https://critoxium.com/shop/

Terkini

Di sebalik Dr M ajak ahli Umno sertai PPBM

Oleh Zin Mahmud

Ajakan Dr Mahathir Mohamad supaya ahli Umno menyertai PPBM mempunyai asas pada kefahaman beliau ke mana negara ini wajar dibawa pada masa depan.

Dalam usia 93 tahun dan pengalaman politik selama 74 tahun, iaitu sejak aktif dalam Syarikat Kerjasama Am Saiburi (Saberkas) pada tahun 1940-an, beliau mempunyai perspektif yang mendalam terhadap negara ini. Maka dipercayai tidak ada orang lain yang masih berkecimpung dalam politik dan mempunyai perspektif begitu mendalam terhadap negara ini seperti beliau.

Kesedaran politik beliau bermula semasa pendudukan Jepun di Tanah Melayu lagi, dari 1941 hingga 1945. Jepun memanggil Tanah Melayu sebagai Malai. Sementara Kedah dinamakan Saiburi. Tetapi Saiburi tidak berada dalam penjajahan Jepun. Tokyo menyerahkan Kedah kepada Bangkok. Siam adalah negara merdeka tetapi menjadi sekutu Jepun. Mahathir melihat sendiri askar Siam di Alor Setar memukul orang Melayu.

Syarikat Kerjasama Am Saiburi itu bermaksud Persatuan Kerjasama Rakyat Kedah. Pada zaman itu, sebutan persatuan ialah syarikat. Sebab itu, persatuan politik pertama di Indonesia dinamakan Sarekat Islam. Ketika itu perkataan syarikat belum merujuk pada badan perniagaan semata-mata. Sebab itulah bahasa Melayu ketika itu memanggil United States of America sebagai Amerika Serikat atau Amerika Syarikat. Perkataan “am” adalah sama makna dengan “awam” pada zaman itu bermaksud “public” atau rakyat. Kalau zaman sekarang, Saberkas boleh membawa maksud Parti Solidariti Rakyat Kedah. Pada tahun 1940-an, Saberkas dikenali sebagai antara parti kiri orang Melayu di Malaya seperti juga Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM), Hizbul Muslimin dan Barisan Tani Se-Malaya (Batas).
Cumanya, apabila Umno ditubuhkan, Saberkas diserapkan ke dalam parti itu. Semua cawangannya di Kedah menjadi cawangan Umno negeri dan Mahathir yang merupakan seorang doktor muda muncul sebagai pengerusi Umno Kedah.

Beliau yang berusia 30 tidak bertanding pilihan raya umum (PRU) pertama Malaya pada 1955. Dalam pilihan raya itu, Yang Dipertua Kedua Umno, Tunku Abdul Rahman dikatakan meletakkan banyak calon yang berpendidikan rendah sedangkan terdapat kalangan mereka yang lebih layak dalam parti itu. Mahathir membantah keadaan itu. Ekoran itu beliau enggan bertanding dalam pilihan raya umum 1959, ketika itu beliau berusia 35 tahun.

Maka bermulalah konflik pertama antara Mahathir dengan pucuk pimpinan Umno. Konflik ini mempunyai asas ideologikal. Tunku adalah putera raja dan Mahathir mempunyai pandangan progresif tentang bagaimana patut orang Melayu dimerdekakan dan dimajukan.

Soal kemerdekaan tulen adalah penting bagi Mahathir. Beliau juga membantah tindakan Tunku membenarkan tentera British dan Komanwel di Malaya selepas negara ini mencapai kemerdekaan. Namun begitu, beliau bertanding PRU pada 1964 dan menang di Kota Setar.

Dari Saberkas, Umno, Umno baru dan kini, PPBM, wawasan Mahathir tentang orang Melayu dan Malaysia adalah konsisten. Umno adalah Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu. Sementara PPBM adalah Parti Pribumi Bersatu Malaysia. Satu perkataan yang sama digunakan oleh kedua-dua parti itu adalah bersatu.

Dua perkataan perbezaan yang ketara juga ialah perkataan Melayu, Pribumi dan Kebangsaan. Umno mempunyai perkataan Melayu dan Kebangsaan sementara PPBM menggantikannya dengan Pribumi dan Malaysia. Konsep Melayu pada Mahathir adalah lebih luas, iaitu merangkumi pribumi dan bumiputera. Ketika beliau menjadi presiden Umno, keahlian parti dibuka kepada bukan Melayu dari kalangan Bumiputera Sabah bukan Islam. Perkataan Malaysia juga menggantikan kebangsaan kerana ia adalah lebih jelas. Perkataan kebangsaan adalah istilah lama yang sudah digantikan dengan nasional. Nasionalisme sekarang meliputi semua rakyat Malaysia, dan bukan pada orang Melayu saja.

