Cerpen : Syurga Teratai
Oleh NA Ismail -
JAM menunjukkan pukul 8.10 pagi kala aku menapak keluar dari stesen kereta api Vernon-Giverny.
Gumpalan awan kelabu melatari langit pagi pertengahan Jun. Suasana hujung minggu di Vernon lengang dan tenang. Kedai-kedai masih terkatup sepi. Di hadapan sebuah kafe, seorang pemuda Perancis sedang mengatur meja dan kerusi di laluan jalan kaki.
Langkahku terhenti setibanya di sebatang tiang perhentian bas tidak jauh dari stesen kereta api. Risalah di tangan menunjukkan di sinilah tempat menunggu bas ulang-alik dari Vernon ke Giverny.
"Maaf, encik. Adakah ini perhentian bas ke Taman Monet di Giverny?"
Aku mengangkat wajah. Seorang wanita berpelitup muka sedang tercegat di hadapanku. Matanya yang kecil sarat dengan pertanyaan.
Pertama kali aku melihatnya kala menanti ketibaan kereta api SNCF di platfom stesen Gare Saint-Lazare, Paris pada awal pagi itu. Dia yang tegar mengenakan pelitup muka. Sedangkan dunia sudah pun menghakis ingatan terhadap wabak COVID-19.
Barangkali pelancong dari Republik Rakyat China, tebakku. Anehnya, dia bersendirian. Tidak seperti kebanyakan pengunjung dari Tanah Besar itu yang bergerak dalam kumpulan yang dikemudi oleh pengibar panji-panji.
Aku mengesahkan pertanyaannya. "Bas pertama dijadualkan berlepas pada pukul 9.25 pagi," terangku sambil merujuk jadual perjalanan di risalah.
Keningnya yang nipis terangkat tinggi. "Bukankah Taman Monet dibuka pada pukul 9.30 pagi?"
Aku mengangguk. Aku juga mahu menjejakkan kaki seawal mungkin sebelum ujana itu dibanjiri pengunjung.
Rambut hitamnya yang lurus separas bahu terbuai-buai tatkala dia melemparkan pandangan ke sekeliling.
"Sukar mendapatkan teksi pada awal pagi begini," keluhnya. "Tapi kita boleh berbasikal ke Giverny. Menurut pekerja kafe itu, kedai sewaan basikal beroperasi pada pukul sembilan."
Budaya berbasikal mungkin telah kembali menjalar di China bagi membantu menangani masalah pencemaran udara. Akan tetapi, jika terdesak sekalipun, mustahil aku berupaya berkayuh sejauh tujuh kilometer ke Giverny. Kecederaan lutut yang dialami ketika bermain bola sepak baru-baru ini masih belum pulih sepenuhnya.
"Cik dari mana?" Aku mengalih tajuk perbualan.
"Taiwan. Tapi saya bekerja dan menetap di Shanghai semenjak tujuh tahun lalu," jelasnya, ramah. "Encik pula?"
Aku memberitahunya.
"Oh, negara yang terkenal dengan menara berkembarnya!"
Aku tersenyum, namun kemudiannya tergamam apabila dia bertanya tentang taman-taman bunga yang masyhur di Malaysia.
Serta-merta wajah emak menguntum mekar di halaman ingatan. Emak yang tidak pernah melepaskan peluang untuk mendatangi taman bunga dalam setiap kunjungan ke daerah lain.
Setiap kali juga aku akan mengeluh kebosanan. Menyepak bola di padang lebih menggirangkan buat seorang anak kecil. Setelah menganjak ke usia dewasa dan melanjutkan pelajaran di ibu kota, aku semakin jarang-jarang menemani emak ke taman bunga.
Aku hanya menadah telinga kala wanita Taiwan itu mengisahkan tentang kunjungannya ke taman-taman di sekitar kota Paris, termasuk Jardin des Plantes dan Jardin de Bagatelle pada hari sebelumnya.
"Esok pagi saya akan ke Nice pula. Taman botaninya dikhabarkan merumahkan lebih daripada 3,500 jenis tumbuhan, terutamanya tumbuhan Mediterranean," sambungnya lagi.
"Er, adakah saya berhadapan dengan seorang ahli botani atau hortikultur terkemuka?" tebakku, cuba mencari erti di sebalik kegilaan ini.
Tawanya berderai. "Oh, tidak. Saya sebenarnya bertugas dalam bidang sains komputer. Tapi saya menyenangi taman bunga. Saya telah menjejak Taman Kew di London, Keukenhof di Lisse, Central Park di New York, Kenrokuen di Kanazawa, …"
Aku melongo. Selain emak, belum pernah lagi aku bertemu seorang pemburu taman bunga. Kebanyakan pelancong lebih gemar menziarahi tempat-tempat bersejarah atau membeli-belah di kota-kota besar.
