https://critoxium.com/shop/

Terkini

Janji manis dan pembohongan terbuka parti politik

Oleh Muzaffar Syah Mallow

Pengundi perlu lebih berhati-hati dengan segala janji manis yang dikeluarkan oleh mana-mana ahli politik atau parti politik ketika mereka sedang menjalankan kempen politik mereka dalam menghadapi sebarang proses pilihan raya kerana segala janji dikeluarkan khususnya melalui janji yang dibuat melalui manifesto pilihan raya belum tentu dapat dipenuhi sepenuhnya kerana status manifesto itu sendiri yang tidak diikat dengan kuasa undang-undang.

Kedudukan manifesto pilihan raya yang tidak diikat dengan kuasa undang-undang telah jelas ditentukan oleh pihak mahkamah. Jika kita masih ingat pada 2013, mahkamah rayuan telah memutuskan bahawa manifesto pilihan raya tidak boleh dikuatkuasakan secara sah.

Berikutan keputusan penting itu, pihak mahkamah membatalkan saman sivil difailkan oleh 2,020 ibu tunggal di Selangor berhubung pembayaran elaun RM100 kepada mereka seperti terkandung dalam manifesto pembangkang pada pilihan raya umum 2008. Panel tiga hakim membenarkan rayuan kerajaan Selangor dan Menteri Besar Khalid Ibrahim ketika itu supaya mengetepikan keengganan mahkamah tinggi untuk membatalkan saman tersebut. Dalam kes terbabit, hakim bersetuju dengan hujahan bahawa manifesto itu bukan sebuah dokumen yang terikat di sisi undang-undang. Seseorang yang tidak berpuas hati dengan kegagalan memenuhi janji pilihan raya tidak boleh menuntut untuk menguatkuasakan manifesto tersebut.

Dengan tiadanya kuasa undang-undang yang diikat terhadap manifesto pilihan raya ini, ahli politik atau parti politik akan mudah melemparkan apa saja janji manis ketika kempen pilihan raya tanpa perlu ada rasa tanggungjawab untuk memenuhi segala janji manis yang telah dilemparkan kepada orang ramai khususnya kepada pihak pengundi. Berdasarkan kedudukan manifesto yang tidak diikat dengan kuasa undang-undang ini, maka susah lah untuk pihak pengundi meminta calon yang telah berjaya memenangi proses pilihan raya untuk memenuhi segala janji manis waktu berkempen.
Para pengundi harus berhati-hati ketika menerima segala janji manis yang dibuat sewaktu kempen pilihan raya.

Oleh itu, sudah sampai masanya kita mengambil satu langkah baru bagi memastikan setiap janji manis politik atau janji-janji manifesto yang dibuat ketika pilihan raya dipandang serius oleh mereka yang membuatnya dan dipenuhi tanpa adanya sebarang alasan. Mana-mana ahli atau parti politik yang membuat janji manis khususnya melalui manifesto pilihan raya perlu bertanggungjawab sepenuhnya terhadap semua janji yang telah dibuat oleh mereka dalam manifesto pilihan raya.

Amat menyedihkan sekiranya sebarang janji yang telah dibuat menerusi manifesto tidak dipenuhi dan ditepati oleh mana-mana ahli atau parti politik setelah mereka memenangi proses pilihan raya dan memegang kuasa untuk memerintah.

Tindakan untuk tidak memenuhi atau menepati janji yang telah dibuat dalam manifesto juga menunjukkan dengan jelas sikap tidak hormat mereka terhadap pengundi yang telah memberi kepercayaan dan memberi undi kepada ahli dan parti politik.

Dokumen bertulis

Manifesto adalah sebuah dokumen bertulis yang mengandungi janji yang bakal dipenuhi sekiranya ahli atau parti politik. Manifesto selalunya dibuat setiap kali adanya tibanya musim pilihan raya. Manifesto selalunya dibuat secara ringkas bagi memudahkan setiap rakyat untuk membacanya, memahaminya serta memberi pertimbangan sewajarnya ketika memberi undi mereka kelak.


Manifesto bukan sahaja wujud dalam negara kita, malah turut diguna pakai hampir di semua negara yang mengamalkan prinsip demokrasi. Dengan adanya manifesto, rakyat secara keseluruhannya akan mudah untuk memahami segala rancangan yang bakal dilakukan sekiranya ahli atau parti politik yang membuat manifesto ini sekiranya mereka menang proses pilihan raya.

Selalunya terdapat pelbagai jenis janji yang terdapat dalam manifesto. Kesemua janji ini selalunya dilihat sebagai “janji-janji manis” sewaktu pilihan raya yang digunakan untuk memenangi hati rakyat terutamanya hati para pengundi.

Antara janji manis yang sering dilemparkan adalah yang berkaitan dengan janji untuk mengurangkan kos sara hidup rakyat, janji untuk memberi pelbagai jenis bantuan sosial, janji untuk memberi kemudahan asas seperti bekalan air, elektrik, internet, klinik, hospital, sekolah, pendidikan dan pengangkutan dan macam-macam lagi.

Pengundi selalunya akan memberi undi mereka kepada mana-mana ahli atau parti politik yang menawarkan janji yang baik melalui manisfesto yang ditawarkan kepada mereka. Namun amat malang untuk diketahui, status sesebuah manifesto hanya lah sekadar janji manis yang tidak terikat dengan undang-undang.

Ini bermakna, ahli atau parti politik yang membuat manisfesto ini tidak perlu menunaikan janji yang telah dibuat setelah mereka menang pilihan raya dan mendapat kuasa untuk memerintah negara.

Dengan mengambil kira keadaan semasa kini, kita perlu melakukan proses penambahbaikkan bagi melindungi rakyat kita khususnya para pengundi daripada menjadi mangsa pihak yang tidak bertanggungjawab sewaktu tibanya musim pilihan raya.

Pihak mahkamah diminta melihat semula status undang-undang yang diberikan terhadap manisfesto. Setiap manifesto dibuat oleh mana-mana ahli atau parti politik perlu diikat dengan undang-undang supaya tindakkan undang-undang boleh diambil terhadap ahli atau parti politik yang tidak memenuhi atau melanggagri janji manifesto pilihan raya mereka.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) juga disarankan mengambil langkah yang proaktif dalam mengatasi isu ini. SPR perlu mewujudkan sebuah jawatankuasa khas bagi mengkaji isu manifesto pilihan raya ini untuk diberikan satu kuasa undang-undang terhadapnya.

Pindaan boleh dilakukan melalui sebarang akta sedia ada seperti Akta Kesalahan Piliharaya 1954 bagi menyelesaikan perkara ini demi melindungi hak dan kepentingan pengundi dalam negara kita.

Muzaffar Syah Mallow adalah pensyarah kanan Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)

Tiada ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.