https://critoxium.com/shop/

Terkini

Tutupnya akhbar, berakhirnya gerai di sudut jalan pekan

Oleh Zin Mahmud

Baru-baru ini Media Prima yang menerbitkan akhbar harian Berita Harian, The New Straits Times dan Harian Metro memulakan proses pengurangan pekerjanya. Sebelum itu terdapat laporan bahawa Singapore Press Holding (SPH) yang menerbitkan akhbar harian The Straits Times, Berita Harian dan The New Paper turut mengumumkan pengurangan pekerja.

Beberapa minggu lalu, Kumpulan Utusan menghentikan penerbitan akhbar hariannya, Utusan Malaysia dan Kosmo.

Dengan penutupan akhbar itu, 1,600 pekerja hilang punca pendapatan walaupun 800 mengambil opsyen Skim Pemisahan Sukarela (VSS). Istilah bidang hubungan Sumber Manusia (HR) itu enak didengar tetapi hakikatnya ia tetap adalah pemberhentian kerja.

Tetapi kesan pada penutupan akhbar bukan saja terbeban pada pekerjanya, tetapi ia melimpah kepada pengedarnya. Daripada pengedar tunggal hinggalah kepada penjual akhbar di gerai di penjuru jalan.
Satu tajuk akhbar saja mati, maka pendapatan pun berkurangan bagi pengedar dan penjual. Apatah lagi kalau dua tajuk akhbar sudah berkubur. Tetapi sebelum sesebuah akhbar itu meninggal dunia, kemerosotan itu dirasakan hari demi hari. Aliran kemerosotan ini dirasakan sejak 30 tahun lalu. Pada masa-masa lalu, berlaku juga penutupan akhbar. Tetapi ia digantikan dengan akhbar baru.

Umpamanya pada tahun 80-an, ada akhbar Utusan Melayu tulisan jawi dan Watan, serta akhbar wilayah, Bintang Timur dan Warta Teberau. Begitu juga akhbar Harian Kota dan Harian Nasional. Akhbar Inggeris, Straits Echo dan Business Times.

Akhbar-akhbar itu sudah tiada tetapi kemudian muncul akhbar harian baru seperti Harian Metro, Kosmo dan Sinar. Dalam bahasa Inggeris, muncul The Sun dan Daily Edge.

Tetapi kali ini, kematian akhbar adalah meluas dan ia tidak akan dapat digantikan. Akhbar Malay Mail tutup selamanya walaupun ia hadir dalam bentuk atas talian. Terdapat rancangan untuk menerbitkan semula Utusan Malaysia dan Kosmo. Tetapi edarannya tidak akan dapat kembali seperti dahulu.

Belum dikira akhbar mingguan yang kehilangannya menjejaskan pendapatan pengedar dan penjual. Begitu juga dengan majalah-majalah. Sebelum Utusan Malaysia dan Kosmo tutup, syarikat induknya menghentikan banyak tajuk-tajuk malah bulanannya termasuk Mastika yang masih laris.

Semua ini menjejaskan pendapatan gerai akhbar dan majalah seperti yang terdapat di sudut-sudut jalan di pekan-pekan di seluruh negara. Bagi pengedar yang tidak dapat menampung kos bagi mengedarkan penerbitan itu, mereka terpaksa menghentikan perniagaan. Bukan kerana rugi, tetapi pendapatannya sudah begitu berkurangan hinggakan tidak berbaloi untuk mengedarnya.


Apabila pengedar dan penjual menutup perniagaan mereka, maka bertambah kurang lagi tempat-tempat jualan bagi akhbar sedia ada. Maka semakin berkuranganlah pengedaran yang boleh dilakukan oleh akhbar yang jualannya pun sudah begitu sedikit.

Bagi gerai akhbar di sudut jalan, mereka boleh terus hidup dengan menjual barangan lain. Tetapi di banyak tempat terutama di Lembah Klang, harga sewa semakin meningkat hingga terlalu tinggi untuk dijangkau oleh penjual kecil. Dengan ruang niaga awam semakin terhad dan peraturan pihak berkuasa tempatan, lagi sukar akhbar dapat dijual.

Malah francais kedai serbaguna yang asalnya wujud untuk menjual akhbar dan majalah meraih pendapatan dengan barang-barang makanan dan runcit dan melupakan bahan penerbitan.

Maka setiap penutupan satu akhar pasti memberikan tekanan terhadap akhbar lain dan akhirnya akan menamatkan keseluruhan industri persuratkhabaran.