Emak pula bahagia kala meraup dan membeli pokok-pokok bunga. Masih jelas di ingatan kunjungan ke Singapura sewaktu usiaku mencecah lapan tahun. Emak membeli beberapa jenis anak pokok bunga di sebuah tapak semaian. Sedangkan tumbuhan itu barangkali kedapatan di tanah air.
"Encik pula? Apakah yang mendorong encik ke sini? Encik seorang pelukiskah?" soal wanita Taiwan itu seraya mengerling beg galas di bahuku.
Aku tertawa kecil. "Bukan. Saya hanya mahu mengunjungi kawasan desa Perancis. Kebetulan Giverny tidak begitu jauh dari Paris."
"Oh, melancong?"
Aku mengangguk. Aku ingin memberitahunya tentang tugasku sebagai jurutera perunding dalam bidang tenaga boleh diperbaharui. Tanggungjawab yang bukan sahaja sering mengutusku ke China, malahan kini menjemputku datang bertamu di Paris.
Akan tetapi, bicara kami ternokhtah oleh kehadiran sepasang pelancong warga emas yang berbicara dalam nada yang lantang. Kukira dari Texas, Amerika Syarikat, berdasarkan cara bertutur malas-malasan mereka.
Suasana semakin hingar-bingar dengan ketibaan lebih ramai pelancong di perhentian itu. Barangkali mereka bermalam di Vernon, bandar zaman pertengahan yang terkenal dengan tarikan sejarah serta keindahan pemandangannya.
Ketika jam menghampiri pukul sembilan pagi, dua buah bas setingkat muncul menghampiri perhentian. Setelah membeli tiket ulang-alik daripada pemandunya, aku memilih tempat duduk tidak jauh dari wanita Taiwan itu.
Pemandu bas yang bertubuh gempal dan ceria memaklumkan dalam bahasa Inggeris yang tersangkut-sangkut bahawa bas itu akan berlepas menurut jadual, iaitu 20 minit setelah ketibaan kereta api seterusnya dari Paris.
Kulihat wanita Taiwan itu meresah. Agaknya tidak lagi betah berlengah-lengah setelah sekian lama menunggu. Tiba-tiba, dia bangun lalu mendesak pemandu bas itu untuk bertolak ke Giverny pada saat itu juga!
Pemandu bas jelas kebingungan. Jurang bahasa tidak memungkinkan dia menghadam jalan fikir wanita itu. Barangkali dia juga kekagetan apabila julung-julung kali dikerah untuk mengetepikan jadual perjalanannya.
Sedangkan sudah menjadi resam di China untuk menghormati pihak berkuasa atau atasan. Seorang ketua – atau dalam hal ini penumpang sebagai pelanggan (dan bukankah pelanggan sentiasa benar?) – hanya perlu memuntahkan arahan dan perintah tersebut pasti disempurnakan dengan apa cara sekalipun. Budaya inilah yang telah membolehkan China melaksanakan 200 tahun revolusi perindustrian dan urbanisasi dalam tempoh 40 tahun sahaja!
Negara itu juga pernah dikritik lantaran amalan kerja yang memaksa kakitangan memerah keringat selama 12 jam, enam hari seminggu. Meskipun bertentangan dengan undang-undang, budaya itu dikatakan masih lagi diamalkan, terutama oleh syarikat teknologi di Lembah Silikon China serta syarikat permulaan yang tumbuh bagaikan cendawan selepas hujan.
Barangkali wanita itu dihimpit oleh tekanan kerja, rumusku. Mungkin dia memburu taman-taman bunga bagi memugar kembali tenaga yang susut serta merungkai jiwa dan fikiran yang kusut.
Bukankah emak pernah berkata bahawa tumbuh-tumbuhan banyak mengajar kita tentang erti kehidupan dan harapan, selain kematian?
Bagaimanakah pula dengan emak? Apakah yang diperolehinya daripada sebuah taman bunga selain mencerap keindahan dan mengisi ruang senggang?
Persoalan itu masih berlegar-legar di fikiran kala bas mula bergerak pada pukul 9.40 pagi. Mataku mulai meruyup. Kelesuan akibat kurang tidur serta deram enjin bas dan hembusan penyaman udara pantas membuaiku ke daerah lena.
Aku terjaga setibanya di perkampungan Giverny. Beberapa buah bas dan kenderaan bersusun rapat di padang. Sebaik-baik sahaja pintu dibuka, wanita Taiwan itu tergesa-gesa turun dari perut bas.
Matahari masih meruyup di balik awan kelabu. Semilir pagi berpuput lembut. Aku menuruti pelancong lain yang berjujuk-jujuk menuju ke Taman Monet. Sebahagian besar daripada mereka terdiri daripada warga Eropah dan Amerika Syarikat.
Kemungkinan kelompongan minat atau kekangan masa menyebabkan tidak ramai rakyat Asia memuatkan kunjungan ke taman-taman bunga dalam jadual kembara mereka. Tidak seperti emak, bisik hati kecilku sambil mengulum senyum.
