https://critoxium.com/shop/

Terkini

Malaysia sudah cukup 222 kerusi Parlimen


 PETALING JAYA: Malaysia tidak perlu pertambahan kerusi Parlimen sebaliknya, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) perlu membuat persempadanan semula di kawasan-kawasan yang mempunyai lebihan pengundi bagi mewujudkan kesamarataan pengundi.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, bekas Timbalan Pengerusi SPR, Datuk Seri Wan Ahmad Wan Omar berkata, persempadanan semula perlu dibuat mengikut kategori yang sama iaitu melibatkan kawasan bandar, separuh bandar dan luar bandar atau pedalaman.

Beliau berkata, pertambahan kawasan Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) hanya akan mengakibatkan peningkatan peruntukan yang besar kepada negara kerana setiap kerusi memerlukan bajet tertentu untuk diuruskan dari bawah.

“Ketika ini terdapat 222 kerusi Parlimen di Malaysia dan jumlah itu sudah memadai. Sebenarnya, wakil rakyat sekarang terbeban kerana sesetengah kawasan itu mempunyai lebihan pengundi sekali gus menunjukkan ketidaksamarataan antara kawasan.

“Jadi, pendapat saya adalah perlu kajian persempadanan semula. Persempadanan semula ini perlu dibuat berdasarkan kategori yang sama, contohnya kawasan bandar dengan bandar seperti di Kuala Lumpur yang punyai pemilih yang ramai.

“Apabila pengundi ramai, beban wakil rakyat bertambah. Untuk kawasan luar bandar misalnya kita kena tengok jumlah pemilih dan bukannya luas kawasan. Kita mahu wujudkan keseimbangan pengundi,” katanya ketika dihubungi semalam.

Malaysia dijangka mempunyai 244 kerusi di Dewan Rakyat pada Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16) jika kerajaan meluluskan peruntukan 35 peratus kerusi Parlimen yang dituntut oleh Sabah dan Sarawak seperti yang termaktub dalam Perjanjian Malaysia (MA63).

Jumaat lalu, Mesyuarat Majlis Khas Perjanjian Malaysia 1963 dilaporkan memperakui langkah mendapatkan semula 35 peratus daripada 222 kerusi Parlimen untuk Sabah dan Sarawak sekali gus menyaksikan kedua-dua negeri bakal memiliki 78 kerusi Parlimen.

Mengulas lanjut, Wan Ahmad berkata, pertambahan kerusi Parlimen juga tidak wajar berdasarkan penilaiannya terhadap prestasi pemimpin parti politik ketika ini yang dilihat tidak banyak menyumbang.

“Bajet untuk bayar wakil rakyat juga bertambah, selain peruntukan pembangunan yang besar. Jadi ia jelas merugikan negara selain pemimpin baharu juga tidak menyumbang. Saya melihat prestasi mereka (pemimpin) tidak bertambah, sama sahaja.

“Ada yang tidak menjalankan tugas seperti diharapkan namun, ada juga yang bagus tunjuk prestasi baik dan cemerlang. Apa yang perlu diakui ialah ada wakil rakyat berada pada tahap prestasi yang tidak membanggakan,” katanya. – UTUSAN

Tiada ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.