https://critoxium.com/shop/

Terkini

Kedah, Kelantan dan Perlis antara negeri miskin

PUTRAJAYA: Kedah, Kelantan dan Perlis merupakan negeri miskin yang perlu diberikan tumpuan yang lebih, kata Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Menurut Dr Mahathir, menerusi Wawasan Kemakmuran Bersama 2021-2030 kerajaan akan berusaha untuk meningkatkan negeri-negeri yang dikategorikan miskin itu.

Beliau juga berkata, secara umumnya Jemaah Menteri telah bersetuju bahawa terdapat jurang antara negeri-negeri.
"Ada negeri yang amat kaya, ada negeri yang amat miskin. Kita harus kurangkan jurang antara negeri-negeri yang kaya dengan yang miskin ini.

"Ini bermakna tumpuan akan diberi kepada negeri yang miskin. Jika dapat kerajaan akan tingkatkan pendapatan mereka," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Khas Jemaah Menteri Mengenai Wawasan Kemakmuran Bersama 2021-2030 di Perdana Putra di sini, pada Sabtu.
Perdana Menteri berkata, menerusi wawasan berkenaan, kerajaan akan memberikan lebih keutamaan kepada hasil berbanding peluang.

"Kita hanya akan beri lesen, kontrak atau AP kepada yang layak sahaja, kalau mereka tidak layak kita akan beri latihan hingga layak.

"Objektif kita adalah untuk mencapai target pada akhir," katanya.

Pada Mei lalu, Dr Mahathir berkata, kerajaan akan memperkenalkan inisiatif baharu dikenali Kemakmuran Bersama, iaitu pembangunan yang tidak hanya dinilai melalui angka, sebaliknya pembangunan dan kekayaan harus diagih lebih adil supaya semua rakyat dapat merasainya.

Tiada ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.