https://critoxium.com/shop/

Terkini

Penyatuan bangsa bermula di sekolah

Oleh Moaz Nair

Apakah rakyat Malaysia ikhlas apabila membicarakan perihal perpaduan kaum di Malaysia atau ia hanya impian semata-mata? Setelah 62 tahun merdeka, negara masih melihat sistem pendidikan yang diamalkan sekarang tidak dapat menawan hati semua rakyat yang terdiri daripada pelbagai kaum.

Segolongan besar etnik Cina lebih berminat menghantar anak mereka ke sekolah Cina, sebilangan besar etnik India pula lebih berminat menghantar anak mereka ke sekolah Tamil, walaupun kebanyakan sekolah jenis ini berada dalam keadaan yang daif dan tidak mempunyai kemudahan yang cukup.

Golongan minoriti di negara ini menghantar anak mereka ke sekolah jenis kebangsaan di mana bahasa ibunda mereka menjadi bahasa pengantar. Golongan majoriti pula, ada yang lebih cenderung menghantar anak mereka ke sekolah agama pelbagai aliran dan sepenuh masa untuk mendapat ilmu agama. Fenomena ini semakin ketara kini walaupun negara sudah mencapai kemerdekaan sejak sekian lama.

Budaya hidup, kerja berbeza
Tidak kurang juga etnik Melayu dan kaum lain yang berpendidikan tinggi dan menggolongkan diri mereka sebagai elit dalam masyarakat memandang rendah terhadap sekolah kebangsaan dan sanggup menghantar anak mereka ke sekolah swasta dan sekolah antarabangsa, malah ke luar negara pun.

Jika dilihat di sektor pekerjaan pula, didapati sektor kerajaan dipenuhi golongan Bumiputera dan kebanyakan sektor swasta pula dipenuhi bukan Bumiputera. Maka wujudlah budaya hidup dan kerja yang berbeza dalam kedua-dua sektor ini.

Dari sudut pendidikan tinggi pula, sektor pendidikan swasta lebih ramai terdiri daripada golongan bukan Bumiputera. Ibu bapa bukan Bumiputera yang mempunyai kemampuan sanggup menghantar anak mereka belajar di luar negara atau di institusi swasta tempatan dengan harapan supaya anak mereka mempunyai masa depan yang lebih cerah.

Golongan bukan Bumiputra ini sanggup bersaing dengan kaum lain untuk berjaya dalam pelajaran. Kebanyakan golongan Bumiputera pula lebih cenderung melanjutkan pelajaran di IPTA (institusi pengajian tinggi awam) dan UiTM (Universiti Teknologi Mara). Mereka didapati lebih selesa bersaing sesama sendiri.

Maka terdapatlah kelainan dan jurang yang besar antara Bumiputera dan bukan Bumiputera dari segi penguasaan bahasa asing dan daya saing. Yang nyata sekali, masing-masing kaum hidup dengan sikap dan budaya kerja tersendiri.

Pemisahan sikap dan budaya hidup sebegini tidak akan merapatkan jurang perpaduan rakyat kerana dalam dunia pekerjaan, majikan lebih cenderung menggunakan pekerja yang sehaluan dengan budaya kerja mereka.

Tinggal harapan semata-mata

Jika dilihat pada petanda yang sedang menular dalam masyarakat majmuk Malaysia, rakyat masih jauh lagi daripada mencorakkan bangsa Malaysia yang boleh kita banggakan. Malah apa yang dihasratkan oleh pemimpin masyarakat untuk mencorakkan satu bangsa yang bersatu, mungkin tinggal sebagai “slogan” impian sahaja.

Sistem pendidikan negara seharusnya memainkan peranan yang penting untuk menyatupadukan rakyat. Sekolah kebangsaan seharusnya dipertingkatkan dari segi kualiti dan daya saing dan dijadikan teras untuk memupuk semangat perpaduan yang sejati dan ia seharusnya menjadi pilihan utama rakyat.

Bahasa Melayu perlu diperkasa bagi mencerminkan bahasa negara kepunyaan rakyat. Sekolah kebangsaan termasuk mana-mana sekolah elit kerajaan perlu bersifat berkecuali dari segi agama dan ras dan memberi hak yang sama kepada semua rakyat untuk belajar tanpa mengira agama atau kaum.

Guru hendaklah terdiri daripada pelbagai kaum. Sekolah kebangsaan juga perlu mengajar bahasa ibunda semua kaum jika wujud permintaan terhadapnya. Langkah ini dapat menarik minat pelajar dari semua kaum. Dasar Dwi Bahasa (DLP) bagi pengajaran mata pelajaran berkait matematik dan sains serta teknikal harus dilakukan di semua sekolah kebangsaan untuk menarik pelajar dari pelbagai kaum dan juga untuk masa depan pelajar. Pelajar harus diberi pilihan untuk mempelajari subjek ini sama ada dalam bahasa Melayu atau Inggeris.


Semua sekolah dan institusi pengajian tinggi dalam negara perlu berbilang bangsa untuk memberi peluang kepada rakyat dalam mewujudkan perpaduan dan persaingan yang sihat. Sistem kuota bagi kemasukan pelajar ke semua sekolah “elit” dan institusi pengajian tinggi mengikut populasi negara harus dijadikan polisi supaya setiap kaum tidak dipinggirkan.

Teras penyatuan bangsa bermula di bangku sekolah. Jika setiap kaum inginkan kelainan dari kaum yang lain, dengan mewujudkan pengenalan yang tersendiri melalui sistem pendidikan yang berbeza dan institusi pendidikan pula hanya dapat menarik hanya sesuatu kaum tertentu sahaja, maka cita-cita untuk mewujudkan perpaduan kaum yang murni hanya akan tinggal sebagai harapan semata-mata.

Tiada ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.