Tak kisah ‘kahwin paksa’, yang penting sah, Armizan ulas kerajaan perpaduan
KUALA LUMPUR: Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah, Sarawak dan Tugas-Tugas Khas) Armizan Ali mempertahankan kewujudan kerajaan perpaduan, yang disifatkan segelintir pihak sebagai “perkahwinan paksa” antara parti-parti anggota.
Beliau berkata, parti-parti dalam kerajaan perpaduan patut berasa bangga kerana membuat pilihan yang tepat, mengetepikan perbezaan demi agenda yang lebih besar.
“Kalau adapun yang menyifatkan kami dalam kerajaan perpaduan bernikah secara paksa, yang penting nikah secara sah.
“Kadang kala bercinta selepas berkahwin jauh lebih bermakna,” katanya
Dalam pada itu, Armizan yang juga Timbalan Setiausaha Agung Gabungan Rakyat Sabah (GRS) berkata, penganjuran Konvensyen Nasional Kerajaan Perpaduan hari ini ialah platform yang amat penting dan dinanti-nantikan.
Katanya, konvensyen ini memberikan makna buat perjanjian persefahaman kerajaan perpaduan yang dimeterai pada 16 Dis lepas.
“Apa yang dikatakan tentang kami datang dari pelbagai (latar belakang) pendirian politik yang berbeza sejak sekian lama, memang benar.
“Namun jika dilihat dari perspektif yang lain, saya fikir ini satu perkembangan positif yang amat signifikan,” katanya.
Terdahulu, dilaporkan bahawa segelintir pemimpin pembangkang menyifatkan kerjasama Barisan Nasional-Pakatan Harapan dalam kerajaan perpaduan sebagai “kahwin paksa”. Perkara sama turut dibangkitkan bekas perdana menteri Ismail Sabri Yaakob.
Ketua Pemuda Umno Muhamad Akmal Saleh sebelum ini berkata, tidak ada gunanya Umno dan Barisan Nasional (BN) “bercinta” lama dengan parti tertentu, namun kemudian “dicurangi”.
Katanya, lebih baik Umno dan BN bekerjasama dengan parti lain secara paksa dalam membentuk kerajaan perpaduan merangkumi pelbagai parti berbanding bekerjasama dengan mereka yang “tidak setia”.
Tiada ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.