https://critoxium.com/shop/

Terkini

Abdul Hadi tidak bertanding di Parlimen Marang?


Pengundi di kawasan Parlimen Marang masih tertanya-tanya mengenai kedudukan Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang (gambar) sama ada kekal bertanding atau berundur diri bagi memberi laluan kepada calon baharu pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Faktor kesihatan Abdul Hadi, 75, menyebabkan terdapat pihak yang tidak menolak kemungkinan pemimpin Pas itu tidak bertanding lagi dalam PRU15.

Mereka berpendapat, sudah tiba masanya Abdul Hadi yang lebih mesra dengan panggilan Ayah Chik mengundur diri dan berehat.

SUKAR DICABAR

Walaupun pemimpin ter­tinggi Pas itu tidak bertanding, namun kawasan Parlimen itu tetap sukar dicabar dan dirampas semula oleh UMNO.

Tindakan segelintir penyokong Pas di Marang yang keluar daripada parti Islam itu dan menyertai Parti Amanah Negara (Amanah) sebelum ini juga tidak meninggalkan ‘kudis’ kepada Pas.

Ini kerana Parlimen Marang yang sinonim dengan Abdul Hadi Awang merupakan kubu kuat Pas di Terengganu sejak tahun 80-an.

 Pada masa sama, penyokong-penyokong Pas pula masih mengharapkan Abdul Hadi yang merupakan seorang ulama kekal bertanding di Parlimen itu untuk membangkitkan semangat ahli-ahli Pas di negeri ini, malah di seluruh negara dalam menghadapi PRU15.

Setakat ini, Abdul Hadi yang merupakan anak jati Kampung Rusila di sini masih belum me­ngumumkan secara rasmi sama ada masih mahu bertanding atau melepaskan Parlimen Marang.

Pada PRU14, Abdul Hadi memenangi Parlimen Marang menewaskan calon Barisan Nasional (BN), Mohamad Nor Endot dengan majoriti sebanyak 21,954 undi.

Sementara itu, beberapa nama yang disebut-sebut bakal bertanding di Parlimen Marang sekiranya Abdul Hadi yang juga Timbalan Pengerusi Perikatan Nasional (PN) tidak bertanding di Parlimen tersebut.

Antara nama tersebut ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Buruk, Muhammad Khalil Hadi yang juga me­rupakan anak Abdul Hadi.

Muhammad Khalil yang merupakan Ketua Pemuda Pas Terengganu sebenarnya tidak asing dalam kalangan penduduk di Marang kerana beliau juga sering menggantikan Abdul Hadi menyampaikan kuliah mingguan di Masjid Rusila.

Pengundi Marang dikatakan sedia menyokong Muhammad Khalil sekiranya Abdul Hadi memberi kepercayaan kepada legasinya bertanding di Parlimen Marang pada PRU15. – UTUSAN

Tiada ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.