Akta rumah ibadat: Ke arah penyelesaian berstruktur
Oleh Liyana Marzuki
Isu rumah ibadat tanpa kelulusan bukanlah isu baharu dalam negara kita. Ia berlarutan selama berdekad-dekad, sejak era 1990-an sehingga hari ini, tanpa penyelesaian menyeluruh.
Setiap kali isu ini timbul, perbahasan kembali panas dan masyarakat sekali lagi terperangkap dalam polemik yang sama.
Sensitiviti isu ini tidak boleh dinafikan. Jika tidak diuruskan dengan baik ia boleh mencetuskan perbalahan dan menggugat keharmonian negara kita.
Sejarah telah menunjukkan bagaimana insiden melibatkan rumah ibadat boleh menyebabkan ketegangan dan menimbulkan syak wasangka dalam kalangan rakyat. Ini termasuk di Kerling dan Pulau Pinang yang pernah mencetuskan ketegangan kaum sehingga mengakibatkan kehilangan nyawa.
Trauma tersebut masih wujud dalam ingatan masyarakat.
Maka tidak hairan apabila isu ini berbangkit semula, emosi mudah memuncak. Hingga ada yang bertindak di luar batasan undang-undang yang mana ini menimbulkan kebimbangan terhadap keharmonian negara dan masa depan generasi seterusnya.
Dalam perbahasan semasa, terdapat kecenderungan merujuk kepada kes Sidek Haji Muhamad & Ors v Government of the State of Perak & Ors di Mahkamah Persekutuan sebagai asas perbincangan.
Namun, fakta kes tersebut perlu difahami dalam konteks yang betul. Kes berkenaan melibatkan rumah setinggan dan menyentuh hak tuan tanah terhadap binaan haram sebagai pertikaian sivil.
Situasi rumah ibadat hari ini berbeza. Ia melibatkan pertindihan antara isu sivil dan potensi kesalahan jenayah. Kanun Keseksaan Malaysia sendiri memperuntukkan kesalahan berkaitan tempat ibadat, termasuk perbuatan memusnahkan atau merosakkan tempat ibadat dengan niat menghina agama, mengganggu perhimpunan agama, pencerobohan tempat ibadat, serta kesalahan khianat yang menyebabkan kerosakan harta.
Implikasinya jelas. Dalam kes melibatkan rumah ibadat, tindakan merobohkan tanpa pengurusan yang betul boleh menimbulkan implikasi jenayah walaupun pertikaian asalnya bersifat sivil atau dilakukan dengan niat yang baik.
Justeru, tindakan sendiri oleh mana-mana pihak, termasuk tuan tanah, tidak wajar diambil tanpa penglibatan pihak berkuasa dan polis.
Hakikatnya, masalah ini berlarutan bukan kerana ketiadaan undang-undang, tetapi akibat penguatkuasaan yang lewat, tindakan yang tidak konsisten, serta kegagalan menyelesaikan isu pada peringkat awal oleh pihak berkuasa tempatan dan agensi berkaitan.
Perbahasan yang berpanjangan sering berakhir dengan saling menyalahkan, sedangkan penyelesaian sebenar memerlukan pendekatan sistemik.
Beberapa negara telah lama mengurus isu ini secara lebih tersusun. United Kingdom, Singapura dan Indonesia tidak mengawal agama, sebaliknya mengawal premis dan perancangan melalui undang-undang perancangan bandar.
Di United Kingdom, penggunaan sesuatu premis sebagai rumah ibadat tertakluk kepada Town and Country Planning Act 1990.
Singapura pula mengawal selia melalui Planning Act dan garis panduan Urban Redevelopment Authority (URA), termasuk penetapan zon yang sesuai bagi rumah ibadat.
Indonesia memperkenalkan Peraturan Bersama Menteri (PBM) 2006 bagi mengurus pembinaan rumah ibadat dengan tujuan mengelakkan konflik komuniti.
Pendekatan ini memberikan satu pengajaran penting: pengawalseliaan perlu tertumpu kepada premis dan perancangan, bukan kepada agama itu sendiri.
Malaysia wajar mempertimbangkan satu kerangka undang-undang yang lebih jelas melalui cadangan Akta Rumah Ibadat.
Antara prinsip yang boleh dipertimbangkan termasuk keperluan kelulusan perancangan wajib bagi semua pembinaan atau penukaran bangunan kepada rumah ibadat, kesalahan membina tanpa kelulusan bagi mengelakkan isu berlarutan, penubuhan panel penasihat teknikal di peringkat negeri, penguatkuasaan secara berperingkat melalui notis dan mediasi sebelum tindakan akhir diambil, serta pewujudan daftar nasional rumah ibadat bagi tujuan perancangan jangka panjang.
Cadangan ini bukan bertujuan meruntuhkan mana-mana rumah ibadat. Sebaliknya, ia bertujuan memastikan rumah ibadat diurus secara teratur supaya tidak lagi menjadi punca pertelingkahan antara masyarakat.
Akhirnya, isu rumah ibadat bukan sekadar isu agama. Ia adalah isu pengurusan negara.
Selagi kerangka undang-undang yang jelas tidak diwujudkan, polemik yang sama akan terus berulang setiap dekad, dengan emosi mengatasi rasional dan masyarakat terus terperangkap dalam konflik yang sepatutnya boleh dielakkan.
Negara yang matang tidak menunggu konflik berlaku sebelum bertindak. Negara yang matang membina sistem bagi memastikan konflik tidak sempat tercetus.
Sudah tiba masanya isu berdekad ini dilihat sebagai tanggungjawab bersama untuk diselesaikan secara berani dan berhemah demi kestabilan negara.
Liyana Marzuki ialah bekas Peguam Kanan Persekutuan, Jabatan Peguam Negara. Sejak 2020, terlibat dalam formulasi beberapa cadangan pindaan undang-undang termasuk Akta Persaingan, Lemon Law dan Akta Dana Politik.




Tiada ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.