Tarik Rayuan Kalimah Allah Akan Jejaskan Sokongan Pengundi Melayu Kepada PH/BN Dalam Enam PRN
Semua kita tahu PN adalah blok pembangkang yang sentiasa menggunakan sentimen kaum dan agama dalam perjuangan dan untuk mereka meraih undi ketika pilihan raya.
Bersatu dan Pas. dua parti yang kini mampu mendominasi sokongan pengundi Melayu dan Islam dalam gabungan itu sehingga PN berjaya memenangi sejumlah 74 kerusi Perlimen pada PRU15 lalu.
Dengan jumlah kemenangan itu, Pas dan Bersatu dengan sendirinya telah berjaya meninggalkan UMNO, sebuah parti Melayu yang selama ini gagah melekat di hati orang-orang Melayu.
Selepas PH dan BN menjalin kerjasama untuk membentuk kerajaan perpaduan dah walaupun perkara ini adalah baik untuk masa depan Malaysia, mainan sentimen kaum dan agama tidak mungkin dapat dihapuskan dalam waktu terdekat ini.
Selagi ada parti Melayu dan Islam di negara ini dan selagi ada isu-isu berkaitan Melayu dan Islam yang tidak selesai dan terus berbangkit, selama itulah isu Melayu dan Islam akan terus menjadi bahan jajaan untuk meraih undi.
Sebagai kerajaan, PH dan BN semestinya sedar akan hal ini dan sepatutnya mereka lebih dulu berperanan mengekang timbulnya isu-isu berkaitan Melayu dan Islam yang boleh dimain dan dipanaskan dalam masyarakat.
Tetapi tindakan terbaru kerajaan di mana mereka sendiri menarik balik rayuan terhadap keputusan mahkamah yang membenarkan seorang wanita Kristian Sarawak, Jill Ireland menggunakan kalimah Allah, ibarat memberi peluru dan modal percuma kepada PN dalam mendepani PRN akan datang dan untuk terus mengasak Perdana Menteri, Anwar Ibrahim.
Notis tidak meneruskan kes itu difailkan di Mahkamah Rayuan pada 18 April lepas.
Pada 10 Mac 2021, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membenarkan semakan kehakiman Ireland yang mahu mendapatkan pengisytiharan bahawa dia mempunyai hak menggunakan kalimah Allah untuk tujuan agama dan pendidikan.
Mahkamah Tinggi juga memutuskan bahawa arahan Kementerian Dalam Negeri (KDN) pada 1986 yang melarang orang bukan Islam menggunakan kalimah “Allah”, “Baitullah”, “Kaabah” dan “solat” sebagai menyalahi undang-undang dan bertentangan dengan perlembagaan.
KDN dan kerajaan kemudiannya memfailkan rayuan di Mahkamah Rayuan pada 15 Mac tahun yang sama.
Soalnya, kenapa kerajaan tiba-tiba menarik balik dan tidak mahu meneruskan rayuannya?
Selain pelbagai NGO dan persatuan berkaitan Islam telah tampil menuntut kerajaan agar memberi penjelasan penuh atas tindakan tersebut, bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Dr Zulkifli Mohamad turut bersuara menuntut hal yang sama.
Beliau berkata, rayuan yang dibuat ketika dia menjadi menteri berkaitan agama pada 2021 adalah bagi menjunjung titah Sultan Johor, Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar dan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah yang menitahkan tindakan demikian.
“Keputusan untuk rayuan semula kes pada tahun 2021 adalah bagi menjunjung titah Sultan Johor dan Sultan Selangor yang menitahkan kerajaan persekutuan pada ketika itu membuat rayuan semula bagi keputusan mahkamah tinggi.
“Tidak sedikit jerih payah yang dikerah oleh para mufti serta jawatankuasa muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia (MKI) untuk berbincang, pertemuan demi pertemuan dengan NGO dan penyusunan kertas penghujahan yang melibatkan ramai pakar dan tokoh akademik,” katanya dalam catatan Facebook.
Seterusnya, Dr Zulkifli berharap kerajaan madani melalui KDN ada jawapannya dalam perkara ini.
Isu ini sebenarnya bukan saja sensitif kepada orang Melayu dan Islam di negara ini, malah amat mudah mengamit kekecewaan dan kekesalan jika salah diurus atau ditangani oleh kerajaan.
Menarik balik rayuan bermakna kalimah Allah bebas digunakan oleh sesiapa saja – Islam dan bukan Islam – dan ini tentu saja suatu ancaman kepada kepentingan Islam di negara ini.
Kenapa tidak dibiarkan saja proses rayuan berjalan dan menyerahkan kepada mahkamah membuat penentuan berbanding kerajaan sendiri mengambil tindakan yang seolah-olah tidak pro kepada kepentingan Melayu dan Islam?
Mahu tidak mahu, jika kerajaan gagal memberi penjelasan meyakinkan atau menangani isu ini dengan memuaskan, selain lebih ramai dipercayai akan tampil menghentam dan meluahkan kekecewaan, bahkan makin berduyun-duyun menjauhkan sokongan terhadap kerajaan.
Di waktu yang sama, kalau isu ini berterusan sehingga kempen PRN di enam negeri akan datang, PN pasti akan mendapat kelebihan di hati pengundi-pengundi Melayu sendiri.
Ia bukan saja akan menyebabkan PN lebih mudah mengekalkan penguasaan mereka di Kelantan, Terengganu dan Kedah, tidak dapat tidak, PH dan BN juga akan kehilangan sebahagian besar, silap-silap semua sekali, sokongan di kawasan pengundi Melayu di Selangor, Negeri Sembilan dan Pulau Pinang yang dimenangi sebelum ini.
Jika itu berlaku, kerajaan akan terus digoncang dan sukar dipertahankan lagi dalam PRU yang seterusnya.
Maka, janganlah PH dan BN menyalahkan PN, khususnya Pas kerana memainkan isu kaum dan agama dalam kempen-kempen mereka, sebaliknya salahkanlah diri sendiri yang lebih dulu membekalkan peluru dan memberi modal percuma kepada pembangkang. – ShahbudinHusin 16/05/2023.
https://shahbudindotcom.net/
Tiada ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.