https://critoxium.com/shop/

Terkini

Najib ditempatkan sementara di Penjara Kajang


PETALING JAYA: Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dijangka ditempatkan sementara di Penjara Kajang sebelum dipindahkan ke Penjara Sungai Buloh dekat sini bagi menjalani hukumannya.

Satu sumber mendedahkan kepada Utusan Malaysia, Najib ditempatkan sementara di Penjara Kajang terlebih dahulu bagi urusan pendaftaran dan pentadbiran sehingga selesai.

Kata sumber itu, tempoh masa Najib akan berada di Penjara Kajang adalah bergantung kepada keadaan semasa.

“Difahamkan, beliau (Najib) ditempatkan di Penjara Kajang sementara waktu bagi ujian saringan kesihatan dan prosedur-prosedur lain,” kata sumber itu secara ringkas di sini hari ini.

Dalam pada itu, kata sumber lagi, Najib dijangka dibawa ke Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur esok bagi tujuan sambung bicara membabitkan kes 1Malaysia Development Bhd. (1MDB) di hadapan Hakim Datuk Collin Lawrence Suquerah.

Sementara satu sumber lain memberitahu, layanan serta kemudahan bagi bekas Perdana Menteri itu adalah sama selaras dengan ketetapan akta, peraturan dan prosedur Jabatan Penjara Malaysia.

Kata sumber itu, tiada layanan istimewa diberikan dan beliau perlu melalui proses berkenaan secara saksama seperti diperuntukkan dalam undang-undang dan peraturan penjara

“Tindakan dan proses yang diambil oleh Jabatan Penjara adalah berasaskan ketetapan akta, peraturan dan prosedur penjara yang diguna pakai untuk menguruskan semua banduan,” jelas sumber itu.

Diminta menjelaskan mengenai prosedur berkenaan, sumber memberitahu, mahkamah akan mengeluarkan waran di mana tertuduh akan menjalani hukuman mereka.

“Penjara yang diwarankan perlu menerima mereka yang dinamakan di dalam waran itu menjalani hukuman tertakluk kepada keputusan yang dikeluarkan Mahkamah.

“Selepas itu, Jabatan Penjara akan membuat penilaian, sekiranya perlu Ketua Pengarah Penjara mempunyai kuasa untuk memindahkan mana-mana banduan ke penjara yang bersesuaian dengan keadaan banduan,” ujarnya.

Dalam pada itu, sumber berkata, penjara boleh mempertimbangkan pengasingan sel bagi mana-mana banduan yang dikategorikan sebagai berprofil tinggi.

“Pertimbangan ini dibuat berdasarkan keselamatan penjara dan banduan itu sendiri,” katanya.

Sementara itu, Jabatan Penjara dalam satu hantaran di dalam laman rasmi Facebook mereka memaklumkan supaya orang ramai menghentikan penyebaran maklumat palsu berkenaan penjara bagi orang kenamaan.

Perkara itu susulan penyebaran gambar yang tular di laman sosial mengenai sebuah bilik didakwa penjara orang kenamaan yang dilengkapi perabot-perabot.

Terdahulu, panel lima hakim yang diketuai Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat sebulat suara mengekalkan sabitan salah yang dikenakan terhadap bekas Perdana Menteri itu.

Mahkamah turut mengekalkan sabitan dan hukuman penjara 12 tahun serta denda RM210 juta yang dikenakan terhadap Najib sebelum ini.

Dengan keputusan itu, di akhir prosiding berkenaan, Najib akan mula menjalani hukuman penjaranya berkuat kuasa semalam. –UTUSAN

Tiada ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.