Gerak solo UMNO salah langkah – Pas
PASIR PUTEH: Tindakan UMNO yang berkeras untuk bergerak secara solo dilihat boleh menyebabkan parti itu ‘terkorban’ dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Setiausaha Dewan Ulama Pas, Datuk Dr. Nik Muhammad Zawawi Nik Salleh berkata, UMNO perlu berfikir secara matang dengan meletakkan penyatuan ummah sebagai asas utama bagi memastikan kestabilan politik negara terus kukuh pada masa hadapan berbanding agenda peribadi.
Menurutnya, Islam mengajar perlunya kesatuan, bersatu dan bersikap toleransi untuk mengelakkan perpecahan terus berlaku dalam kalangan masyarakat.
“Apabila bertanding dalam pilihan raya pastikan tidak bertembung sesama sendiri (parti Melayu). Jangan pecahkan sokongan rakyat.
“Oleh yang demikian Pas, UMNO dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) perlu bergerak seiring dan bertanding secara solo bukan pilihan yang tepat,” katanya.
Nik Muhammad Zawawi memberitahu, masih ada ruang untuk merapatkan semula hubungan yang retak dan salah faham antara parti menerusi penyatuan ummah.
Katanya, Pas boleh sahaja membuat kenyataan untuk bertanding solo di Kelantan namun itu bukan pilihan terbaik.
“Selama ini pun Pas sudah sedemikan (berseorangan) namun masih mendapat sokongan padu rakyat.
“Pas masih membuka pintu untuk berganding bahu dengan parti-parti Melayu pada PRU15 demi keharmonian negara,” ujarnya. – UTUSAN
Tiada ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.