https://critoxium.com/shop/

Terkini

Sembah tokong Dato Kong, nelayan ditahan polis

BAGAN SERAI, 11 Jun — Polis menahan seorang nelayan bagi membantu siasatan kes pemujaan Tokong Dato Kong di Taman Piandang Indah, Tanjung Piandang di sini, yang tular di media sosial baru-baru ini.

Ketua Polis Daerah Kerian Supt Omar Bakhtiar Yaacob berkata lelaki berumur 43 tahun itu, ditahan sepasukan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Kerian di sini, setelah dia datang untuk menyerah diri pukul 5 petang semalam.

”Tiada rampasan dibuat, kerana pakaian yang dipakai lelaki itu seperti mana dalam video yang tular, telah dialihkan atau dibuang oleh individu tidak dikenali. Polis akan mendapatkan perintah reman daripada Mahkamah Parit Buntar esok,” katanya dalam kenyataan di sini malam tadi.

Pada 7 Jun lalu, tular rakaman video sepanjang 15 saat menunjukkan seorang lelaki memakai kain pelikat dan berkopiah, melakukan pemujaan di sebuah tokong kecil di kawasan perumahan di Tanjung Piandang di sini.

Berikutan itu, Omar Bakhtiar berkata Anggota Jawatankuasa Masjid Tanjung Piandang telah membuat satu laporan polis, di Balai Polis Tanjung Piandang pada hari yang sama.

Katanya kes disiasat mengikut Seksyen 298A Kanun Keseksaan, iaitu atas alasan agama yang boleh menyebabkan suasana tidak harmoni, perpecahan atau permusuhan, benci-membenci atau niat jahat atau memudaratkan pemeliharaan keadaan harmoni atau perpaduan.

Siasatan turut dijalankan mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, iaitu penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian atau perkhidmatan rangkaian dan lain-lain, katanya. — Bernama

Tiada ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.