Anwar perlu diberi sokongan sebagai Perdana Menteri yang sah - Kulasegaran
KUALA LUMPUR: Datuk Seri Anwar Ibrahim perlu diberi sokongan untuk memegang jawatan sebagai Perdana Menteri yang sah, kata Ahli Parlimen Ipoh Barat, M Kulasegaran.
Menurut
Naib Pengerusi Kebangsaan DAP itu, Anwar yang juga Ketua Pembangkang
telah banyak berjuang untuk rakyat dan wajar diberikan peluang untuk
membaiki kerosakan akibat pemerintahan tidak cekap kerajaan Perikatan
Nasional (PN).
"Semalam,
tawaran (Tan Sri) Muhyiddin adalah usaha terakhir untuk menyelamatkan
kedudukannya (sebagai Perdana Menteri) setelah semuanya gagal. Itu
adalah pengakuan yang beliau telah hilang kepercayaan sebagai Perdana
Menteri.
"Perlembagaan Persekutuan mengatakan bahawa beliau perlu meletak jawatan," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Perdana
Menteri ketika menyampaikan ucapan khas pada Jumaat memberikan tujuh
tawaran kepada pemimpin parti pembangkang untuk mendapatkan persetujuan
bipartisan.
Antara tawaran tersebut ialah
membentangkan RUU Anti Lompat Parti di Dewan Rakyat, peruntukan sama
rata kepada semua ahli parlimen tanpa mengira parti dan pelaksanaan Undi
18 tanpa perlu menunggu pendaftaran automatik.
Bagaimanapun,
Majlis Pakatan Harapan (PH) menolak tawaran Muhyiddin, menyifatkan
tawaran itu sepatutnya dibuat lebih awal dan bukannya di penghujung
hayat politik beliau.
Mengulas lanjut,
Kula berkata tawaran tersebut termasuk kedudukan ketua pemimpin
pembangkang setara menteri kanan telah dicadangkan oleh pihak
pembangkang sebelum ini.
Namun dakwa Kula, tawaran itu telah 'dipinggirkan'.
"Tiada lagi masa. Kerajaan PN telah dianggap tidak lagi kompeten dan tidak boleh memerintah.
"Perubahan perlu dilakukan sekarang jika kita mahu negara ini kembali kepada landasannya semula," ujarnya lagi.
Pada
Jumaat, Muhyiddin menjelaskan, negara memerlukan sokongan, usaha dan
tumpuan semua pihak yang untuk memulih dan mengembalikan negara kepada
landasan pembangunan dan pertumbuhan yang sihat.
Katanya,
apabila kestabilan politik tidak dapat dicapai, segala usaha untuk
memulihkan krisis kesihatan dan ekonomi juga sukar dicapai.




Tiada ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.