Usaha mencipta model perniagaan baru mungkin diusahakan. Ada dua model yang dikemukakan. Pertama, model 60/40 iaitu jabatan pengarang termasuk artis grafik dihadkan pada 60 orang untuk menghasilkan akhbar 40 halaman. Kedua, model akhbar percuma seperti yang dibuat oleh akhbar The Sun dan akhbar wilayah seperti Selangorkini dan Wilayahku.

Kemungkinannya, model 60/40 itu akan digunakan oleh pemilik baru judul Utusan Malaysia. Tetapi kesimpulannya, industri persuratkhabaran sudah berakhir bukan saja bagi Malaysia tetapi seluruh dunia. Apa yang ada ialah kehidupan akhbar di akhir usia mereka, termasuk di negara yang masih mempunyai industri persuratkhabaran yang kuat seperti China, India, Indonesia, Jepun, Jerman dan Sepanyol.

Ia adalah seperti industri panggung bangsawan ketika munculnya layar perak. Walaupun ia dapat bertahan beberapa tahun kemudiannya, tetapi akhirnya ia melabuhkan tirai. Apabila tamat industri panggung bangsawan, maka hilanglah tradisi lakonan bangsawan dan pemain muzik yang tiada gantinya. Suatu cabang kesenian hilang dan digantikan dengan industri filem. Namun begitu, tentunya mutu lakonan filem tidak boleh menandingi bangsawan. Walaupun ada pelakon bangsawan melalui transormasi menjadi seniman dan seniwati layar perak.

Berakhirnya industri persuratkhabaran melibatkan pelbagai profesion, dan bukan saja kewartawanan. Tradisi kewartawanan di media maya tidak akan serupa dengan apa yang dibina oleh dunia persuratkhabaran selama ratusan tahun.

Sememangnya ada akhbar yang akan terus menerbitkan versi atas taliannya. Umpamanya Malay Mail. Walaupun tiada versi cetak, ia terus ditampilkan sebagai versi atas talian. Bagi pembaca Malay Mail asal, pengalaman membaca atas talian tidak sama dengan akhbar cetakan.

Selain kewartawanan, berakhirnya akhbar juga membawa kepada pengecilan industri cetak dan segala bekalan yang berkaitan dengannya seperti kertas dan dakwat. Dalam hal ini, ia juga menamatkan pengangkutan yang berkaitan akhbar dan juga pengedar serta penjual yang selama ini hidup atas industri akhbar. Tanpa VSS mahupun pampasan, mereka terpaksa berhenti menjual akhbar dengan begitu saja.

Jadi ke manakah wang yang dijana oleh akhbar selama ini? Akhbar hidup atas pembelian naskhah oleh pembaca dan bayaran pengiklan. Pembaca akhbar hanya berhenti membeli akhbar dan memperoleh berita dan bahan bacaan melalui gajet mereka khususnya telefon pintar mereka.

Mereka memperoleh berita dan bahan bacaan ini secara percuma. Sementara kerana tatapan mereka, pengiklan pun beralih ke media maya seperti Facebook, YouTube dan lain-lain. Maka dana pengiklan itu mengalir ke syarikat besar di luar negara. Ia tidak sampai pada penulis dalam alam maya. Kalau adapun ia hanyalah sedikit berbanding dengan akhbar ketika tiada saingan alam maya itu.

Lebih-lebih lagi penjual di gerai akhbar dan majalah di sudut jalan. Mereka tidak akan dapat lagi merasa wang dari pembaca bahan tulisan yang selama ini diperoleh dengan jualan akhbar. Internet menjadikan pengedar dan penjual akhbar itu tidak diperlukan. Wang yang selama ini sampai kepada mereka beralih kepada syarikat pengeluar gajet, telekoumikasi dan pemilik aplikasi media sosial.

Kewartawanan negara yang selama ini dibiayai oleh pembaca dan pembeli akhbar serta pengiklanan sudah kehilangan dana untuk mereka beroperasi. Sebaliknya wang dari pengguna Internet mengalir kepada pembuat gajet, syarikat telekomunikasi dan pemilik aplikasi media sosial yang terletak di Amerika Syarikat.

Bagi negara berpendudukan mega seperti China, India dan Indonesia, mereka boleh mewujudkan pasaran yang besar dalam negara mereka sendiri. Tetapi Malaysia adalah negara kecil berbanding mereka. Untuk ikut serta pasaran negara mega itu, Malaysia menjadi kecil dan tersudut, seperti penjual akhbar yang berada di sudut jalan pekan kecil seluruh negara.

Tiada ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.