https://critoxium.com/shop/

Terkini

Kekal harga siling ayam, subsidi minyak masak botol, gesa PH

 


PETALING JAYA: Pakatan Harapan (PH) menggesa Putrajaya mengekalkan harga siling ayam dan telur serta subsidi minyak masak botol kerana pemansuhannya disifatkan sebagai langkah “separuh masak dan tergesa-gesa”.

Jawatankuasa Kos Sara Hidup PH menggesa kerajaan mengkaji semula pemansuhan harga siling dan subsidi yang berkuat kuasa 1 Julai ini kerana ia akan menyebabkan kadar inflasi meningkat serta membebankan rakyat.

Ia turut menggesa subsidi tambahan diberikan kepada penternak dan peniaga ayam mengikut situasi bagi memastikan bekalan produk itu tidak terganggu.

Jawatankuasa itu dalam kenyataan berkata, harga tong gas memasak dan petrol RON95 juga perlu dikekalkan dan bersetuju dengan langkah kerajaan tidak menaikkan tarif air serta elektrik.

Ia juga menggesa Majlis Presiden PH dan rakyat bersama-sama melancarkan protes besar-besaran di seluruh negara atas kegagalan kerajaan membendung kenaikan kos sara hidup.

Kerajaan akan menghentikan subsidi minyak masak botol (2kg, 3kg dan 5kg) mulai 1 Julai ini tetapi minyak masak peket 1kg akan terus diberikan subsidi.

Harga siling baharu ayam pula akan diumumkan tidak lama lagi, walaupun tiada lagi harga siling untuk telur mulai Jumaat ini.

Perdana Menteri, Ismail Sabri Yaakob mengumumkan kenaikan kadar Bantuan Keluarga Malaysia (BKM) susulan peningkatan kos barangan.

PH mencadangkan agar Putrajaya menggunakan hasil daripada “cukai makmur” untuk membantu rakyat dan menangguhkan projek mega seperti Transit Aliran Massa 3 (MRT3), Laluan Kereta Api Pantai Timur (ECRL) serta Tun Razak Exchange (TRX).

“Kami turut mencadangkan elaun ketua pegawai eksekutif dan ahli lembaga syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) dikaji semula,” katanya.

Jawatankuasa itu turut menyarankan agar Ismail mengurangkan anggota Jemaah Menterinya dan memotong elaun menteri serta menamatkan jawatan duta khas ke luar negara seperti Timur Tengah, China, Asia Timur dan Asia Selatan

Tiada ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.