itu.

Katanya, setiap penerima akan menerima sebanyak RM250 bagi membeli barangan keperluan, manakala RM500 untuk bantuan kesihatan sekeluarga selama setahun.

Antara barang yang tersenarai untuk pembelian adalah beras, mi, bihun biskut, telur, gula, garam, minyak masak, ayam segar, daging lembu dan kambing, ikan, lampin pakai buang, kelengkapan mandi dan pencuci.

“Bantuan ini akan diberikan kepada penduduk miskin dan miskin tegar yang dikenal pasti menerusi data e-kasih yang terdiri daripada penduduk tetap Kedah, ibu tunggal dan mempunyai anak berusia 21 tahun ke bawah yang masih dalam tanggungan.

“Bagi ketua keluarga terdiri daripada ibu, nenek atau anak perempuan, mereka juga layak menerima bantuan yang akan dibuat melalui sistem kad pintar tanpa tunai," katanya ketika menjawab soalan lisan Salim Mahmood (PAS-Bukit Lada) di Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini, hari ini.

Difahamkan, pelancaran program berkenaan akan disempurnakan Menteri Besar, Datuk Seri Mukhriz Mahathir di Dewan Hana, Sik, pada 20 Mei ini.

Halimaton berkata , daerah Sik mencatatkan jumlah penerima teramai iaitu 1,259 orang diikuti Kota Setar (811) dan Baling (653).

"Diharapkan dengan bantuan ini kerajaan dapat mencapai objektif membasmi kemiskinan, menggalakkan keterangkuman dan pemberdayaan serta menggalakkan permintaan pengguna dan mencetuskan pengganda ekonomi lain di peringkat tempatan," katanya.

Sementara itu, Halimaton berkata, sebanyak RM500,000 peruntukan tambahan diberikan kepada Tabung Khas Wanita bagi membantu ibu tunggal berniaga.

Ketika ini, ada 32,000 permohonan bagi mendapatkan dana itu dengan penerima layak akan menerima antara RM300 hingga RM1,000.

Tiada ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.