Aku meraup suasana desa yang merumahkan kotej-kotej dan rimbunan mawar merah samar, popi merah, serta klematis biru dan ungu di sepanjang laluan. Kuntuman dan haruman yang menyuguhkan ingatan terhadap emak.
Taman Monet sudah pun merasak dengan pengunjung sebaik sahaja aku melangkah masuk. Aku menelusuri terowong untuk ke taman air bertema Jepun yang terletak di seberang jalan.
Ketibaanku disambut oleh desiran arus terusan kecil serta geseran daun-daun pohon willow, mapel dan rumpun-rumpun buluh. Bunga peony Jepun dalam pelbagai rona serta bunga foxglove ungu mirip loceng mengekar di serata taman. Kelompok pohon-pohon renek menghijau dan berbunga lebat.
Unggas menyanyi bersahut-sahutan. Serangga melayah merebakkan debunga. Kedamaian dan ketenangan pun berlabuh di jiwa. Inikah yang dikatakan syurga dunia?
Di atas jambatan Jepun yang dipayungi pohon-pohon wisteria, aku berteleku menatap kolam yang dipagari tumbuhan-tumbuhan hijau seperti ginkgo biloba dan paku pakis. Bunga-bunga teratai berona merah samar, putih dan kuning air menghampari wajah kolam yang tenang dan teduh.
"Kolam Claude Monet yang ikonik, bukan?"
Aku menoleh. Wanita berpelitup muka itu kini berdiri di sisi. Matanya mencerap kudup teratai yang bertebaran di kolam.
"Kolam yang mengilhamkan siri "Water Lilies"," sahutku, merujuk kepada penghasilan kira-kira 250 lukisan minyak bertemakan teratai sepanjang tiga dekad terakhir dalam hidup pelopor aliran Impresionisme Perancis itu.
"Dikatakan sebahagian daripada lukisan tersebut dibumbui oleh pemergian isteri dan anak lelakinya," ujarnya perlahan.
Aku mengangkat kening.
Tiba-tiba wanita Taiwan itu menoleh ke arahku. "Encik mengagumi kolam teratai Monet? Atau lukisannya?"
Aku menyungging senyum. Mungkin pada anggapannya teratai hanyalah tumbuhan yang hidup melata di serata negaranya. Barangkali tiada yang luar biasa tentang teratai, melainkan perlambangan kesucian fikiran dan jiwa menurut ajaran Buddha dan Taoisme.
"Jika sesuatu perkara itu membuahkan kegembiraan atau kebahagiaan dalam diri, itulah erti syurga buat saya," ujarnya, seolah-olah mendengar bicara hatiku.
"Eskapisme atau realisme?" dugaku.
Mata kecilnya tersenyum. Pertanyaanku dibiarkan larut dalam desir angin yang nyaman sebelum dia kembali lenyap dalam sela-sela pengunjung yang bertali arus.
Ah, seandainya dia tahu betapa kuntuman teratai di kolam ini meruakkan fikiranku terhadap emak. Emak yang sendirian membesarkanku setelah bapa disahkan hilang di lautan ketika aku masih di dalam buaian.
Ingatanku kembali hanyut kepada anak-anak pokok bunga yang dibeli emak di kota Singa. Emak tidak berpeluang melihat pokok-pokok itu membesar dan membiak. Kesemuanya berakhir di tangan pihak kastam republik itu ketika kami menempuh pemeriksaan imigresen di Woodlands.
Aku tidak pernah melihat emak menumpahkan air mata. Akan tetapi, senja itu emak beberapa kali menyeka manik-manik jernih yang bergenang di tubir mata. Apakah yang lebih melukakan emak? Pokok bunganya yang direnggut ataupun sekuntum kebahagiaannya yang diragut?
Bapa pergi tanpa meninggalkan jasad dan kuburan. Barangkali taman bunga melambangkan syurga dunia buat emak. Keindahan yang membantu mengusir sepi, lara dan rindu yang kerap bertamu.
Sehinggalah segala-galanya ternokhtah dua tahun lalu setelah kanser hati menjarah tubuh kurus emak. Semenjak itu juga, pokok-pokok bunga di halaman rumah emak mulai layu dan terbiar, tidak lagi membugar.
Jiwaku tiba-tiba diselubungi rindu yang sarat dan hangat. Hatiku terasa jerih dan perih. Betapa aku tidak pernah berusaha untuk memahami perasaan emak. Sedangkan di bawah kedua-dua kaki insan bernama Teratai itulah terletaknya syurga buatku.
- NA Ismail @ Noor Ashikin Ismail berasal dari Perak, graduan dari University of Manchester, UK dan memiliki latar belakang akademik dalam bidang ekonomi serta kewangan.





Tiada ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.