Bagi Mahathir, PPBM bukan saja parti yang sama dengan Umno tetapi juga sebagai pengganti dan wadah melanjutkan perjuangan nasionalisme Melayu. Baginya Umno sudah rosak akibat kepimpinannya yang menerapkan budaya korupsi. Jadi PPBM muncul untuk menjadi Umno tanpa korupsi. Tetapi PPBM tetap Umno yang disertai Saberkas dahulu. Sebab itu Mahathir menekankan mengenai keahlian PPBM hendaklah untuk orang Melayu dan Bumiputera sahaja. sedangkan pada zaman ini, semua parti baru membuka keahliannya tanpa mengira kaum.

Ini bermakna PPBM mahu menggantikan Umno. Dalam hal ini, kepentingan orang Melayu bersatu adalah penting. Mahathir sentiasa mengutamakan soal bersatunya orang Melayu. Semasa beliau menjadi presiden Umno pada 1985, lagu rasmi parti itu yang menekankan semangat bersatu diperkenalkan. Lagu ciptaan Johari Salleh itu adalah ikonik dan merupakan lagu rasmi parti politik paling enak didendangkan. Lagu lama Umno 1950-an pun hilang ditelan zaman.

Pada 1985, menjelang PRU 1986, Umno dan Mahathir sedang dicabar dan diasak oleh PAS yang memperoleh barisan pimpinan baru. Beliau mengajak supaya orang Islam bersatu di bawah Umno.

Ini kerana mandat kepimpinan kerajaan Barisan Nasional dalam PRU 1982 adalah juga atas dokongan penyokong Anwar Ibrahim dan organisasinya, Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim). Kejayaan Mahathir menarik Anwar dari PAS dan masuk ke Umno adalah juga atas asas gagasan bersatu orang Islam.

Gagasan bersatu juga dipercayai menjadi dorongan kepada beliau ketika penubuhan Umno dahulu untuk mendokong pembubaran Saberkas dengan semuanya cawangannya diserapkan ke parti orang Melayu itu sedangkan ketika itu, parti kiri Melayu seperti PKMM dan sekutunya keluar dan menubuhkan Pusat Tenaga Rakyat (Putera).

Semasa krisis Umno 1987, beliau menyeru orang Melayu bersatu di bawah parti barunya. Mahathir mahu orang Melayu bersatu di bawah Umno baru dan menolak Parti Semangat 46 pimpinan Tengku Razaleigh Hamzah yang menampilkan partinya sebagai Umno asal bersemangat 1946.

Walaupun dari segi parti, kedua-dua Umno Baru dan Semangat 46 merupakan pecahan Umno asal, tetapi terdapat perbezaan antara kepimpinan dan kecenderungan ideologi antara Mahathir dan Tengku Razaleigh. Sekali lagi Mahathir berhadapan dengan putera keluarga raja.

Akhirnya apabila Tengku Razaleigh bersetuju menyertai Umno baru, Mahathir meletakkan syarat supaya Parti Melayu Semangat 46 (PMS46) dibubarkan. Apabila Umno Baru menjadi Umno semula adalah pada hakikatnya merupakan gabungan Umno baru dan PMS46.

Tetapi dalam PRU 2018, Mahathir berjaya mengalahkan Najib Razak yang mengetuai Umno. Najib walaupun bukan putera raja tetapi adalah dari kalangan keturunan bangsawan.

Kejayaan Mahathir adalah kerana banyak walaupun bukannya kebanyakan orang Melayu menyokongnya dan Pakatan Harapan. Sungguhpun begitu, dalam PH, PPBM bukanlah parti paling besar.

Sekali lagi baginya, untuk menguatkan orang Melayu, kaum ini mesti bersatu di bawah PPBM bukannya Umno. Orang Melayu akan lebih kuat dalam PH jika banyak yang menyertai PPBM. Jika banyak orang Melayu kekal dalam Umno, maka mereka berada di luar kuasa.

Bagi Umno pula, orang PPBM patut kembali ke Umno supaya akhirnya parti itu dapat kembali berkuasa. Tetapi banyak orang Melayu lebih yakin pada kepimpinan Mahathir daripada mana-mana pemimpin Umno sekarang. Mereka adalah menjadi tonggak pada PH sekarang.

Masa kian suntuk untuk meletakkan parti utama mana yang orang Melayu akan pilih, sama ada PPBM atau Umno. Tetapi banyak orang muda Melayu sudah tidak terikat pada parti tradisi, sama ada Umno dan pecahannya PPBM, atau PAS dan pecahannya Amanah. Mereka bukan saja boleh beralih ke PKR atau DAP, malah melahirkan wadah-wadah politik baru.

Tiada ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.