https://critoxium.com/shop/

Terkini

Berkawan usah bermusim, berpakat usah terdesak

 


MENJALIN persahabatan, mengeratkan kerjasama sesama insan, itu tandanya bersifat mulia. Tidak mudah bagi sesiapa menafikan hakikat ini. Banyak natijah kebaikan diperoleh daripadanya. Kesepakatan menghasilkan kekuatan. Kedaulatan bangsa dan agama akan terpelihara, kekal utuh meniti zaman, gagah melangkah mendepani cabaran dengan wujudnya kesepakatan.

Persahabatan dianggap sempurna dan bermakna jika asasnya berpaksikan keikhlasan dan kejujuran. Sahabat sejati sering diibarat berjalan seiring sederak melangkah, segerak ayunan tangan. Susah senang diharungi bersama. Manis sama dirasa, pahit sama ditelan.

Sebaliknya, berkawan yang sekadar memilih musim dan sepakat hanya apabila berhadapan keadaan terdesak tidak memungkinkan lahirnya kesan kebaikan. Menggambarkan suatu nilai kepalsuan dan mengkhianati amanah kesetiakawanan. Islam membayangkan situasi begini jauh daripada mendapat keberkatan.

Diperkatakan isu mengenai aspek berkawan dan bersepakat ini ekoran wujudnya suasana tolak-menolak dalam hubungan politik di antara parti-parti tertentu. Gelodak polemik penyatuan kerjasama ini semakin berbangkit lebih-lebih lagi menjelang Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) yang dikatakan akan diadakan tidak lama lagi. Konteks yang boleh dikaitkan secara langsung dalam hubungan ini ialah kerjasama di antara dua parti mewakili orang Melayu terbesar, iaitu UMNO dan Pas.

Tidak ada paksaan dalam berkawan atau memilih teman. Teman sejati tercetus daripada pilihan hati. Tidak adil pula untuk menyekat seseorang atau mana-mana kelompok politik yang terpaksa memutuskan hubungan persahabatan dan persepakatan dengan pihak lain jika mereka mempunyai sebab tersendiri yang logik serta beralasan kukuh.

Bagaimana boleh disekat seseorang atau mana-mana kelompok parti daripada berpisah gabungan kerjasama dengan pihak lain jika mereka pernah mengalami situasi tertipu, terpedaya atau sengaja dipermainkan? Adakala terdapat kawan bersifat pantang mendapat tempat, peluang atau kesenangan, mula melupakan kawan. Tidak cukup itu, suka pula memburuk-burukkan kawan.

Lalu timbullah beberapa istilah negatif terhadap sikap mereka yang tidak jujur sebegini seperti kawan makan kawan, musang berbulu ayam, baik di depan, belakang menikam dan lain-lain.

Keadaan lebih tidak menyenangkan apabila ada parti yang bergabung kesepakatan bersifat seperti lalang, berlagak tidak jujur dengan mengambil pendekatan bercakap baik di khalayak umum tetapi mengutuk meremeh kawan apabila berhadapan kelompok-kelompok penyokong tegar.

Ada juga parti suka melompat ke sana ke mari, mencari kepentingan, bergabung dengan mana-mana parti lain yang dirasakan boleh menumpang keuntungan segera dan mencari sokongan selesa. Ada mengibaratkannya sebagai suka mandi di banyak kolam.

Sepatutnya kalau benar-benar bersikap setia kawan, tentulah sama-sama berpegang pada pendirian, ke bukit sama didaki, ke lurah sama dituruni.

Malah, ada parti-parti tertentu sukar menyembunyikan kenyataan sejarah perjalanan politik mereka yang tidak pernah kekal berpadu erat dengan sesiapa.

Hubungan atau penggabungan mereka tidak bertahan lama. Paling lama pun tidak sampai 10 tahun. Puncanya, tiada kejujuran. Berkawan sekadar melunaskan kepentingan diri dan puak.

Apabila terasa senang dan berkuasa, mula mahu memijak kawan.

Semua pihak harus sedar bahawa kadar kemampuan dan kekuatan masing-masing adalah terhad dan terbatas. Apatah lagi pihak yang ternyata lebih kecil saiz kelompoknya. Jangan hanya tahu bercakap mengenai gabungan persepakatan apabila keadaan terdesak semata-mata untuk survival politik menjelang pilihan raya.

Rakyat diharap tidak mudah terpesona dengan seruan penyatuan oleh mana-mana individu pemimpin tertentu. Dibimbangi di sebalik kata manis individu berkenaan, terselit niat untuk mencari tapak bagi melonjakkan diri di persada politik.

Isu antara galakan berpakat dan bersatu padu berbeza dengan keperluan memutus hubungan atas sebab-sebab munasabah. Tegasnya, bersepadu, berkawan, bersepakat memang sesuatu yang baik dan digalakkan. Namun, untuk lebih adil, masyarakat tidak boleh melihat secara prejudis terhadap sesiapa atau mana-mana parti yang berpendirian terpaksa berpisah cantuman kerjasama jika mereka sememangnya memiliki sebab dan alasan kukuh.

Kenyataan bersedia untuk bersatu demi kepentingan rakyat memang lunak didengar. Lebih menarik jika dikaitkan pula dengan elemen penyatuan ummah. Dan, tentunya cemuhan mudah dilemparkan kepada pihak yang menolaknya.

Ada orang berpandangan, lebih baik musuh yang mengaku dia membenci kita daripada kawan yang mengaku sayang tetapi akhirnya menikam dari belakang.

DATUK Sayuti Mukhtar ialah penganalisis sosiopolitik tanah air

Tiada ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.