“Hamzah Patut Undur Jika Masih Ada Rasa Malu”
Bekas Timbalan Presiden BERSATU, Datuk Seri Hamzah Zainudin, sepatutnya sudah lama meletakkan jawatan sebagai Ketua Pembangkang selepas dipecat daripada parti.
Ketua Penerangan BERSATU, Datuk Tun Faisal Ismail Aziz, berkata jawatan Ketua Pembangkang yang disandang oleh Hamzah sebelum ini diperoleh atas kapasiti beliau sebagai Setiausaha Agung BERSATU, Ahli Parlimen BERSATU dan wakil blok pembangkang Perikatan Nasional (PN).
"Apabila beliau dipecat dan bukan lagi ahli parti, adalah tidak wajar dia terus bertenggek pada jawatan itu jika masih mempunyai maruah dan rasa malu.
"Beliau kini hanyalah Ahli Parlimen tidak berparti atau Ahli Bebas di Dewan Rakyat. Secara prinsipnya, seorang Ahli Parlimen Bebas tidak sepatutnya memegang jawatan strategik yang diperoleh melalui parti.
"Berdasarkan prinsip di bawah Akta Lompat Parti 2022, Ahli Parlimen yang tidak lagi menjadi ahli parti yang diwakilinya sewaktu pilihan raya tidak lagi boleh dianggap mewakili parti tersebut dan sewajarnya ditempatkan di blok Bebas," katanya dalam kenyataan hari ini. Tun Faisal berkata, adalah tidak wajar seorang Ahli Parlimen Bebas terus memegang jawatan Ketua Pembangkang, iaitu jawatan yang sepatutnya dipegang oleh Ahli Parlimen yang mempunyai mandat jelas daripada gabungan parti terbesar dalam blok pembangkang iaitu PN.
Beliau berkata, hakikatnya Hamzah yang juga Ahli Parlimen Larut kini hanyalah Ahli Parlimen tidak berparti termasuk lima lagi yang lain yang turut dipecat iaitu Ahli Parlimen Gerik, Fathul Huzir Ayob; Ahli Parlimen, Padang Rengas, Kapten (B) Azahari Hasan; Ahli Parlimen Tasik Gelugor, Datuk Wan Saiful Wan Jan; Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal dan Ahli Parlimen Indera Mahkota, Datuk Seri Saifuddin Abdullah.
"Manakala baki Ahli Parlimen lain masih Ahli Parlimen BERSATU dan Ahli Parlimen PN yang sah serta masih tertakluk kepada arahan dan keputusan dasar parti BERSATU dan PN.
"Keputusan dasar BERSATU dan PN adalah jawatan Ketua Pembangkang mesti dipegang oleh Ahli Parlimen dari PAS," katanya.
Tun Faisal berkata, sebelum ini, ramai penganalisis juga melihat prestasi blok pembangkang di Dewan Rakyat tidak memberangsangkan, sering dilihat lemah dan gagal memainkan peranan semak dan imbang secara berkesan terhadap kerajaan di Dewan Rakyat.




Tiada ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.