https://critoxium.com/shop/

Terkini

Siapa ahli politik yang ganggu Narresh?


Oleh Arif Atan

R Narresh mengakui menerima banyak panggilan telefon dari nombor tidak dikenali yang mengecam keterangan beliau di Mahkamah Koroner.

Kehadirannya sebagai saksi kesembilan yang membantu arwah Muhammad Adib ketika rusuhan di tapak Kuil Sri Maha Mariamman, Subang Jaya pada 27 November tahun lalu rupa-rupanya membuatkan Narresh diganggu banyak pihak termasuk ORANG POLITIK.

Kata sukarelawan Angkatan Pertahanan Awam (APM) itu, ada pemanggil mendakwa mereka AHLI POLITIK dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang tidak berpuas hati dengan keterangannya.

Apa keterangan Narresh di mahkamah pada 18 Februari lalu sehingga menerima pelbagai tohmahan termasuk dari ahli keluarganya selain dipulaukan oleh rakannya?

Pada hari keenam inkues kematian Muhammad Adib itu, Narresh mengakui melihat kesan tapak kasut pada tubuh Adib yang sepanjang perjalanan ke hospital dalam keadaan menahan kesakitan yang amat sangat.

Kru teknikal itu beritahu melihat depat mata sendiri keadaan itu secara dekat ketika dia dan mangsa berada di dalam bucket (bahagian belakang) sebuah Mitsubishi Storm dipandu seorang lelaki yang bersetuju untuk membantu membawa Muhammad Adib ke hospital.

Narresh melihat rusuk kanan Muhammad Adib sudah lebam dan kemerah-merahan. Adib ketika itu sudah tidak memakai baju dan Narresh menggunakan baju-T, baju celoreng dan tali pinggang Adib untuk melapik bahagian kepala mangsa rusuhan kuil itu.

Apa lagi jawapan Narresh ketika menjawab soalan Pegawai Pengendali Hamdan Hamzah sehingga mengakibatkan beliau sekarang bersendirian ke mana-mana pergi kerana tiada siapa mahu mendekati atau membantunya. (Berita Harian, 28 September 2019, hlm. 6):

HAMDAN: Semasa dalam ‘bucket’ ada kamu periksa keadaan dia?

NARRESH: Ya

HAMDAN: Apa kamu lihat?

NARRESH: Mula-mula, dia macam sesak nafas. Mata tertutup. Dia tak boleh bagi tindak balas dan bercakap.

HAMDAN: Apa kamu nampak pada bahagian muka dan badan dia?

NARRESH: Dia berkulit putih. Rusuk kanan dia lebam dan kemerah-merahan. Tangan tak ada apa-apa.

HAMDAN: Apa lagi yang kamu nampak?

NARRESH: Saya sedia untuk lap jika pendarahan di badan dia. Saya tengok dekat rusuk kanan dan ada kesan pasir dan kesan tapak kasut.

HAMDAN: Ada berapa kesan tapak kasut?

NARRESH: Satu saja.

Menjawab soalan Hamdan bagaimana dia pasti bahawa kesan pada rusuk kanan Muhammad Adib adalah kesan tapak kasut, saksi itu berkata, dia pasti kerana mangsa tidak terjatuh ketika diusung oleh sekumpulan lelaki ke Mitsubishi Storm berkenaan.

Selain itu katanya, garisan di bahagian bucket itu juga lebih besar tetapi garisan pada rusuk mangsa adalah kira-kira sejengkal.

Narresh berkata, sepanjang perjalanan ke hospital, dia melihat keadaan mangsa seperti dalam keadaan menahan kesakitan yang amat sangat.

“Saya periksa poket lelaki itu sama ada dompet atau telefon bimbit. Dia ada telefon bimbit dan ia sedang berdering. Kali pertama, saya tak angkat, kali kedua tak angkat... ketiga, baru saya angkat dan jawab.

“Saya beritahu, bang, you punya kawan cedera, sekarang ke SJMC (Subang Jaya Medical Centre). Bang, tolong datang ke SJMC. Kemudian, saya matikan telefon bimbit,” katanya.

HAMDAN: Kemudian?

NARRESH: Saya terus cakap kepada dia walaupun dia tak sedar. Saya cakap pada dia ‘be strong, ada orang tunggu kamu di hospital’. ‘You are going to be fine. You’re going to be in hospital soon’. Kemudian, kami sampai di hospital.

HAMDAN: Sepanjang masa sehingga sampai ke hospital. Ada tak pada bila-bila masa dia bagi tindak balas.

NARRESH: Tak ada apa-apa. Cuma nafas, dia turun naik.

Ketika banyak pihak termasuk ahli politik dilihat cuba menutup jenayah sekumpulan individu yang bertindak ganas terhadap Muhammad Adib yang merupakan seorang anggota bomba bukan mat rempit, Narresh tampil membuktikan kebenaran mengatasi segala-galanya.

Kata Narresh:

"Apa yang lakukan kepada Adib adalah tanggungjawab sebagai rakyat Malaysia dan saya juga adalah sukarelawan Angkatan Pertahanan Awam (APM).

"Saya nak buktikan tindakan saya membantu Adib menunjukkan rakyat Malaysia tidak bersifat perkauman dan wajib membantu insan dalam kesusahan."

Malaysia perlukan lebih ramai Narresh yang budiman lagi berakal budi tinggi.

Semoga pihak polis segera menyiasat serta meneliti dan mengesan jejak bukti bagi kes yang sebelum ini telah pun diklasifikasikan mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan, kerana cubaan bunuh.

Tiada ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.