K'jaan terus didesak jelaskan rasional tarik balik rayuan kalimah Allah
Kerajaan digesa menjelaskan keputusan menarik balik rayuan terhadap keputusan penting yang membenarkan Jill Ireland - individu bukan Islam dari Sarawak - menggunakan kalimah "Allah".
Ahli Parlimen Pasir Gudang Hassan Abdul Karim berkata penjelasan daripada menteri dalam negeri dan perdana menteri sangat penting dalam meredakan kegelisahan masyarakat Islam sekarang.
"Mengapa kes itu tidak dibenarkan diputuskan oleh Mahkamah Rayuan?" soal ahli parlimen PKR itu dalam kenyataan hari ini.
Hassan merujuk keputusan Putrajaya tidak meneruskan kes itu difailkan di Mahkamah Rayuan pada 18 April lepas.
Tindakan itu mendapat tindak balas negatif daripada pelbagai kumpulan dan tokoh tempatan.
Gabungan Pertubuhan Masyarakat Sivil Malaysia bagi Proses Semakan Berkala Sejagat (Macsa) misalnya menyifatkan ia sebagai "kejutan dan kekecewaan yang besar".
Pada 10 Mac 2021, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membenarkan semakan kehakiman oleh Ireland - seorang Kristian Melanau - yang memohon pengisytiharan bahawa dia mempunyai hak menggunakan perkataan “Allah” untuk tujuan agama dan pendidikan.
Kerajaan kemudian mengemukakan permohonan rayuan terhadap keputusan mahkamah tinggi berkenaan.
Sementara itu Hassan turut mempersoalkan apakah rasional untuk Putrajaya menarik balik rayuan berkenaan.
"Adakah keputusan menarik balik rayuan tersebut dibuat secara yang betul, berniat baik, tidak menyalahi undang-undang pentadbiran?
"Tidakkah peruntukan undang-undang Perlembagaan Persekutuan berkenaan kedudukan Islam terletak dalam bidang kuasa Majlis Raja-Raja Melayu?" katanya.
Dalam perkembangan berkaitan Pemuda Umno Johor turut melahirkan kebimbangan sama.
Ketuanya Noor Azleen Ambros berkata Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Jabatan Peguam Negara masih belum menjelaskan asas-asas serta justifikasi di sebalik keputusan menarik balik rayuan tersebut.
"Sewajarnya, proses serta prosedur rayuan wajar diteruskan berlangsung bagi memastikan segala khilaf dan kekurangan yang mungkin telah dibuat oleh mahkamah tinggi dalam penghakimannya sebelum ini dapat diperbetulkan di Mahkamah Rayuan.
"Ini bagi memastikan keadilan mengenai isu ini betul-betul diperolehi.
"Tindakan menarik balik rayuan yang telah difailkan adalah satu duluan buruk (bad precedence). Lebih-lebih lagi ianya melibatkan kes dan isu sensitif yang melibatkan martabat, kedudukan dan kesucian Islam," katanya dalam kenyataan berasingan.
Dakwanya peluang untuk semua pihak mendapatkan keadilan dalam isu tersebut sudah tertutup apabila rayuan ditarik balik oleh pihak kerajaan.
"Siapakah akan bertanggungjawab sekiranya isu ini masih meleret dan dijadikan asas oleh puak-puak ekstremis.
"Kerajaan perlu ada akauntabiliti terhadap apa jua tindakan susulan daripada keputusan terbaru ini.
"Untuk itu, adalah wajar pihak KDN dan Peguam Negara menjelaskan kepada semua secara tuntas akan keputusan yang telah pihak kerajaan buat mengenai perkara ini pada kadar yang segera," ujarnya.
Tiada ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.